(Berita Harian - Surat dan emel pembaca)
SEWAKTU merasmikan Seminar Pemikiran Suhaimi Haji Muhammad dan Malim Ghozali PK serta Malam Gema Puisi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), wakil Menteri Besar Perak yang juga Exco kerajaan Perak ada mengumumkan beberapa berita menarik.
Antaranya, persetujuan kerajaan Perak membeli semua buku yang dilancarkan sebanyak 1000 naskhah setiap judul, penubuhan Kerusi Tengku Menteri, Institut Perakologi, Hadiah Sastera Perak Darul Ridzuan dua tahun sekali dan sebagainya.
Kesemua pengumuman itu dilaporkan oleh akhbar arus perdana termasuk Berita Harian beberapa hari kemudian. Akhbar Berita Harian menyiarkannya di ruangan sastera bertarikh 28 April 2010.
Bagaimanapun, apa yang mengecewakan sehingga kini tiada maklum balas dari kerajaan Perak terhadap semua dijanjikan itu khususnya pembelian buku dilancar pada malam 6 Mac 2010. Kesemua janji hanya tinggal janji.
Sejajar dengan konsep Gagasan 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan dan slogan Perak Amanjaya, kerajaan Perak wajar menunaikan janji itu dengan telus dan saksama.
TEROPONG SILUMAN,
Perak.