Teman Kome Weh....

Selasa, September 29, 2009

ISA masih diperlukan UMNO!


PORT DICKSON: Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang. Perkara tersebut diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bilik operasi BN di sini, sebentar tadi.

Bercakap secara ringkas di hadapan tetamu yang hadir, Isa berkata, beliau berjanji akan bekerja keras untuk memastikan kerusi DUN Bagan Pinang akan terus kekal menjadi milik BN.

"Nampaknya ISA masih diperlukan, jangan hapuskan ISA.

"Saya percaya kita akan menghadapi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang dengan sokongan padu semua pihak.

"Kita akan terus pertahankan kerusi ini malah akan berusaha untuk tambah majoriti," katanya sambil disambut dengan tepukan gemuruh oleh penyokong-penyokong BN yang hadir. Pilihan raya kecil itu akan diadakan pada 11 Oktober manakala penamaan calon akan berlangsung Sabtu ini.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor daripada BN pada 4 September lalu.

PAS dijangka mengumumkan calonnya malam ini-mStar online

Jumaat, September 25, 2009

Bayi Gergasi


Ini baru betul dikatakan 'baby tembam'

Bayi lelaki berusia 3 hari mempunyai berat 8.7kg (19.2 lb) sedang tidur bersebelahan bayi normal di Hospital Besar Abdul Manan General di Kisaran, Asahan, Sumatera Utara.


Gambar ehsan drp Reuter

Khamis, September 24, 2009

Mekanisme saring PhD wajar diperluas ke IPTS


KUALA LUMPUR 23 Sept. - Beberapa tokoh akademik mahu mekanisme saringan bagi mendapatkan ijazah doktor falsafah (PhD) diperluaskan kepada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Sambil melahirkan kebimbangan mengenai ketiadaan saringan seperti yang dilaksanakan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), mereka berpendapat, langkah itu perlu bagi mengelak pemilikan PhD ekspres berlaku secara berleluasa di negara ini.

Tokoh akademik, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata, Kementerian Pengajian Tinggi harus mengesan dan mengawasi kegiatan pengeluar PhD palsu.

''Walaupun kebanyakan pemilik membeli dari luar negara, Kementerian Pengajian Tinggi harus ada peraturan yang ketat bagi mengawasi gejala ini.

''Masalah 'penjualan' PhD dari dalam negara ini belum dapat dipastikan lagi, cuma saya bimbang pengambilan tenaga pengajar dari golongan ini menular di IPTS disebabkan kita tidak pasti mereka membuat saringan seperti di IPTA.

''Kita tidak boleh suka hati bagi PhD kepada orang yang tidak layak atau memperolehinya dari universiti yang tidak diiktiraf,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kegiatan membeli gelaran sosial seperti Datuk atau PhD dari luar negara yang semakin serius serta dibimbangi akan melahirkan generasi 'ilmuwan palsu'.

Sementara itu, Canselor Universiti UCSI, Tan Sri Abdul Rahman Arshad berkata, mereka yang berkhidmat dengan pusat pengajian tinggi perlu menyerahkan salinan tesis PhD sebagai semakan dan rujukan kepada universiti.

''Tidak kira sama ada pensyarah atau memegang jawatan di bahagian pentadbiran, mereka perlu serah salinan tesis sebagai rujukan dan simpanan universiti bagi mengesahkan ketulenannya.

''Jika mereka didapati menipu, kita perlu tarik balik gelaran tersebut serta kenakan tindakan tatatertib,'' katanya.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah pula yakin IPTA bersih daripada golongan yang memiliki PhD 'ekspres' kerana mempunyai mekanisme saringan yang kukuh.

Katanya, di UiTM, latar belakang akademik setiap bakal tenaga pengajar di institusi itu disemak menerusi Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menurut Ibrahim, masalah akan timbul apabila golongan ini bekerja dengan swasta atau bekerja sendiri dengan tujuan penyelewengan dan penipuan.

''Sukar untuk memastikan status ketulenan gelaran mereka jika tidak terikat dengan sebarang saringan seperti yang dilakukan oleh perkhidmatan awam.

''Mereka yang sengaja berlagak dengan gelaran palsu perlu diambil tindakan undang-undang kerana sudah pasti membawa kesan yang buruk kepada masyarakat," katanya- utusan malaysia

Rabu, September 16, 2009

Mahkamah gantung pembubaran Balkis



Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan penggantungan perlaksanaan keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) membubarkan Badan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis).
Bagaimanapun Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Ariff Md Yusof yang membuat keputusan itu di dalam kamar memutuskan Kompleks Wawasan Balkis boleh diuruskan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri (Bakti) sehingga tamat kes tersebut.
Peguam Derek J Fernandez yang mewakili kerajaan negeri Selangor (pemohon) memberitahu pemberita bahawa pengurusan aset-aset lain seperti wang tabungan turut digantung dan ia tidak boleh digunakan.
"Kami berpuas hati dengan keputusan ini dan ia menjamin aset tidak terjejas.
"Mengenai Kompleks Wawasan, kami tiada masalah dengan perkara itu, lagipun ia adalah tempat untuk kanak-kanak belajar dan bermain," katanya.
Tahun lalu, Balkis mendapat perhatian media tempatan selepas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (foto) mendakwa berlaku penyelewengan dana dalam persatuan itu.
Permohonan kebenaran itu difailkan kerajaan Selangor, isteri Abdul Khalid iaitu Puan Sri Salbiah Tunut, yang juga Yang Dipertua Balkis, Permodalan Negeri Selangor Berhad, Kumpulan Darul Ehsan Berhad, Perbadanan Kerajaan Negeri Selangor dan lima lagi pihak untuk mengetepikan keputusan ROS.
Mereka menamakan ROS sebagai responden, memohon pengisytiharan bahawa keputusan ROS membubarkan Balkis adalah batal dan tidak sah dan perintah supaya badan itu dihidupkan semula.
Responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Fajrul Shihar Abu Samah. BERNAMA

Bagan Pinang: Mengundi 11 Oktober



PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menetapkan 11 Oktober depan sebagai tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, tarikh penamaan calon pula ditetapkan 3 Oktober.

Katanya, pilihan raya kecil tersebut akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2008 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2009 dan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Kedua 2009 yang telah dikemas kini sehingga 4 September lalu.

“Daftar pemilih ini mengandungi 13,664 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 9,060 pemilih biasa dan 4,604 pemilih pos.

“Pengundi juga boleh membuat semakan menerusi laman web SPR iaitu www.spr.gov.my atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPR SEMAK No MyKad ke 15888 pada tarikh yang sama,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat SPR di sini semalam.

Beliau berkata, 8,577 atau 62.77 peratus pengundi terdiri daripada kaum Melayu, 2,834 atau 20.74 peratus pengundi India, 1,498 atau 10.96 peratus pengundi Cina dan 755 atau 5.54 peratus terdiri daripada lain-lain bangsa.

”Daripada pecahan itu, 7,912 pengundi terdiri daripada golongan lelaki manakala bakinya, 5,752 pengundi ialah pengundi wanita,” katanya.

Menurutnya, dewan Majlis Perbandaran Port Dickson akan digunakan sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi manakala proses pengeluaran dan pengiraan undi pos akan dibuat di bilik mesyuarat Pejabat Daerah Port Dickson.

“Untuk pilihan raya kecil ini, SPR akan membuka lapan buah pusat mengundi yang melibatkan lapan buah sekolah dan 18 tempat saluran mengundi,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Aziz turut mengumumkan bahawa penubuhan tiga Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) di bawah Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk memantau dan mengawal aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen.

DUN Bagan Pinang mengalami kekosongan selepas penyandangnya, Azman Mohammad Noor yang mewakili Barisan Nasional (BN) meninggal dunia pada 4 September lalu. sumber:Sinar Harian

Jumaat, September 11, 2009

2 pegawai TUDM maut, pesawat terhempas di lapangan terbang


Sep 11, 09 2:20pm
Dua juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia terbunuh apabila sebuah pesawat ringan yang dinaiki mereka terhempas ketika cuba mendarat di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi tengah hari tadi.

Mereka dikenali sebagai Mejar Mohd Rozaini Mohd Mustafa, 37, dan Mejar Mohd Zulkifli Hasan, 38.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Persiaran Putera di Langkawi, Yaakob Hassan berkata pesawat ringan itu dipercayai jenis Pilatus PC-7 milik TUDM.

"Maklumat tidak rasmi yang saya tahu, pesawat itu dipercayai dari Alor Setar dan terhempas kira-kira 90 meter dari landasan sebelum terbakar," katanya kepada Bernama.

Bomba, yang menerima panggilan pada pukul 12.32 tengah hari, menghantar 18 anggota ke tempat kejadian.

Yaakob berkata sebaik tiba di lokasi api telah padam.

"Mayat dikeluarkan dari kawasan lapangan terbang pada pukul 1.20 tengah hari dan dihantar ke Hospital Langkawi," katanya. BERNAMA

Rabu, September 09, 2009

Keputusan permohonan Sivakumar diketahui 29 September


KUALA LUMPUR: Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V.Sivakumar dan enam yang lain akan mengetahui pada 29 Sept ini sama ada mereka boleh mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi di negeri itu.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Lau Bee Lan, menetapkan tarikh itu selepas Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaludin Md Said dan peguam Sivakumar, Datuk S.Ambiga, selesai berhujah dalam satu prosiding selama dua setengah jam dalam kamar hakim hari ini.

Sivakumar, bersama tiga wakil rakyat pembangkang Chen Fook Chye, Tai Sing Ng dan A. Sivanesan serta tiga pengundi, Ahmad Sabry Wahab (Behrang), Abdul Latif Ariffin (Changkat Jering) dan Foo Hon Wai (Jelapang), memohon perintah untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan SPR untuk tidak mengisytiharkan sebagai kosong kerusi Behrang, Changkat Jering dan Jelapang, ekoran tindakan wakil rakyat di situ yang mengisytihar diri mereka sebagai Bebas.

Dalam pilihan raya umum lepas, Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) menang sebagai calon Parti Keadilan Rakyat manakala Hee Yit Foong (Jelapang) menang atas tiket DAP.

Tindakan mereka keluar parti masingmasing untuk memberi sokongan kepada Barisan Nasional menyebabkan kerajaan Perak yang ketika itu diperintah oleh pakatan Pas-PKR-DAP tumbang.

Pada 3 Februari, Sivakumar memaklumkan kepada SPR bahawa ketiga-tiga kerusi itu kosong berdasarkan surat daripada ketigatiga wakil rakyat yang kononnya menyatakan mereka meletak jawatan.

SPR bagaimanapun meragui peletakan jawatan itu dan enggan mengadakan pilihan raya kecil.

Sivakumar dan enam pihak itu memohon perintah bahawa kerusikerusi berkenaan adalah kosong dan memohon injunksi bagi menghalang Jamaluddin, Osman dan Hee daripada menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Dalam prosiding hari ini, Kamaludin menolak dakwaan Sivakumar yang beliau mempunyai kuasa untuk mengisytihar ketiga-tiga kerusi itu sebagai kosong mengikut Perkara 35 Undan-gUndang Tubuh Perak.

Katanya Perkara 35 tidak memberi kuasa kepada Speaker untuk membuat keputusan sedemikian kerana peruntukan itu sekadar merujuk kepada seseorang anggota dewan undangan negeri untuk meletak jawatan.

Beliau berkata hak itu tertakluk kepada Perkara 36 (5) yang menetapkan bahawa SPR seharusnya menentukan sama ada terdapat kekosongan.

Ambiga pula berhujah bahawa SPR gagal untuk menyatakan asas dan prosedur yang digunanya untuk membuat keputusan untuk tidak mengisytiharkan kerusi-kerusi itu kosong.

Katanya SPR tidak memberikan keputusan yang jelas kerana suruhanjaya itu sekadar menyatakan ia tidak pasti sama ada berlaku kekosongan atau tidak. BERNAMA

Ahad, September 06, 2009

SPR bertindak luar kuasa sekat pilihan raya kecil tiga kerusi DUN Perak



KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya telah bertindak di luar bidang kuasa dan peranannya kerana enggan mengadakan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri Perak, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu semalam.

Peguam Datuk S.Ambiga menyifatkan sebagai tidak sah dan tidak rasional keputusan SPR bahawa ketigatiga kerusi itu tidak kosong akibat pelantikan jawatan ketigatiga penyandangnya seperti yang diputuskan oleh Speaker ketika itu, V.Sivakumar.

"Responden keempat (SPR) telah mengambil kuasa dan hak Speaker bagi menentukan bahawa peletakan jawatan berlaku," katanya di hadapan Hakim Lau Bee Lan di kamar.

Ambiga, yang juga bekas Presiden Majlis Peguam, berhujah mewakili Sivakumar dalam permohonannya bagi satu semakan kehakiman untuk mengarahkan SPR supaya mengisytiharkan kerusi Behrang, Changkat Jering dan Jelapang kosong dan mengadakan pilihan raya kecil.

Sivakumar menamakan Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, Adun Changkat Jering, Mohd Osman Mohd Jailu (foto), Adun Jelapang, Hee Yit Foong, dan SPR sebagai responden.

Dalam hujahnya, Ambiga berkata bahawa menerusi sepucuk surat kepada Sivakumar pada 5 Feb 2009, SPR telah menyatakan bahawa ia tidak dapat menentukan yang ketigatiga kerusi itu kosong, dan dengan itu, tidak boleh mengadakan pilihan raya.

"Setelah menetapkan yang ia tidak dapat memastikan bahawa kekosongan telah berlaku, SPR telah membuat keputusan bercanggah bahawa ketigatiga kerusi itu masih disandang oleh responden pertama hingga ketiga," katanya.

Sivakumar, 38, memohon perintah mahkamah bagi membatalkan keputusan SPR itu dan mengarahkan suruhanjaya itu mengadakan pilihan raya kecil bagi ketiga-tiga kerusi itu.

Beliau juga memohon agar mahkamah mengeluarkan perintah injunksi bagi menghalang Jamaluddin, Mohd Osman dan Hee daripada menjalankan tugas sebagai wakil rakyat di kawasan masing-masing.

Mahkamah menetapkan 9 September ini bagi mendengar hujah balas SPR yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaludin Md Said. BERNAMA

Jumaat, September 04, 2009

PRK di DUN Bagan Pinang, NS



SEREMBAN: Nampaknya negara akan menyaksikan satu lagi pilihanraya kecil iaitu pilihanraya kecil yang ke-9 apabila ADUN Bagan Pinang, Azman Mohd Noor meninggal dunia sebentar tadi.

DUN Bagan Pinang terletak di dalam kawasan Parlimen P132 Telok Kemang.

Pada pilihanraya umum yang ke 12, Azman memenangi kerusi tersebut dengan menewaskan Ramli Ismail dari Pas dengan majoriti 2,333 undi. Beliau memperolehi 6,430 undi manakala Ramli pula 4,097 undi.

Kawasan tersebut mempunyai komposisi 66% pengundi Melayu; 19.9% India; 10.5% Cina dan 3.5% lain-lain kaum.

Menurut laporan awal, kematian Azman adalah disebabkan serangan jantung. Beliau dilaporkan meninggal dunia pada jam 2.30 petang di Hospital Seremban Specialist Center. Azman berusia 55 tahun.

Kerusi DUN Bagan Pinang secara tradisinya adalah kubu BN. Sebelum ini calon BN, Mohd Faizal Ramli memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 4,411 undi.

Related Posts with Thumbnails