Teman Kome Weh....

Rabu, Julai 28, 2010

Ketua Pengarah Pelajaran Sambut Baik Guru Dibenarkan Berpolitik


PULAU REDANG: Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom menyambut baik langkah kerajaan membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 melibatkan diri dalam politik bermula 1 Ogos ini.

Beliau berkata, guru memiliki banyak ciri kepimpinan dan ia telah dibuktikan dalam sejarah negara sendiri apabila mereka menjadi antara pejuang yang menuntut kemerdekaan.

"Saya kira dengan cara ini mereka boleh membantu, khususnya untuk meningkatkan lagi pendidikan dan juga untuk memberi khidmat kepada masyarakat. Ini merupakan satu peluang kepada guru-guru kita dan saya ucapkan terima kasih di atas kebenaran itu," katanya selepas majlis pelancaran semaian 501 ranting karang yang dicatat dalam Malaysia Book of Record di sini hari ini. Majlis turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Taman Laut Abdul Jamal Maidin.

Alimuddin berkata, selepas merdeka, ramai guru terlibat dalam politik namun apabila larangan berhubung pembabitan guru siswazah dalam bidang itu dikeluarkan kerajaan, mereka tidak dapat menunjukkan daya kepimpinan yang ada.

"Jadi, dengan kebenaran itu, guru-guru yang mempunyai kebolehan dapat menunjukkan bakat kepimpinan yang saya rasa guru-guru memang mempunyai banyak ciri itu," katanya. - BERNAMA

Related Posts with Thumbnails