Teman Kome Weh....

Jumaat, Julai 15, 2011

CUEPACS mohon kerajaan pertimbang bonus dua bulan

15/07/2011 8:53pm

KUANTAN 15 Julai – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian dua bulan bonus kepada seluruh penjawat awam tahun ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, CUEPACS telah memohon secara rasmi mengenai perkara itu dan mengharapkan berita baik daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet Oktober ini.

"Kami telah menghantar surat memohon dua bulan bonus bukan setakat sehingga gred 54 sahaja tetapi keseluruhan penjawat awam, namun ia tertakluk kepada kemampuan kerajaan.

"Penjawat awam harapkan sesuatu tahun ini kerana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ada yang mendapat sehingga lapan bulan bonus sedangkan kita penjawat awam yang betul-betul di bawah kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan hanya dapat bantuan khas RM500,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tritahunan kali ke-24 ANULAE cawangan Majlis Perbandaran Kuantan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemberian bonus yang kali terakhir diberi pada dua tahun lepas perlu dipertimbangkan berdasarkan peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa ini. – Bernama

MBI jawab cadangan Karyawan Pk

Tukar nama jalan perlukan kajian

MANJOI – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyatakan pihaknya menerima permohonan daripada Persatuan Karyawan Perak agar nama Jalan Caldwell ditukar kepada Jalan Pawang Ana.

Setiausahanya, Datuk Abdul Rahim Md Ariff berkata, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan untuk menukarkan nama jalan berkenaan dan memerlukan kajian yang lebih mendalam.

“Memang ada permohonan daripada pihak berkaitan agar menukar jalan berkenaan kepada Pawang Ana namun kita perlu pertimbangkan banyak perkara kerana ia akan memberi impak kepada kawasan itu sendiri.

“Bila dah tukar ia akan beri kesan kepada penduduk di kawasan berkenaan, perlu tukar poskod dan sebagainya malahan kawasan berkenaan amat terkenal dengan kawasan yang membangun serta penuh dengan nilai komersial,” katanya kepada pemberita ketika lawatan turun padang ke Kampung Sungai Tapah di sini semalam.

Katanya, MBI sehingga kini masih dalam peringkat mengkaji secara menyeluruh cadangan daripada Karyawan Perak dan pihaknya belum lagi membuat sebarang keputusan.

“Memang kami terima permohonan rasmi daripada mereka dan sehingga kini belum ada lagi tindakan yang diambil dan kita sedang kaji dengan lebih mendalam perkara ini.

“Isu ini tidak sama dengan Jalan Ismail Shah Bodin yang baru diluluskan kerana ia tidak melibatkan poskod dan sebarang kediaman penduduk jadi mudah kita luluskan. Jadi, Jalan Caldwell ini berlainan sedikit malah perlu kajian mendalam,” katanya. Sinar Harian Edisi Perak 15 Julai 2011

sumber: http://www.sinarharian.com.my/sh/perak/content/story9329170.asp

Selasa, Julai 12, 2011

Saran MPKK, MBI tukar nama

Saran MPKK, MBI tukar nama

IPOH - Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) mencadangkan pihak Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) menukar nama Riverfront Kuala Kangsar kepada Tebing Lam Sayong.

Presidennya, Zabidin Ismail berkata, cadangan itu mengambil guna nama klasik Kampong Sayong iaitu Lam Sayong seperti yang dicadangkan seorang pengarang terkenal anak Perak, Datuk Mokhtar Petah.

Menurutnya, nama itu walaupun kelihatan tidak komersial tetapi mengandungi unsur sejarah dan jati diri Kuala Kangsar sebagai Bandar Diraja.

“Kami menyokong ketegasan Menteri Besar (MB), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kerana mengambil berat dalam mendaulatkan bahasa Melayu berhubung isu ini.

“Kerajaan Negeri juga dilihat serius apabila mengarahkan MPKK mengutamakan bahasa Melayu dalam pemberian nama projek-projek yang dibangunkan di bandar itu,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Zabidin berkata, Kuala Kangsar yang terkenal dengan Labu Sayong akan lengkap dengan penggunaan nama Lam Sayong kepada tebingan Sungai Perak serta menimbulkan daya tarikan tersendiri bagi pelancong untuk mengetahuinya lebih mendalam.

Isu itu timbul apabila orang ramai mempertikai tindakan MPKK menggunakan nama “Riverfront Kuala Kangsar” bagi mempromosi destinasi pelancongan baru berhampiran Sayong.

Bagaimanapun MPKK dilihat cuba mempertahankan tindakannya walaupun menerima bantahan ramai malah desakan badan bukan kerajaan (NGO) serta badan-badan penulis tidak diendahkan sebaliknya MPKK menyalahkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang lambat menterjemahkan Riverfront Kuala Kangsar ke bahasa Melayu.

Zabidin berkata, menyentuh tentang arahan MB yang meminta MPKK dan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengutamakan bahasa Melayu di setiap premis termasuk nama jalan adalah tindakan yang kena pada masanya.

Katanya, Karyawan Pk mengambil kesempatan merujuk cadangannya ke Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) agar nama Jalan Caldwell ditukar kepada Jalan Pawang Ana telah ditolak oleh pihak berkenaan tanpa sebarang alasan.

“Kami sedia berbincang kerana alasan dan rasionalnya telah dikemukakan kepada MBI, Ia sebahagian resolusi Seminar Pemikiran Pawang Ana yang telah diadakan pada 25 Oktober tahun lalu.

“Karyawan Pk berharap MBI menimbangkan semula cadangan itu selaras dengan arahan MB itu,” tambahnya - Sinar Harian, Edisi Perak 12 Julai 2011

Jumaat, Julai 01, 2011

Jambatan terpanjang di dunia




Jiaozhou Bay Bridge, yang menghubungkan Bandar Qingdao dengan kawasan industri Huangdao, mulai beroperasi. Jambatan sepanjang 42 kilometer ini, tercatat sebagai jambatan terpanjang di dunia.
Menurut Han Shouxin, Timbalan Pengarah Traffic Management Qingdao City, jambatan tersebut bakal memendekkan tempoh perjalanan 40 minit kepada 20 minit sahaja. Jaraknya juga dapat dipendekkan sehingga 30 kilometer.
Related Posts with Thumbnails