January 24, 2012
IPOH - Kerajaan Perak yakin Lembah Lenggong akan disenarai sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, ICT, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri Datuk Hamidah Osman berkata penyenaraian tersebut akan menambah nilai kepada promosi Tahun Melawat Perak 2012 sekarang.
"Kita yakin surat cadangan, penemuan artifak dan penyelidikan di Lembah Lenggong diberi pertimbangan sewajarnya oleh pihak Unesco bagi pencalonan Malaysia itu," katanya kepada pemberita selepas majlis pelantikan duta Tahun Melawat Perak 2012 dan 3,000 Duta Kecil di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Hamidah berkata keputusan mungkin diketahui tidak lama lagi selepas satu persidangan dan pembentangan pencalonan tersebut dibuat di Afrika.
Dokumen pencalonan dan pelan pengurusan pemeliharaan telah dihantar oleh Jabatan Warisan Negara ke World Heritage Centre di Unesco pada 31 Januari tahun lepas, katanya.
Hamidah berkata kerajaan negeri berasa kagum dengan warga Jabatan Warisan Negara yang memain peranan penting merealisasikan impian menjadikan Lembah Lenggong sebagai satu tapak warisan dunia.
"Untuk mendapat pengiktirafan Unesco, ia mengambil masa. Pihak jabatan berkenaan perlu menjalankan kajian menyediakan 'dossier' atau dokumen yang diperlukan dan ini mengambil masa lebih kurang dua atau tiga tahun," katanya.
Hamidah berkata selain lokasi penemuan 'Perak Man', Lembah Lenggong istimewa kerana dipercayai menjadi laluan manusia awal dalam perjalanan keluar dari Afrika menuju Australia.
"Lembah Lenggong telah menjadi satu kawasan penempatan awal dan boleh dianggap 'ibu kota' Malaysia yang terawal dengan penemuan bukti seperti Kota Tampan, Gua Teluk Kelawar selain Gua Gunung Runtuh yang menghasilkan 'Perak Man'," katanya.
Sementara itu, pengacara terkenal, Datuk Mizal Zaini atau AC Mizal telah dipilih sebagai Duta Tahun Melawat Perak 2012 dan beliau akan menggunakan program yang dihoskannya sebagai pentas menghebahkan promosi TMP 2012.
Beliau yang ditemui di sini berkata selain program tersebut akan menggunakan rangkaian perniagaannya di luar negara seperti Indonesia, Thailand, Hong Kong dan Brunei untuk mempromosikan Tahun Melawat Perak itu. - Bernama