Teman Kome Weh....

Ahad, Julai 26, 2009

Yasmin Ahmad meninggal dunia

Ahad Julai 26, 2009

Yasmin Ahmad dilaporkan telah meninggal dunia pada jam 11.25 malam ini.

KUALA LUMPUR: Pengarah filem terkenal Yasmin Ahmad dilaporkan telah meninggal dunia pada jam 11.25 malam ini di Hospital Pakar Damansara.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Media Prima Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan yang berada di Hospital Pakar Damansara.

Yasmin disahkan meninggal dunia akibat pendarahan teruk di otak.

Suaminya, Tan Yew Leong, Dr.Zakaria Zahri (adik ipar) dan Datin Orked (adik), Dr. Zurin turut berada di sisi Allahyarhamah ketika beliau menghembuskan nafas terakhir.

Jenazah pengarah tersohor ini akan dimandikan dan disembahyangkan di Masjid SS19, Subang Jaya sebelum solat Zohor, esok (26 Julai), manakala tempat pengebumian masih belum ditetapkan.

Perkara itu dimaklumkan oleh rakan baik Allahyarhamah, iaitu pelakon Fatimah Abu Bakar yang mewakili keluarga pengarah itu, pada sidang media yang dibuat di hospital tersebut, sebentar tadi.

Fatimah juga meminta kepada semua peminat Yasmin untuk turut menyertai solat jenazah serta mendoakan agar Allahyarhamah ditempatkan di sisi orang beriman.

Pihak media juga diminta untuk tidak mengganggu ahli keluarga Yasmin buat masa ini yang masih bersedih dengan kematian pengarah itu.

Turut hadir di sidang media tersebut ialah Datuk Seri Farid Ridzuan dan adik iparnya, Dr. Zakaria Zahri.

Yasmin, 51, rebah ketika membentangkan kertas kerja di Sri Pentas, ibu pejabat stesen televisyen TV3, pada Khamis dan dikejarkan ke hospital berkenaan.

Beliau dilaporkan mengalami strok dan pendarahan di bahagian otak dipetik drp mStar online

Rabu, Julai 22, 2009

Seminar Melayu Rao semakin hampir, buku-buku sudah siap dicetak, dapatkannya di UPSI pada 25.7.09













Buku-buku di atas akan dijual dengan harga
istimewa kepada semua peserta seminar. Selepas
itu harganya kembali asal dan besar kemungkinan
tidak dijual di pasaran terbuka. Sesiapa yang
membeli buku Puisi Rao Nusantara dan Sekondakhati
sekaligus akan dihadiahkan car sticker sekondakhati
yang cantik lagi menawan hati.

Datang! Jangan tak datang...kita jumpa di UPSI.

Rabu, Julai 15, 2009

Pegawai SPRM serbu pejabat Exco Selangor

SHAH ALAM: Lima pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyerbu pejabat anggota Exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah di bangunan Sekretariat Negeri di sini hari ini.

Pegawai berkenaan dikatakan mencari dokumen berhubung cara peruntukan negeri dibelanjakan.

Dalam serbuan kira-kira 5 petang, SPRM turut merampas sebuah komputer riba dan unit pemprosesan pusat (CPU) dari pejabat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Seri Kembangan itu yang terletak di tingkat 15 bangunan berkenaan.

Setiausaha politik Yong, Teoh Beng Hock, turut ditahan oleh pegawai SPRM untuk disoal.

Yong adalah antara tujuh ADUN dan anggota Exco yang disiasat oleh SPRM kerana didakwa menyalahgunakan peruntukan negeri yang disalurkan menerusi Pejabat Daerah Petaling. Difahamkan SPRM memulakan siasatan selepas menerima aduan daripada pihak yang mendakwa mereka tidak menerima wang daripada peruntukan itu.

Selain Yong, enam lagi ADUN yang turut disiasat ialah Teresa Kok (DAP-Kinrara), Elizabeth Wong (PKRBukit Lanjan), Hannah Yeoh (DAP-Subang Jaya), Dr Cheah Wing Wah (DAP-Damansara Utama), Edward Lee (DAP-Bukit Gasing) dan Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku).

Pada sidang akhbar sebelum itu, Yong berkata tiga pegawai SPRM datang ke pusat khidmat beliau di Sri Kembangan kira-kira 12.30 tengah hari untuk mencari dokumen.

"Mereka (SPRM) tidak mendapat keizinan saya tetapi muncul begitu saja," kata Yong, sambil menambah beliau tidak tahu apa yang pegawai berkenaan benar-benar mahu.

Yong berkata SPRM perlu memberi penjelasan kenapa hanya penyokong kerajaan sahaja yang disiasat dan tertanya-tanya sama ada agensi berkenaan didesak untuk berbuat demikian oleh pembangkang (Barisan Nasional).

Beliau turut bertanya sama ada SPRM turut menyiasat penggubal undang-undang negeri dalam kerajaan BN sebelum ini yang membelanjakan peruntukan tahunan mereka berjumlah RM500,000 hanya dalam masa dua bulan sebelum pilihan raya umum Mac 2008. BERNAMA

Selasa, Julai 14, 2009

Satu kejayaan terbesar BN


Jul 14, 09 9:16pm
analisis Mahu tidak mahu, kemenangan PAS mempertahankan kerusi DUN Manek Urai dengan majoriti tipis 65 undi pasti menimbulkan pelbagai persoalan.

Dalam pilihanraya umum tahun lalu, calon PAS Ismail Yaakob mendapat 5,746 undi dan calon BN, Zulkepli Omar mendapat 4,394. Ismail menang dengan majoriti 1,352 undi.

Malah, pada jam 3.40 petang tadi, pengarah pilihanraya PAS Kelantan, Fatah Harun dengan yakin menyatakan bancian awal jentera pilihanraya kecil tersebut menunjukkan calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah "menang dengan majoriti hampir 2,000 undi".

Para penyokong PAS pula sudah merayakan kejayaan tersebut, serta mengucap tahniah kepada Fauzi ketika beliau tiba di markas utama PAS Manek Urai pada jam 4.40 petang tadi.

Bagaimanapun, keadaan itu berubah pada kira-kira jam 7 petang apabila para penyokong BN pula dilihat begitu gembira apabila mendapat tahu calon BN Tuan Aziz Tuan Mat mendahului dengan 30 undi.

Manakala Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pula, melalui twitter, melaporkan detik-detik cemas dan mendebarkan keputusan pengiraan undi yang begitu rapat antara PAS dan Umno yang saling dahulu-mendahului.

Akhirnya, PAS menang dengan 65 undi. Apa yang tidak kena dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai?

Pengaruh BN makin pulih

Walaupun tewas, Umno sudah pastinya akan melaungkan bahawa pengaruh parti itu sudah semakin pulih sejak krisis kepemimpinannya dan prestasi buruk pilihanraya umum 2008.

Manakala pengaruh PAS khususnya, dan Pakatan Rakyat amnya, semakin terhakis.

Apatah lagi dengan kehadiran tokoh-tokoh besar Pakatan - Datuk Seri Anwar Ibrahim dari PKR dan Lim Kit Siang dari DAP. Manakala Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat pula mengetuai jentera pilihanraya PAS di Manek Urai.

Manakala jentera pilihanraya BN, khususnya Umno, diketuai oleh Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama dengan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed.

Nampaknya, harapan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak untuk menjadikan pilihanraya kecil DUN Manek Urai sebagai petanda berakhirnya kekalahan BN dalam siri pilihanraya kecil selepas pilihanraya umum 2008, begitu hampir menjadi kenyataan.

Namun, kemampuan BN menghakis majoriti PAS - daripada 1,352 undi kepada hanya 65 undi - boleh dianggap satu kejayaan terbesar kepada BN di Semenanjung dalam enam pilihanraya kecil.

Apatah lagi, DUN Manek Urai merupakan kubu kuat PAS selama ini. BN hanya berjaya merampas DUN tersebut pada pilihanraya umum 2004 dengan majoriti tipis 53 undi.

Punca kegagalan PAS

Bagaimanapun, dalam pilihanraya umum lalu, calon lama PAS berjaya merampasnya semula dengan menewaskan Zulkepli.

Tentunya apa yang bermain di fikiran ramai orang ialah punca kegagalan PAS untuk mengekal majoriti yang dimenanginya pada 2008.

Adakah ia ada kaitan dengan 'ketegangan' dalam kepimpinan PAS berhubung isu cadangan kerajaan perpaduan dengan Umno? Atau pengaruh Nik Aziz, yang begitu lama memimpin PAS, kini kian merosot?

Apakah kepimpinan PAS sudah dapat menghidu masalah tersebut dan bersungguh-sungguh berusaha untuk memastikan seramai mungkin pengundi Manek Urai yang tinggal di luar Kelantan - termasuk 867 orang di Selangor dan Wilayah Persekutuan - balik mengundi?

Malah, satu majlis mengenainya telah diadakan di sebuah hotel di ibu negara yang dihadiri sendiri oleh Nik Aziz dan juga exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

Malah, pagi tadi, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar turut mengakui bahawa PAS mampu mengekalkan kerusi DUN Manek Urai tetapi “dengan majoriti yang berkurangan”.

Maka timbul persoalan sama ada kemenangan Pakatan Rakyat dalam siri pilihanraya kecil sebelum ini, sebenarnya atas kekuatannya sebagai sebuah gabungan parti pembangkang, atau atas isu-isu yang tercetus ketika ia berlangsung?

Tugas berat menanti PAS

Mungkin ada kebenarannya dalam pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang pada April lalu di mana Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin mendapat undi simpati susulan disingkirkan oleh BN daripada jawatan menteri besar.

Dan dalam kes pilihanraya kecil Kuala Terengganu, kejayaan calon PAS, Abdul Wahid Endut merampas kerusi dari BN dilihat akibat kelemahan peribadi serta sabotaj ahli Umno sendiri terhadap calonnya Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Dengan keputusan mengejutkan di Manek Urai, tugas berat menanti PAS Kelantan khususnya dan Pakatan Rakyat amnya untuk duduk semeja bagi merenung semula insiden-insiden yang mendorong keputusan nyawa-nyawa ikan kepada seorang pemborong ikan di kerusi DUN tersebut.

Malah, kehadiran Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa - yang sebelum ini amat dimarahi Nik Aziz kerana menyokong idea kerajaan perpaduan dengan Umno - juga tidak membantu.

Kalau di Kelantan sendiri, yang sudah 19 tahun ditadbir oleh PAS, ia menang tipis di Manek Urai, bagaimana pula dengan nasib kerajaan Pakatan di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor yang masih setahun jagung?

Mungkin juga para pengundi DUN itu termakan umpan BN mengenai latar belakang pendidikan dan kerjaya calon yang sepatutnya mewakili mereka - Tuan Aziz seorang lulusan universiti, manakala Mohd Fauzi seorang pemborong ikan.

Persoalan demi persoalan terus bermain di fikiran PAS, para penyokong Pakatan dan semua pengamat politik. Semuanya menghentak keasyikan tempoh bulan madu pembangkang sejak 8 Mac tahun lalu sewaktu gerhana singgah di Manek Urai. (Malaysiakini)

Ahad, Julai 12, 2009

Natrah 'hidup' dalam sejarah Melayu

Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@nstp.com.my


FATINI ambil masa empat bulan selidik kisah sedih Natrah.

NAMA Natrah kedengaran kembali selepas tidak disebut langsung sejak kali terakhir kedatangannya ke Malaysia, 10 tahun lalu. Namun kali ini beritanya diiringi khabar yang menyentuh hati sesiapa saja yang pernah menelusuri kisah suka duka wanita Belanda ini menerusi penulisan Datin Fatini Yaacob, bekas wartawan Dewan Masyarakat pada lewat 1980-an - Natrah sudah meninggal dunia.

Generasi hari ini mungkin tertanya-tanya siapa Natrah? Apa istimewanya wanita ini sehingga berita kematiannya mendapat liputan meluas media tempatan, kelmarin.

"Beliau sememangnya istimewa kerana Natrah akan terus hidup dalam sejarah Melayu dan Islam. Isunya sentiasa relevan dan menjadi penanda aras kepada undang-undang Islam," kata Fatini ketika ditemui di kediamannya di Shah Alam, baru-baru ini.


Natrah Maarof atau nama asalnya Maria Bertha Hertogh mati akibat leukemia di rumahnya di Huijberhen, selatan Belanda pada usia 72 tahun.


'Hebatnya' Natrah kerana kesan kehadirannya yang menjadi pertikaian antara bapanya yang berbangsa Belanda dengan ibu angkatnya dari Malaysia, sehingga mencetuskan rusuhan pada 1950 di Singapura yang menyebabkan 18 maut dan beratus-ratus lagi cedera selepas mahkamah memerintahkan beliau dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya.

Kematiannya membangkitkan kepentingan memperbetulkan laporan mengenai Natrah oleh media Barat yang memutar belitkan fakta.

NATRAH (dua dari kanan) bersama kakak dan adiknya.

"Perspektif yang salah mengenai Natrah dan ceritanya perlu diperbetulkan. Laporan media Barat menggambarkan seolah-olah orang Islam begitu agresif dan tidak menghormati keputusan mahkamah mengembalikan Natrah yang beragama Islam ke pangkuan ibu bapanya yang menganut Kristian sehingga tercetusnya rusuhan yang menyebabkan kematian.

"Namun cerita sebenar di sebalik rusuhan itu tidak pernah dilaporkan. Tiada satu laporan menyatakan rusuhan pada 1950 itu akibat kemarahan orang Melayu kerana akhbar Straits Times ketika itu berulang kali menyiarkan gambar Natrah melutut di depan patung Virgin Mary.

"Orang Melayu ketika itu menghormati keputusan mahkamah dan menerima hakikat kehilangan Natrah tetapi kemarahan mereka memuncak dengan penyiaran gambar itu. Ada pihak sengaja berbuat demikian dan media Barat mengambil kesempatan menjadikan laporan rusuhan itu untuk menunjukkan keburukan orang Timur.

"Bagaimana pula penerimaan penganut Kristian jika seorang kanak-kanak Kristian dipakaikan telekung dan dipaksa bersolat? Itulah yang dirasakan umat Islam yang melihat gambar itu," katanya.

CINTA Natrah dan Mansor tidak pernah padam dan dibawa ke mati.

Natrah anak Adeline Hunter dan Adrianus Petrus Hertogh, yang ditawan tentera Jepun pada 1942 di Indonesia.

Oleh kerana semangat anti-Barat begitu kuat di Indonesia, Natrah diserahkan ibunya kepada Che Aminah Mohamad dari Terengganu yang ketika itu berada di Indonesia tanpa pengetahuan bapanya. Che Aminah menukar nama Bertha kepada Natrah dan memeliharanya seperti anak sendiri serta diberi didikan Islam.

Selepas perang 1945, Hertogh dibebaskan dan berusaha mencari Natrah. Selepas ditemui, Che Aminah diperdaya membawa Natrah ke Singapura untuk bertemu bapanya, tanpa menyedari muslihat Hertogh untuk mengambil kembali anaknya itu.

Tindakan Hertogh mendorong Che Aminah memfailkan rayuan di mahkamah dan berjaya mendapat Natrah semula. Beliau kemudian dikahwinkan dengan Mansor Adabi pada usia 13 tahun.

Bagaimanapun, pada 12 Disember 1950, mahkamah mengarahkan supaya Natrah diserahkan kepada bapanya dan pulang ke Belanda. Keputusan itulah yang menjadi titik tolak kepada penderitaan dan kesengsaraan ditanggung Natrah sehingga mati.

"Natrah menderita kerana beliau tidak belajar memaafkan masa lalu. Terus terang, rasanya saya lebih mengenali Natrah daripada beliau mengenali diri sendiri. Jika boleh, saya ingin membawa Natrah ke dunia lain, keluar daripada ketakutannya dan beri pemahaman kepadanya mengenai takdir.

"Beliau tidak tahu menguruskan penderitaannya. Pegawai British yang bertugas di pusat kebajikan sosial ketika Natrah diletakkan di situ sementara menunggu keputusan mahkamah, pernah menulis dalam bukunya pada 1977 bahawa Natrah akan menderita sepanjang hidup kerana paksaan yang dikenakan ke atasnya.

"Ramalan itu menjadi kenyataan 20 tahun kemudian. Penderitaan dan ketakutan yang selama ini menyelubungi hidupnya dibawa sehingga mati," kata Fatini.

Sepanjang empat bulan menyelidik kisah berdarah itu, Fatini berkata, antara episod paling menyentuh hatinya ialah kesucian cinta antara Natrah dan suami yang tidak pernah berkesempatan menyentuhnya, Mansur Adabi, biarpun Natrah isterinya yang sah.

"Cinta mereka sejati. Cinta pertama yang dibawa mati. Bayangkan mereka cuma bernikah gantung dan belum lagi melakukan hubungan suami isteri. Biarpun dipisahkan tetapi cinta mereka tidak pernah mati.

"Air mata Natrah bergenang apabila saya menyebut mengenai Mansor ketika pertemuan kami. Cuma cinta mereka mustahil dijelmakan dalam bentuk untuk dapat bersatu semula sebagai suami isteri.

"Apabila televisyen Belanda menyiarkan dokumentari mengenai Mansor yang hidup senang dan bahagia dengan isteri baru, Natrah mengamuk. Beliau begitu tertekan sehingga ke tahap cuba membunuh suaminya," katanya.

Dihimpit kesengsaraan dipisahkan daripada ibu angkat dan suami dikasihi, Natrah mencari kebahagiaan dengan mengumpul wang. Namun itu juga tidak membahagiakannya.

"Saya berharap generasi muda mengambil iktibar daripada peristiwa itu. Kita perlu faham undang-undang sivil dan syariah dalam hak kekeluargaan kerana ketidakfahaman undang-undang menyebabkan Natrah terlepas daripada tangan orang Islam.

"Golongan muda juga perlu tahu isu itu meletakkan Malaya ketika itu dalam peta dunia, tarikh itu dimuatkan dalam muka depan akhbar seluruh dunia kerana ada pertembungan agama, budaya dan ia diperbesar-besarkan," katanya.


Gambar ihsan majalah Dewan Masyarakat

Khamis, Julai 09, 2009

MB Perak: Mahkamah Persekutuan benar Nizar merayu



Jul 9, 09 4:55pm
Perebutan jawatan menteri besar Perak bakal berlarutan di Mahkamah Persekutuan selepas mahkamah tertinggi itu memberikan kebenaran kepada menteri besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin merayu terhadap pengisytiharan Mahkamah Rayuan bahawa Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir adalah menteri besar yang sah.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Malaya Tan Sri Ariffin Zakaria dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, memberikan kebenaran itu selepas responden, Dr Zambry, dan pencelah Tan Sri Abdul Ghani Patail tiada bantahan terhadap permohonan itu.

Bagaimanapun, panel tiga hakim itu menolak permohonan Nizar bagi penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Rayuan yang dibuat pada 22 Mei lepas, lapor Bernama.

"Ini adalah keputusan sebulat suara, permohonan bagi penangguhan ditolak. Bagaimanapun, kami akan mengambil langkah untuk mendengar rayuan ini secepat mungkin," kata Alauddin.

Terdahulu, peguam yang mewakili Nizar, S Ambiga, memberitahu mahkamah bahawa peguam utama, Sulaiman Abdullah, tidak sihat dan tidak hadir pada prosiding hari ini.

Tiga persoalan

Ambiga, bekas presiden Majlis Peguam, kemudian mengemukakan tiga persoalan untuk pertimbangan mahkamah tertinggi itu:

1. Sama ada di bawah Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, jawatan Menteri Besar Perak kemungkinan atau telah dikosongkan,

2. Sama ada Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, penentuan isu kepercayaan ke atas Menteri Besar Perak telah dibuat oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Perak mengenai resolusi kepercayaan atau sebaliknya,

3. Sekiranya menteri besar enggan meletakkan jawatannya, sama ada mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Perak, seorang menteri besar mungkin dipecat daripada pejabat atau jawatan Menteri Besar dianggap kosong atau telah dikosongkan.

Ambiga kemudian meminta mahkamah bagi penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Rayuan.

"Setelah responden (Zambry) dilantik pada 6 Februari 2009 sehingga keputusan Mahkamah Rayuan pada 22 Mei, 2009, dalam masa tiga bulan, responden dan kerajaan Barisan Nasional telah mengambil tindakan yang tidak memberi manfaat kepada rakyat Perak," kata Ambiga sambil membaca afidavit yang diikrarkan oleh Nizar.

Baca afidavit

Antara tindakan tersebut ialah:

* Responden telah gagal atau enggan melaksanakan program-program kebajikan yang telah diluluskan dalam pembentangan bajet 2009 di Dewan Undangan Negeri seperti tabung kifalah, tabung khas kebajikan rakyat, peningkatan kadar bantuan bulanan kepada keluarga miskin dan tabung pinjaman perniagaan kecil.

* Menamatkan perkhidmatan ketua-ketua kampung seluruh Perak dan membubarkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan kampung

* Menukar senarai dan menamatkan perkhidmatan ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan

* Melengahkan projek perkhidmatan bas bersepadu Ipoh Sentral

* Melelong kereta Camry yang digunakan sebagai kenderaan rasmi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

"Kami membantah penangguhan keputusan. Jika penangguhan dibenarkan, mahkamah yang dihormati ini akan campur tangan dalam kuasa eksekutif menteri besar sedangkan mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian," hujah peguam yang mewakili Dr Zambry, Datuk Cecil Abraham.

Mohon perintah penangguhan

"Permohonan penangguhan ini adalah tidak betul. Dasarnya mungkin betul atau salah, terserah kepada ahli politik itu

"Jika penangguhan dibenarkan, perintah Mahkamah Tinggi akan dikekalkan semula dan perayu akan menjadi menteri besar. Ini adalah perkara yang mahkamah tidak patut lakukan," kata Abraham dan menambah kata bahawa pasukannya sudah bersedia untuk mempercepatkan perbicaraan kes itu.

Abdul Gani, selaku pencelah, turut mengambil pendirian sama dan membantah permohonan itu.

Ambiga menjawab: "Perintah sementara itu perlu diberikan untuk menghalang prejudis terhadap perayu. Sesetengah dasar itu tidak boleh diubah.

"Semua keputusan yang dibuat perayu dan anggota Exconya perlu diteruskan demi kepentingan rakyat di Perak.

"Responden telah memohon bagi penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi, mereka kini tidak boleh kata yang kami tidak boleh buat perkara yang sama," katanya.

Pada 13 Feb, tahun ini, Mohammad Nizar memulakan tindakan undang-undang bagi memohon diisytiharkan yang beliau adalah menteri besar yang sah dan injunksi untuk melarang Dr Zambry daripada menjalankan tugasnya.

Pada 11 Mei, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai menteri besar Perak yang sah tetapi keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 22 Mei.

Sasterawan negara gesa demo lagi mansuh segera PPSMI


Abdul Rahim Sabri
Jul 9, 09
8:33pm
Bagi memansuhkan serta-merta dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), seorang Sasterawan Negara mencadangkan satu lagi demonstrasi diadakan.

Bercakap kepada Malaysiakini malam ini, Datuk A Samad Said menyatakan "tidak begitu senangnya" dengan keputusan kerajaan semalam yang hanya memansuhkan dasar kontroversi pada 2012.

anti ppsmi rally 070209 tear-gas"Apa yang berlaku sekarang ini bukan memansuhkan (terus) PPSMI tetapi pemansuhan berlaku pada 2012, ini hanya pengumuman penangguhan PPSMI," katanya.

Beliau diminta menjelaskan lebih lanjut kenyataan awalnya di akhbar web PAS yang menyebut "demonstrasi jalanraya perlu diadakan sekali lagi tanda komitmen seluruh rakyat membantah PPSMI dan mendesak kerajaan segera memansuhkannya."
"Setiap perkara yang tidak dapat diselesaikan di dalam Dewan Rakyat perlu diadakan demonstrasi dan demonstrasi itu halal," Harakahdaily hari ini memetik A Samad sebagai berkata dalam satu wawancara.

Satu demonstrasi besar diadakan 7 Mac lalu, diketuai antaranya oleh A Samad sendiri, bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong memohon baginda campur tangan membatalkan dasar tersebut yang sentiasa dibantah sejak ia diperkenalkan.

A Samad, yang juga penasihat Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), dilaporkan berkata "tidak ada sebab bagi kerajaan menangguhkan pemansuhan dasar tersebut hingga ke tahun 2012 sedangkan ketika mahu melaksanakannya ia boleh dilakukan dalam tempoh enam bulan."

NONEPengumuman Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata tokoh sastera itu lagi, bersifat "mengumpan rakyat untuk menghadapi pilihanraya kecil DUN Manek Urai dan juga pilihanraya umum ke-13."

"Apa yang diumumkan oleh Muhyiddin itu hanya menangguhkan pemansuhan PPSMI bukan memansuhkannya terus.

"Jika benar mansuhkan, sepatutnya tahun depan semua pelajar Tahun Satu, Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat sudah mula belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu," A Samad dipetik berkata.

"Alasan mengatakan untuk mansuhkan perlu ambil masa tidak logik kerana ketika perdana menteri keempat dahulu (Tun Dr Mahathir Mohamad) mahu laksanakan hanya boleh ambil masa enam bulan, kenapa perdana menteri keenam (Datuk Seri Najib Razak) perlu ambil masa tiga tahun untuk mansuhkan?"

GMP pula menganggap pengumuman kerajaan semalam bermakna "mulai 2010 semua pelajar baru Tahun Satu sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan, sekolah menengah Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 akan memulakan sesi baru tahun (depan) dengan menggunakan bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda sepenuhnya."

"Untuk tujuan itu kementerian seharusnya telah bersedia untuk menyediakan buku teks dan bahan-bahan yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa kebangsaan atau dalam bahasa ibunda," kata Pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad.

"GMP penuh berharap agar perubahan ini berlaku bukan sahaja di peringkat sekolah rendah atau sekolah menengah sahaja malah meliputi semua peringkat pendidikan termasuk peringkat universiti."

anti ppsmi math and science education in english school childrenUntuk menangani kelemahan penguasaan Sains dan Matematik sewaktu PPSMI dilaksanakan, menurut satu kenyataannya hari ini, GMP menggesa Kementerian Pelajaran "mengadakan kelas pemulihan untuk membaiki pencapaian mereka" setaraf dengan mutu dua mata pelajaran tersebut sebelum 2003.

Dr Hassan juga mengumumkan satu majlis Sambutan Pemansuhan PPSMI yang akan diadakan di Stadium Baru Bandar Bangi pada 9 malam 19 Julai ini.

Sementara itu Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar pula dilaporkan berkata pengumuman ini bertujuan menjaga "kepentingan kroni" yang membekalkan peralatan pengajaran dan pembelajaran PPSMI.

"Patutnya ia dimansuhkan hingga tamatnya persekolah akhir tahun ini. Maknanya tahun hadapan, dasar itu tidak perlu lagi dilaksanakan.

"Kenapa mereka tidak mansuh segera, jawapannya ialah kerana masih ada projek termasuk membekal buku, laptop dan peralatan sebagainya yang diberi kepada kroni dalam dasar PPSMI ini," katanya seperti dilaporkan Harakahdaily.

Menyifatkan pengumuman itu "tidak boleh dipercayai", Mahfuz juga bimbang keputusan terbaru kerajaan itu tidak akan dilaksanakan "memandangkan dasar kerajaan sering bertukar".

Beliau dilaporkan berkata, jika BN berjaya kekalkan kemenangan kerajaan pusat pada pilihanraya umum akan datang, pemansuhan pastinya boleh berubah dengan pelbagai alasan.

"Ini sering berlaku kerana pemimpin yang ada hari ini jugalah yang mengampu dasar PPSMI ini semasa ia diumumkan Tun Dr Mahathir enam tahun lalu," Mahfuz dipetik berkata.

Mansuh PPSMI 'kejayaan rakyat'


Abdul Rahim Sabri
Jul 8, 09
4:45pm
Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), Datuk Hassan Ahmad menyifatkan keputusan kerajaan memansuhkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) mulai 2012 sebagai satu kejayaan rakyat.

"Rakyat seluruhnya tentu lega dan gembira, kerana pengajarannya di sekolah kebangsaan Cina dan India juga turut dikembalikan kepada bahasa ibunda masing-masing," katanya kepada Malaysiakini.

GMP merupakan gabungan badan-badan bahasa, NGO dan parti-parti politik yang ditubuhkan untuk mendesak kerajaan supaya memansuhkan dasar yang diperkenalkan sejak 2003.

anti ppsmi rally 070209 tear-gasMelalui GMP, isu PPSMI juga turut dibangkit dalam kempen beberapa pilihanraya kecil yang diadakan sejak awal tahun ini.

Hassan mengucapkan syabas kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin, yang menteri pelajaran, kerana "berani membuat keputusan yang benar" demi kebaikan masa depan rakyat.

Katanya, PPSMI merupakan satu dasar yang salah dan menyusahkan rakyat serta membazirkan wang untuk kembali kepada dasar asalnya.

"Walaupun pelaksanaan sepenuhnya hingga 2012, tetapi bagi saya ia melibatkan operasi, bukan soal dasar PPSMI," katanya ketika diminta mengulas pengumuman Muhyiddin hari ini.

Hassan berkata, GMP memberi sokongan penuh kepada beliau sehingga proses seterusnya sehingga 2012.

Berikutan itu, katanya, GMP akan bermesyuarat dalam masa terdekat sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai pemansuhan PPSMI.

Daulat bahasa Melayu

Ditanya sama ada pemansuhan itu lebih baik dilaksanakan secara serta-merta, Hassan berkata:

"Tak usahlah, tak payah begitu. Kita dah enam, tujuh tahun (dalam dasar itu), sekarang sudah kembali sepenuhnya seperti dahulu.

anti ppsmi rally 070209 rally 02"Apa yang kerajaan perlu buat, ialah tumpu perhatian dengan meningkatkan kaedah pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, bukan bahasa pertama.

"Supaya anak-anak semua kaum mahir bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua," tambahnya.



'Hanya sebahagian selesai'

Sementara itu, Setiausaha Gabungan Penulis Nasional (Gapena) Datuk Dr Zainal Abidin Borhan menyifatkan 'sebahagian daripada isu PPSMI masih belum selesai'.

Katanya, ini kerana pemansuhan dasar tersebut hanya membabitkan sekolah rendah dan sekolah menengah tetapi tidak mengambil kira pelajar tingkatan enam dan matrikulasi.

"Secara peribadi, saya menyatakan sebahagian daripada perjuangan (Gapena) itu belum selesai.

"Kalau kita lihat dari sudut sosialnya, ada pembahagian pelajar yang mengambil aliran sains dan aliran sastera, kita dapati pelajar kelas sains akan terus belajar sains dan matematik dan seluruh mata pelajaran sains dalam bahasa Inggeris.

"Sedangkan aliran sastera di tingkatan enam, akan terus mengalami diajar dalam bahasa Melayu. Jadi kita lihat berlaku dualisme dalam pembahagian masyarakat.

"Dan ini akan membentuk psikologi pemikiran bahawa barangkali yang berbahasa Inggeris lebih baik daripada yang berbahasa Melayu.

"Ini akan menyebabkan pemilihan universiti akan berubah kerana pelajar mencari institut pengajian tinggi yang lebih mudah dan lebih selesa (diajar) dalam bahasa Melayu, tidak dalam bahasa Inggeris. Dan ini sudah berlaku sekarang," katanya dalam satu sidang akhbar.

Gapena akan bantu

Sementara itu, Ketua 1 Gapena, Tan Sri Ismail Hussein pula berkata menyifatkan pemansuhan PPSMI itu sebagai satu tindakan yang "sangat realistik" kepada rakyat Malaysia.

"Kami berikrar memberi segala pertolongan yang boleh (kepada kerajaan) untuk membantu dan menyumbang tenaga untuk memantapkan kedudukan bahasa di Malaysia," kata dalam sidang media yang sama.

"Kami menyokong bahasa Melayu sebagai kebangsaan dan bahasa Inggeris juga menjadi bahasa antarabangsa, kami harap sangat sifat-sifat dan perangai lama tidak dilanjutkan iaitu mementingkan bahasa Inggeris dan mempermainkankan Bahasa Melayu.

"Bahasa Melayu harus terus di beri perhatian dan dimantapkan sebagai bahasa kebangsaan dan sebagai bahasa perhubungan," katanya.

Manakala Ketua Gapena 2, Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar pula berkata, ia menunjukkan kerajaan "mendengar pandangan rakyat" dan membuat "keputusan yang bijak".

"Kombinasi semua kajian termasuk kajian Pembina dijadikan sebagai panduan utama iaitu dasar PPSMI itu merugikan orang Melayu terutama di luar bandar.

Namun, katanya, bahasa inggeris dan bahasa lain harus dipelajari sebagai satu usaha untuk menambah ilmu pengetahuan di kalangan rakyat Malaysia.

Beliau juga berharap agar kerajaan konsisten untuk menjadikan bahasa Melayu juga dijadikan sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan di Malaysia.

Daulat bahasa Melayu

Sementara itu, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) turut menyambut baik keputusan kerajaan itu.

"Keputusan itu merupakan satu tafsiran komitmen kerajaan untuk mempertahan dan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Ia juga cerminan sikap kerajaan yang bersedia untuk mendengar dan mengambil pertimbangan sewajarnya terhadap suara rakyat," kata badan itu dalam satu kenyataan.

NGO itu juga berpendapat bahawa keputusan tersebut bijak serta bertepatan dengan usaha untuk mengukuhkan perpaduan nasional melalui bahasa kebangsaan (Malaysiakini)

Rabu, Julai 08, 2009

PPSMI dimansuhkan mulai 2012


Jul 8, 09 1:05pm
kemaskini 2.45pm Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan sepenuhnya tiga tahun lagi, demikian diumumkan menteri pelajaran.

Pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin itu, susulan keputusan mingguan jemaah menteri pagi ini, dibuat jam 2.30 di kementeriannya di Putrajaya.

Di sekolah kebangsaan, bahasa Melayu akan menggantikan bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik, sementara sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil akan menggunakan bahasa ibunda masing-masing.

Pemansuhan itu dijalankan berperingkat-peringkat sehingga semua pelajar yang terlibat dengan dasar itu tamat peringkat masing-masing.

Dasar yang diperkenalkan sejak 2003 itu mendapat semakin banyak bantahan, khususnya sejak awal tahun ini apabila sekumpulan aktivis bahasa berjaya menggerakkan ribuan orang berarak ke Istana Negara.

Selain memimpin Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), yang mengepalai demonstrasi besar itu, tokoh sastera Datuk A Samad Said juga menyertai sekumpulan lima Sasterawan Negara membantah dasar itu - mencipta rekod bantahan golongan budayawan Melayu.


Rentetan pelaksanaan PPSMI

19 Julai 2002 - mesyuarat khas jemaah menteri, waktu itu perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meluluskan dasar baru Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

Januari 2003 - dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat dengan dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah

Januari 2007 - pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah

Januari 2008 - pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah

Mac 2009 - lebih 8,000 menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk A Samad Said dan Datuk Dr Hassan Ahmad.

Mac 2009 - Satu kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik.

Kajian 53 pakar bahasa itu, merumuskan dasar kontroversi tersebut "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik."

Mei 2009 - kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini - sekali gus buat pertama kali dalam sejarah penentangan dasar kerajaan.

Jun 2009 - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran "jangan jadikan pelajar bahan ujian" dasar yang "jelas mempunyai pelbagai kelemahan ketara"

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata "salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya."

Julai 2009 - Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan dasar PPSMI dimansukan sepenuhnya pada 2012 (Malaysiakini)
Related Posts with Thumbnails