Teman Kome Weh....

Sabtu, Oktober 29, 2011

Dato' Abdul Rahman Suliman meninggal dunia



Ketua Umno Bahagian Parit Buntar Datuk Abdul Raman Suliman, 62, meninggal dunia di Hospital Daerah Parit Buntar, malam tadi.

Beliau yang menghidap sakit buah pinggang, disahkan meninggal dunia pada jam 12.20 tengah malam, iaitu kira-kira sejam selepas terjatuh di rumahnya di Kampung Kedah di Parit Buntar.

Pembantunya Mohd Jamil Yahaya ketika ditemui Bernama hari ini, berkata Allahyarham ditemui terbaring di dalam bilik air di rumahnya, oleh isteri Datin Saemah Hussein.

Kejadian berlaku sejurus selepas Abdul Raman yang juga bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, kembali daripada menghadiri mesyuarat badan perhubungan Umno Perak di Ipoh.

Mohd Jamil berkata jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedah sebelum Zohor hari ini.

Allahyarham meningggalkan seorang isteri dan enam anak iaitu dua lelaki dan empat perempuan.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan bekas Timbalan Menteri Pertanian Datuk Mohd Shariff Omar antara yang menziarahi keluarga Allahyarham hari ini.

- Bernama

Khamis, Oktober 27, 2011

Semua kursus wajib universiti dalam Bahasa Melayu

Penerbitan buku atau bahan-bahan akademik dalam Bahasa Melayu akan dijadikan satu daripada kriteria perjawatan atau kenaikan pangkat ahli-ahli akademik, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata perkara itu adalah antara inisiatif dalam Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang dilancarkan hari ini.

khaled nordinMelalui pelan itu juga, anugerah kepada ahli akademik di peringkat universiti yang cemerlang dalam penerbitan akademik Bahasa Melayu akan diwujudkan, manakala kategori baru iaitu Anugerah Penterjemah Karya Ilmu dalam Bahasa Melayu akan dimasukkan dalam Anugerah Akademik Negara (AAN) akan datang.

Bercakap pada majlis pelancaran pelan tindakan itu di kementerian berkenaan hari ini, beliau berkata semua kursus wajib universiti seperti Kursus Kenegaraan Malaysia, Tamadun Islam dan Tamadun Asia Tenggara serta Hubungan Etnik akan diwajibkan dikendali dalam Bahasa Melayu, manakala penuntut antarabangsa pula diwajibkan mengambil kursus Bahasa Melayu Komunikasi.

"Kita meletakkan sasaran 30 peratus pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Melayu bagi gugusan sains pada 2020. Dalam tempoh yang sama juga, kementerian meletakkan sasaran 70 peratus pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Melayu bagi gugusan sains dan sosial," katanya.

Mohamed Khaled berkata aktiviti menterjemah penulisan akademik yang dihasilkan dalam Bahasa Inggeris atau bahasa asing ke dalam Bahasa Melayu akan dipergiat melalui unit terjemahan yang ditubuhkan di setiap IPT.

Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula akan dijadikan badan yang akan menghubungkan semua jabatan pengajian Melayu di luar negara untuk menyepadukan usaha memartabatkan Bahasa Melayu, katanya.

Beliau berkata usaha untuk menambah bilangan artikel berindeks dalam Bahasa Melayu dan bilangan penerbitan buku akademik dalam Bahasa Melayu akan ditingkat, selain memperkukuh jurnal tempatan berbahasa Melayu berkualiti di IPT sehingga dapat diindekskan dalam Scopus dan Institut Maklumat Saintifik(ISI), iaitu pangkalan data berindeks yang diiktiraf.

Mohamed Khaled berkata usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan memperkukuhkan penggunaan Bahasa Melayu tinggi merentasi pelbagai bidang dalam IPT, sekaligus memastikan ia tidak hanya dimonopoli oleh mereka yang berada dalam bidang Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu.

Beliau berkata ia akan dapat meningkatkan nilai ekonomi Bahasa Melayu serta memperbetulkan persepsi selama ini bahawa Bahasa Melayu hanya dikaitkan dengan taraf kehidupan yang rendah, iaitu bahasa yang dituturkan oleh mereka yang tidak berpendidikan tinggi.

"Dalam masa sama juga, pelaksanaan pelan tindakan ini tidak bermakna kementerian meminggirkan peranan dan penggunaan Bahasa Inggeris di kampus.

Sebaliknya, proses memperkukuh Bahasa Inggeris di IPT akan sentiasa berjalan terutama dalam usaha kita meningkatkan kualiti dan tahap kebolehpasaran graduan," katanya.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Mohamed Khaled berkata pelan tindakan itu dihasilkan berdasarkan Kajian Penggunaan Bahasa di IPT awam tahun lepas, yang mendapati tidak ada garis panduan yang tetap, berstruktur dan sistematik dalam memantapkan penggunaan Bahasa Melayu di IPT.

IPT-IPT di seluruh negara boleh memulakan usaha sepertimana dalam pelan tindakan itu mengikut kesesuaian selepas ia dilancarkan hari ini, katanya.

Mengenai ATMA, Mohamed Khaled berkata sehingga kini terdapat tujuh jabatan pengajian Melayu di universiti-universiti di China, manakala beberapa lagi di Eropah, Amerika, Jepun dan Korea yang selama ini tidak berhubungan antara satu sama lain.

"Selama ini sebahagian besar jabatan pengajian Melayu itu lebih menekankan Bahasa Indonesia, mungkin kerana kita tidak ada link, jadi kita nak mainkan peranan yang lebih aktif supaya kita dapat memantapkan penggunaan Bahasa Melayu di seluruh dunia," katanya.

- Bernama

Sabtu, Oktober 08, 2011

SSM dimansuh, sistem gaji satu lapis sektor awam diperkenal

TERKINI @ 07:20:10 PM 07-10-2011

October 07, 2011

KUALA LUMPUR, 7 Okt — Kerajaan memperkenalkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dengan menyediakan gaji sebaris dengan pembaharuan lebih radikal.

“Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam berteraskan merit untuk kakitangan kerajaan menggantikan sistem lama SSM. Sistem ini akan menaikkan gaji maksimum tiap gred,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Kenaikan gaji tahunan pula dijangka antara RM80 hingga RM300 mengikut gred.

Umur persaraan kakitangan awam juga dilanjutkan daripada 58 kepada 60 tahun.

“Kerajaan bersetuju lanjutkan umur persaraan wajib kepada 60 tahun daripada 58 tahun bagi mengoptimumkan sumbangan pegawai perkhidmatan awam,” katanya.

The Malaysian Insider awal minggu lalu melaporkan satu skim baru akan menggantikan SSM yang diperkenalkan pada 2002 dan kembali kepada gaji satu lapis diamalkan sebelum 1992.

Ia merupakan antara tiga berita yang dilihat menggembirakan penjawat awam.

Ketika membentangkan Belanjawan 2012, Najib berkata di bawah SBPA penjawat awam akan menerima kenaikan gaji tahunan yang ditingkatkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred mulai tahun 2012.

“Bagi penjawat awam yang menerima opsyen ke SBPA, mereka akan mendapat faedah kenaikan gaji di antara tujuh hingga 13 peratus,” kata beliau.

Najib berkata dengan pelaksanaan SBPA juga lebih 600,000 pesara kerajaan akan menikmati pelarasan pencen yang melibatkan peruntukan RM600 juta.

“Mulai tahun 2013 nanti, kerajaan akan melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan gaji,” kata beliau.

Jelas beliau, sistem itu digubal dengan matlamat mentransformasi perkhidmatan awam negara ini supaya menjadi organisasi yang lebih dinamik, responsif dan berorientasikan prestasi.

“Ia juga akan memperkenalkan prinsip perubahan radikal dalam pengambilan dan pengisian jawatan serta pembangunan kerjaya dengan teras pengekalan atau penamatan perkhidmatan penjawat awam berasaskan prestasi kerja,” katanya.

Di bawah sistem SBPA, kerajaan akan menambah baik struktur gaji penjawat awam melalui pembentukan gaji sebaris dengan mewujudkan lebih banyak mata gaji supaya penjawat awam terus mendapat kenaikan tahunan bagi tempoh yang lebih lama.

Dengan itu katanya, gaji maksimum bagi sesuatu gred adalah lebih tinggi daripada sekarang.

Malah di bawah SBPA mengikut kaedah ‘time-based’, seorang guru akan mendapat gred 44 pada tahun kelapan dan gred 48 pada tahun ke-16 berbanding mereka terpaksa menunggu sehingga 20 tahun untuk naik pangkat.

Bagi guru bukan siswazah pula dari gred 29 kepada 32 sekiranya mengikut sistem sekarang, ia memakan masa selama 10 tahun, tetapi di bawah skim baru, ia hanya mengambil tempoh lapan tahun.

“Bagi kenaikan gred 32 ke 34, jika sekarang ini bergantung kepada kekosongan, tetapi di bawah SBPA kelak, kaedah ‘time-based’ lapan tahun turut diterima pakai,” kata Perdana Menteri.

Najib menambah, di bawah SBPA juga, Dasar Pemisah akan diwujudkan bagi penjawat awam yang berprestasi rendah dan mereka yang memilih untuk meninggalkan perkhidmatan.

Najib berkata kerajaan sentiasa berpegang kepada falsafah dan prinsip bahawa usaha memperbaiki diri dan menambah ilmu di dada tidak berpenghujung, malah pembelajaran adalah satu proses sepanjang hayat.

Bagi maksud itu, kerajaan akan menawarkan bantuan yuran pengajian kepada penjawat awam untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi secara separuh masa.

Beliau berkata tahun depan, kerajaan dengan kerjasama Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) akan menawarkan 5,000 peluang peringkat Ijazah Sarjana dan 500 lagi peringkat Doktor Falsafah kepada penjawat awam yang layak, termasuk para guru dengan peruntukan sebanyak RM120 juta.

“Kita akan menawarkan 20,000 tempat kepada kumpulan guru diploma yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Muda, untuk tujuan ini, kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM80 juta bagi tahun pertama,” katanya lagi.

Najib berkata, kerajaan juga menghargai khidmat dan jasa 4,300 kakitangan yang telah menamatkan kontrak dari Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

“Bagi membantu golongan ini meringankan kos sara hidup, kerajaan akan memberi bayaran khas sebanyak RM3,000 secara one-off,” kata beliau yang Pengerusi BN.

Related Posts with Thumbnails