Teman Kome Weh....

Jumaat, Oktober 30, 2009

Badan ikan toman bunga tertera kalimah "Allah"


KEAJAIBAN MAHA PENCIPTA ... Seorang peneroka di Rancangan Tanah Felda Aring Satu, Gua Musang, Mustapha Zakaria menunjukkan ikan toman bunga peliharaannya yang tertera kalimah Allah pada badan ikan itu. Mustapa memelihara ikan itu lebih setahun lalu apabila rakannya memberi ikan tersebut yang dipancing di Sungai Kampung Rasa, Pasir Puteh. Kalimah Allah itu kelihatan lebih jelas menjelang malam ekoran badan ikan yang lebih bercahaya. -Foto BERNAMA

SEORANG peneroka di Rancangan Tanah Felda Aring Satu, Gua Musang, Mustapha Zakaria, 53, tidak sangka ikan toman bunga yang dipelihara lebih setahun lalu ada tulisan kalimah Allah di kedua-dua belah badannya.

Semasa ditemui di rumahnya baru-baru ini, beliau menyedari mengenai perkara itu apabila diberitahu oleh imam rancangan tanah berkenaan, Nordin Ariffin, yang mengunjungi rumahnya ternampak tulisan itu.

"Saya pada mulanya tidak percaya ada tulisan kalimah Allah tetapi selepas saya amati ikan yang saya pelihara di dalam akuarium itu, ternyata ia adalah benar.

"Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian itu dan saya tidak bercadang untuk menjualnya walaupun ada peneroka menawarkan harga RM300," katanya.

Mustapha berkata dia memperolehi ikan toman itu daripada rakannya di Kampung Rasa, Pasir Puteh, selepas rakannya memancing di sungai kampung terbabit.

Beliau berkata semasa membawa balik ikan toman itu lebih setahun lalu saiznya lebih kecil dalam sekitar setengah kilogram sahaja tetapi sekarang bertambah besar hingga mencapai lebih satu kilogram.

"Memang pada mulanya saya tidak berniat untuk memelihara lebih lama kerana sebelum ini saya pernah memelihara ikan jenis serupa dan menjualnya kepada orang lain," katanya.

Namun, tambah beliau kali ini dia akan terus menjaga dengan baik ikan toman berkenaan yang semakin bercahaya dan semakin ramai peneroka rancangan tanah terbabit datang melihatnya setiap hari.

"Menjadi hobi saya memelihara ikan dalam akuarium sejak usia remaja lagi tetapi ini adalah pertama kali ikan yang saya pelihara ditemui ada tulisan kalimah Allah.

"Ikan toman ini lebih bercahaya pada waktu malam hingga tulisan kalimah jelas kelihatan," katanya. BERNAMA

Selasa, Oktober 27, 2009

Sungai Kampar yang menelan nyawa!

Guru, pengawal nekad selamat 19 murid
Okt 27, 09 3:34pm
Tindakan nekad seorang guru dan tiga pengawal keselamatan terjun mengharung air deras dalam kegelapan malam menyelamatkan 19 murid daripada hanyut dalam kejadian jambatan runtuh di kawasan perkhemahan Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta di Ipoh malam tadi.

Hanya cahaya samar lampu dari kawasan perkhemahan yang terletak di seberang tebing sungai berkenaan membantu usaha menyelamat itu.

Suasana ketika itu kelam-kabut dengan jeritan minta tolong dan tangisan murid yang berpaut pada tali jambatan, kata pengawal keselamatan SK Kuala Dipang, Zulkifli Mohamad, 38, kepada pemberita hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 10.30 malam itu, 22 murid terjatuh ke dalam Sungai Kampar semasa sedang menaiki jambatan gantung yang baru dibina dua minggu lepas itu untuk jamuan malam di SK Kuala Dipang.

Kumpulan itu adalah antara 298 murid dari 64 sekolah rendah dari Tronoh, Batu Gajah dan Kampar yang menyertai perkhemahan 1Malaysia di pusat berkenaan yang terletak di tebing berdepan sekolah berkenaan.

Menceritakan semula detik-detik cemas malam tadi, Zulkifli berkata kejadian itu berlaku secara tiba-tiba dan tanpa berfikir panjang beliau terus terjun ke sungai berkenaan untuk membantu mangsa.

Dua lagi rakannya Rosli Mohamad, 44, dan Ismail Ahmad 62, turut terjun ke sungai bagi menyelamatkan kanak-kanak terbabit.

Zulkifli berkata rakannya Rosli berjaya membawa naik enam murid manakala beliau dan Ismail sempat menarik naik antara empat dan enam murid.

"Air sungai sangat deras dan saya bersyukur kerana dapat membantu dengan cepat," katanya.

Sementara itu seorang guru Mohd Safri Abdul Rafar berkata beliau berada tidak jauh dari jambatan dan terkejut apabila terdengar bunyi benda jatuh diikuti oleh jerit pekik.

Menyedari jambatan itu runtuh ketika murid-murid berada di atasnya, beliau nekad terjun ke sungai dan mengharungi arus deras bagi menyelamatkan mereka.

Seorang pelajar yang terselamat dalam kejadian itu Mohd Haziq Teng Mohd Salleh, 12, dari Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bemban, Batu Gajah, berkata semasa kejadian, beliau berada di tengah-tengah jambatan.

"Tiba-tiba sahaja saya tercampak ke dalam sungai, air sangat deras... saya bersyukur kerana sempat berpaut pada tali yang terjuntai dari titi dan dapat menyelamatkan diri dengan menaiki tepi tebing," katanya.

Perkhemahan yang bermula semalam dijadual hingga Khamis dan pendaftaran peserta dibuat sejak 3 petang semalam.

Jambatan sepanjang kira-kira 50 meter itu baru siap dibina dua minggu lepas bagi menggantikan sebuah jambatan gantung lama yang runtuh sebelum ini dan ia menghubungkan tapak perkhemahan untuk ke SK Kuala Dipang.

Seramai 23 guru terlibat dengan perkhemahan itu dan kem yang diadakan di SK Kuala Dipang itu adalah yang kedua dianjurkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan selepas perkhemahan di SK Pos Raya minggu lepas. BERNAMA

Rabu, Oktober 21, 2009

Hebat Saman Anwar Di Tolak Sebab 'Teknikal' bukan Sebab ada kesalahan atau tidak...




Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung saman fitnah RM100 juta terhadap mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hakim Datuk Abdul Malik Ishak yang mengetuai panel tiga hakim yang mendengar kes tersebut membenarkan permohonan peguam Datuk VK Lingam yang mewakili Dr Mahathir, untuk menolak rayuan tersebut atas sebab teknikal.

Abdul Malik juga berkata, ia keputusan sebulat suara serta mengarahkan Anwar membayar kos.

Dua lagi hakim ialah Datuk Azhar Ma'ah dan Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad.

Sebab teknikal tersebut ialah peguam Anwar tidak menyediakan memorandum rayuan dalam bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Malaysia.

Lingam juga berhujah bahawa peguam Anwar juga tidak menandatangani memorandum tersebut dan oleh itu, ianya menjadi cacat.

Dengan keputusan hari ini, maka rayuan Anwar tidak akan didengar pada 2 November seperti yang dijadualkan sebelum ini.

Anwar telah menyaman fitnah matan perdana menteri itu berhubung kenyataan yang dibuatnya di satu sidang akhbar Suhakam.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membatalkan saman Anwar itu pada Julai 2007 tanpa mendengar merit kes tersebut dan begitu dengan rayuan hari ini- Kedahonline

Ahad, Oktober 11, 2009

ISA menang!

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama-sama Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri) mengangkat tangan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad setelah diumumkan menang pada pilihan raya itu di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson di sini, malam ini. Mohd Isa mengalahkan calon PAS Zulkefly Mohamad Omar dengan majoriti 5,435 undi dalam pilihan raya itu - foto BERNAMA

Jumaat, Oktober 09, 2009

Tahniah UM! Kini dalam ranking 200 terbaik dunia


PETALING JAYA: Universiti Malaya (UM) meletakkan Malaysia semula dalam senarai 200 universiti terbaik oleh Times Higher Education (THE)-QS World University Rankings 2009 selepas melonjak sebanyak 50 tangga tahun lalu ke tangga 180 tahun ini.

Pengarah Urusan QS, Nunzio Quacquarelli berkata, ranking itu bukan sahaja mengenalpastikan ranking tertinggi universiti di dunia, bahkan universiti yang cemerlang dalam subjek-subjek utama tertentu, menjadi sasaran para majikan, menghasilkan penyelidikan terbaik, melabur dalam pengajaran serta mempunyai profil antarabangsa.

Universiti tempatan lain yang turut meningkat rankingnya ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menduduki tangga 320 berbanding 356 tahun lalu.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) jatuh antara satu hingga 41 tangga kepada kedudukan ke-291, 314 dan 345 masing-masing.

Ketua QS Quacquarelli Symonds Ltd Intelligence Unit Ben Sowter berkata, kebangkitan semula UM dalam ranking 200 terbaik dunia adalah amat mengagumkan.

"Usaha kolektif universiti untuk menarik sejumlah besar para pelajar antarabangsa menunjukkan satu harapan yang progresif," katanya dalam satu temuramah emel.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberitahu The Star bahawa kementerian menyedari universiti-universiti tersebut lemah dalam citation per faculty dan peer review.

Universiti Harvard sekali lagi mengungguli ranking THE-QS diikuti Cambridge, Yale, University College London, Imperial College, Universiti Oxford, Universiti Chicago, Universiti Princeton, Massachusetts Institute of Technology dan California Institute of Technology.

Institusi pengajian tinggi Asia yang mempunyai ranking tertinggi dalam senarai THE-QS adalah Universiti Tokyo (22), Universiti Hong Kong (24), Universiti Kyoto (25) dan National University of Singapore (30).

Naib Canselor UM Prof Datuk Dr Ghauth Jasmon berkata kejayaan tersebut meningkatkan semangat dan motivasi semua staf dan pelajar agar lebih berusaha mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.

"Pendefinisian semula Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk para akademik, inisiatif-inisiatif baru dilaksanakan dalam rangkaian antarabangsa, pengambilan staf dan para pelajar telah menghasilkan impak yang cepat dan positif," katanya.

Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Zaini Ujang berkata peningkatan dalam ranking universiti adalah ekoran strategi dalam perangkaian, kualiti, penyelidikan strategik, sinergi dan budaya organisasi.

Mengenai kejatuhan ranking UKM dari tangga 250 ke 291, Timbalan Canselor (Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa) Prof Dr Hassan Basri berkata pihak universiti tidak terkejut dengan penurunan ranking itu.

Ini kerana katanya, THE-QS telah menunjukkan bahawa penyelarasan secara metodologi dan tinjauan dinamik akan mengurangkan markah secara signifikan untuk academic peer review and kriteria tinjauan majikan untuk tempoh tiga tahun bermula tahun 2008.

Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Nik Mustapha R. Abdullah berkata dia hairan mengenai penurunan ranking universiti walaupun pencapaian universiti tahun lalu adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Ahad, Oktober 04, 2009

Terengganu gempa?


Masjid Kampung Batu Putih Kerteh Kemaman yang runtuh semalam

1Dunia kelam kabut pasai bencana alam di Samoa, Indonesia dan Filipina, tetiba kita digemparkan masjid di Terengganu runtuh, satu parah.

Ribut tidak, gempa bumi tidak, tapi di Terangganu senang senang saja berlaku bangunan runtuh. Kalau sebelum ini bumbung sekolah dan stadium yang runtuh kali ini bumbung masjid pula yang runtuh.

Khamis, Oktober 01, 2009

Malapetaka Padang yang dahysat





Kami berdoa ke hadrat Allah s.w.t semoga saudara yang ditimpa musibah di Padang, Sumatera Barat beroleh tabah dan redha atas ketentuan Illahi. Malapetaka di Padang itu adalah ujian-Nya menguji sejauh mana ketabahan dan kesabaran kita dalam menghadapi ujian Allah. Kita perlu redha dan kami di Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa gempa bumi dan menyatakan simpati kami kepada mereka.

Related Posts with Thumbnails