Teman Kome Weh....

Isnin, Februari 28, 2011

Pengarah SPR Pahang Meninggal Dunia



TEMERLOH: Pengarah Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) Pahang, Datuk Ismail Mohd Yusoff meninggal dunia di Hospital Sultan Ahmad Shah di sini petang Isnin kerana serangan jantung.

Pegawai pengurus pilihan raya kecil Kerdau, Datuk Tarif Abdul Rahman berkata, Ismail, 57, yang meninggal dunia pada pukul 3.15 petang, dimasukkan ke hospital itu pagi tadi.

Beliau berada di sini bagi melihat persiapan pilihan raya kecil Kerdau yangakan diadakan Ahad ini, yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Syed Ibrahim Syed Ahmad dan calon PAS, Hassanuddin Salim.

DUN Kerdau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim daripada BN akibat penyakit jantung pada 12 Feb lepas. - BERNAMA

Ahad, Februari 27, 2011

Dr Mahathir: Malaysia makmur kerana Melayu sanggup kongsi kuasa



Oleh Melissa Chi

February 26, 2011

PASIR SALAK, 26 Feb – Malaysia makmur dan aman pada hari ini disebabkan kesediaan orang Melayu untuk berkongsi kuasa negara ini dengan kaum-kaum, kata Tun Dr Mahathir Mohamad sambil menegaskan “perjuangan kami adalah halal.”

Bekas perdana menteri (gambar) mengatakan pendirian terbaru ini semasa berucap di hadapan sekitar 10,000 orang yang menghadiri Perhimpunan Perkasa Melayu Perak di Pasir Salak – salah satu lokasi bersejarah negeri utara Semenanjung ini.

“Kita tahu bahawa negara ini berjaya kerana kesediaan orang Melayu sanggup bekerjasama dengan kaum-kaum lain sepanjang 50 tahun untuk memerintah negara, bukan sahaja dengan orang Melayu tetapi juga dengan kaum-kaum lain.

“Kami sedia untuk berkongsi (kuasa) pemerintahan negara ini,” katanya yang juga penaung Perkasa pimpinan Datuk Ibrahim Ali.

Bagaimanapun dakwa Dr Mahathir, kedudukan orang Melayu lebih buruk berbanding kaum-kaum lain.

“Apa yang dimiliki oleh orang lain, kami tidak persoalkan. Itu hak mereka, tetapi hak sedikit yang kami ada, jangan ambil daripada kami,” kata beliau dengan merujuk kepada keistimewaan yang diperuntukkan oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Perkasa juga mahu pendekatan afitmatif dalam DEB dipertahankan.

Dr Mahathir memberitahu bukan hasrat pihak kerajaan untuk menggunakan pendekatan keras untuk mengambil hak orang lain sebagaimana disaksikan di negara-negara lain.

Sebaliknya kata bekas presiden Umno ini, beliau hanya mahukan hak orang Melayu tidak dilarikan daripada mereka.

“Perjuangan kami adalah halal. Kami hanya berjuang untuk tempat di negara ini. Bukan banyak yang diminta walaupun kami merangkumi 60 peratus penduduk negara ini, kami hanya meminta 30 peratus, hanya separuh daripada itu,” katanya.

“Saya tidak fikir ia sesuatu yang tamak untuk meminta (hanya) separuh daripada apa yang menjadi hak kami,” katanya lagi

Sabtu, Februari 19, 2011

PRK serentak Merlimau dan Kerdau

Posted by admin | Saturday, February 19, 2011



Print
ShareThis

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil DUN Kerdau diadakan pada 6 Mac dan penamaan calon pada 26 Februari, yang diadakan serentak dengan pilihan raya kecil DUN Merlimau.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof malam ini dalam sidang media di Kuching.


Pilihan raya Kerdau diadakan ekoran penyandangnya Zaharuddin Abu Kassim daripada BN yang meninggal dunia pada 12 Februari lalu akibat serangan jantung.

Ia merupakan pilihan raya kecil kali ke-16 bakal diadakan selepas pilihan raya umum 2008.

Ia juga pilihan raya kecil pertama di Pahang.

Dalam pilihan raya umum lalu Zaharuddin menang kerusi DUN Kerdau dengan majoriti 1,615 undi, menewaskan calon PAS, Hassanudin Salim.

Kawasan tersebut mempunyai pengundi yang terdiri daripada 89 peratus Melayu, 6 peratus Cina, 3.7 peratus India dan 2.5 peratus kaum-kaum lain. -MK

Rabu, Februari 16, 2011

UNISEL Kini Universiti Selangor


SHAH ALAM: Universiti Industri Selangor (UNISEL) secara rasmi ditukar nama kepada Universiti Selangor berkuat kuasa serta merta.

Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di sini pada Rabu.

Beliau berkata pertukaran nama itu dibuat selaras dengan program penjenamaan semula UNISEL yang telah berusia 11 tahun dan bagi memenuhi cabaran masa kini. "Nama “Industri”, yang diberikan untuk memenuhi keperluan industri Selangor satu ketika dahulu, perlu ditukar selaras dengan perkembangan ekonomi.

"UNISEL perlu menjadi lebih komprehensif dengan menawarkan kursus-kursus bukan sahaja industri malah sains, teknologi, bahasa dan komunikasi," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Rabu.

Menurutnya, penjenamaan semula itu sebagai proses transformasi untuk melonjakkan nama UNISEL sehingga ke peringkat antarabangsa dan setaraf dengan universiti tempatan yang sedia ada. "Penukaran nama ini telah mendapat kelulusan Kementerian Pengajian Tinggi hari ini. Kita akan mengadakan majlis sambutan sempena penukaran nama ini pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

"Dengan perkembangan akademik yang pesat, UNISEL juga perlu melakukan perubahan positif yang mencerminkan hasrat kerajaan Selangor yang mahu melahirkan modal insan yang cemerlang dan mampu menyumbang kepada kemajuan di Malaysia dan Selangor,” katanya. Beliau berharap penjenamaan semula UNISEL ini bukan hanya dari segi penukaran nama sahaja namun ia perlu juga disusuli dengan usaha dan tatacara kerja yang professional, telus dan bertanggungjawab.-mStar

Isnin, Februari 14, 2011

Pro Canselor Universiti Selangor yang baru diketahui



Pro-canselor Universiti Industri Selangor Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dipilih menggantikan isteri perdana menteri Rosmah Mansor sebagai canselor baru universiti milik kerajaan negeri itu.

Menurut sumber, pelantikannya akan berkuatkuasa pada 21 Februari depan dan beliau dijadual menerima watikah daripada Sultan Selangor pada sebelum 9 Mac ini.

Pelantikan itu dijadual diumumkan oleh exco pendidikan negeri Dr Halimah Ali di bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri di Shah Alam pada jam 3.30 petang ini.

Pengumunan pengganti Rosmah itu sekali gus bakal menghentikan spekulasi penggantinya dan lobi-melobi ke jawatan itu.

Beberapa nama yang pernah dicadangkan sebelum ini antaranya Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, bekas timbalan presiden PKR Dr Syed Husin Ali dan tokoh akademik Khoo Khay Kim.

Kekosongan Raja Arshad akan diisi oleh Tan Sri Ismail Adam.

Raja Arshad merupakan pengerusi Maxis Berhad dan anggota lembaga pengarah Sime Darby Berhad.

Beliau juga terlibat dalam kerja kemasyarakat apabila menjawat jawatan pengerusi Yayasan Raja Muda selain menjadi anggota Dewan DiRaja Selangor dan majlis penasihat kepada Sultan Selangor. -mk

Sabtu, Februari 12, 2011

ADUN Kerdau meninggal dunia


12/02/2011 9:01pm

TEMERLOH 12 Feb. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Pahang, Datuk Zaharuddin Abu Kassim meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh, petang tadi.

Zaharuddin, 63, sebelum itu dilaporkan terjatuh di bilik air rumahnya di Kerdau, dekat sini.

Allahyarham sebelum ini pernah menerima rawatan di Institut Jantung negara (IJN) dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh akibat komplikasi penyakit.

Dalam pilihan raya umum ke-12 lalu beliau mengalahkan calon Pas, Hassanudin Salim dengan majoriti 1,615. Al Fatihah.. - Utusan

Related Posts with Thumbnails