Teman Kome Weh....

Khamis, Ogos 27, 2009

Analisis: Yang tersirat dan tersurat di Permatang Pasir


Oleh Darwis Said (KLpos)

SATU pengajaran yang boleh ditimba Barisan Nasional (BN) berikutan keputusan pilihan raya kecil Permatang Pasir yang boleh dijadikan bekal menjelang pilihan raya umum Malaysia ke-13 ialah cuba elak daripada menggunakan isu perkauman untuk menambat hati pengundi.

Memang benar ada trend menunjukkan bahawa pengundi Melayu di Malaysia masih berbelah bahagi dalam sokongan mereka kepada BN, khususnya Umno, dan ini dapat dilihat dalam pilihan raya kecil di Manek Urai, Kelantan, bulan lalu.

Namun, tidak semua pengundi Melayu Permatang Pasir mengundi berdasarkan corak pengundian yang dilihat parti itu dalam pilihan raya kecil Manek Urai, kata pengamat dan aktivis politik di Malaysia.

'Strategi menimbulkan isu perkauman dan agama, serta menyerang peribadi pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai pengkhianat orang Melayu menimbulkan kesan sebaliknya ke atas BN,' kata pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang, Dr P. Sivamurugan, ketika dihubungi sejurus selepas keputusan pilihan raya kecil Permatang Pasir diumumkan kelmarin.

Sebaliknya, isu-isu seperti kes kematian Teoh Beng Hock, rasuah, ketelusan, integriti dan moral yang diketengahkan pembangkang lebih melekat di hati pengundi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Calon BN, Rohaizat Othman, yang dibelenggu pelbagai skandal, kalah di tangan calon Parti Islam SeMalaysia (PAS), Ustaz Mohd Salleh Man, dengan majoriti 4,551 undi.

Ustaz Mohd Salleh mendapat sokongan 9,618 undi manakala Rohaizat hanya mampu menarik 5,067 undi.

Majoriti undi Ustaz Mohd Salleh mungkin rendah sedikit berbanding majoriti 5,433 undi yang diraih bekas penyandang kerusi DUN itu, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, juga daripada PAS, yang meninggal dunia pada 31 Julai lalu, dalam pilihan raya umum Mac tahun lalu.

Namun, ia boleh dianggap satu kemenangan besar kepada PAS jika diambil kira peratusan jumlah pengundi yang keluar mengundi kelmarin, kata Dr Sivamurugan.

Kelmarin, 73.1 peratus atau 14,832 daripada 20,350 pengundi berdaftar di Permatang Pasir keluar mengundi, berbanding lebih 82 peratus yang keluar mengundi pada 8 Mac 2008.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaafar, semasa dihubungi berkata rakyat sukar menerima pendekatan BN-Umno yang sering menimbulkan isu perkauman dan menyerang para pemimpin Pakatan Rakyat (PR), khususnya Datuk Seri Anwar dan Mursyidul PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang dikatakan seorang ulama palsu.

Permatang Pasir terletak dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh, kawasan pimpinan Datuk Seri Anwar, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kira-kira 72 peratus pengundinya adalah orang Melayu, hampir 26 peratus pengundi Cina, dan bakinya pengundi kaum lain.

Tindakan BN-Umno memainkan politik perkauman menjauhkan mereka daripada para pengundi Cina, manakala percubaannya memujuk pengundi Melayu dengan memaparkan PAS sebagai parti yang terlalu bertolak ansur dalam melaksanakan nilai Islam dan menjadi konco kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang anti-Islam gagal.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagaimanapun berkata beliau kecewa dengan sikap pengundi kawasan Permatang Pasir yang tidak mahukan perubahan.

Beliau, yang juga Timbalan Presiden Umno, berkata kekalahan BN menunjukkan pengundi terlalu selesa dengan keadaan mereka ketika ini sehingga tidak mahukan pembangunan.

'Kita menerima keputusan ini kerana mengikut apa yang diamalkan dalam demokrasi berparlimen dan kita menghormati keputusan rakyat,' katanya.

Pengarah Pilihan Raya BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi, pula berkata penduduk Permatang Pasir 'sudah memberi mesej bahawa mereka tidak mahukan perubahan, jadi kita jangan salahkan calon, jangan juga salahkan jentera'.

Namun, Dr Sivamurugan menekankan bahawa Rohaizat setakat mampu meraih 5,067 undi - lebih rendah berbanding 5,571 undi yang diraih calon Umno, Ahmad Sahar Shuib, pada pilihan raya umum tahun lalu.

'Ini menunjukkan bahawa penyokong BN sendiri pun tidak mahu mengundi beliau,' ujarnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, dipetik akhbar Utusan Malaysia sebagai berkata pihaknya akan mengkaji semua faktor yang membawa kepada kekalahan BN bagi memastikan ia berjaya dalam pilihan raya pada masa depan.

'Dari satu segi kita dapat kurangkan majoriti undi parti lawan dan dari satu segi lain kita dapati ada faktor-faktor yang telah menyebabkan kekalahan kepada BN.

'Faktor-faktor ini harus diteliti dan diperbaiki supaya usaha kita pada masa depan akan lebih berjaya,' ulas Datuk Seri Najib, sambil menambah bahawa beliau 'tahu apa sebabnya'.

Kajian itu memang perlu dilakukan BN dengan segera.

BN kalah tujuh daripada lapan pilihan raya kecil sejak peristiwa 'tsunami' politik yang berlaku dalam pilihan raya umum Malaysia ke-12 tahun lalu.

Jika BN mahu mengelakkan kejadian 'tsunami politik' 2008 itu daripada berulang pada pilihan raya umum Malaysia ke-13, maka satu kajian jujur dan telus terhadap faktor-faktor yang menyebabkan kekalahannya dalam tujuh pilihan raya kecil itu harus dijalankan secara serius dan terperinci.

Strategi dan taktik pilihan raya baru perlu diterokai, manakala pendekatannya pula perlu diubah supaya lebih sesuai dengan trend perkembangan dan selera politik generasi pengundi masa kini di Malaysia.

Jika tidak, BN berpotensi menghadapi 'bencana politik' lebih mengejutkan berbanding apa yang berlaku pada 8 Mac 2008.

Rabu, Ogos 26, 2009

Sultan Kedah perkenan Adun Lunas digugurkan daripada jawatan Exco

0 comments




ALOR SETAR: Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah memperkenankan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Mohd Radzhi Salleh, yang mengisytiharkan dirinya wakil bebas Ahad lepas, digugurkan daripada jawatan Exco berkuatkuasa semalam.

Titah perkenan Sultan Kedah itu juga diterima semalam, kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

"Perkara ini telah dimaklumkan kepada Mohd Radzhi melalui pembantu peribadinya kerana beliau tidak ada di pejabat, dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri juga telah diarahkan untuk memaklumkan bahawa jawatan Exco telah digugurkan mulai 25 Ogos," katanya dalam satu sidang media di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Ahad lepas, Mohd Radzhi yang juga Exco Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Manusia mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan melepaskan semua jawatan dalam parti itu serta mengisytiharkan dirinya menjadi wakil rakyat Bebas selepas hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti itu.

Sementara itu, Azizan berkata Sultan Kedah turut memperkenankan pelantikan ADUN Kulim dari PKR, Lim Soo Nee untuk mengisi jawatan Exco yang kosong itu manakala majlis angkat sumpah akan diadakan minggu depan.

"Majlis angkat sumpah akan dilakukan minggu depan kerana ramai pegawaipegawai masih berada di luar negara dan kita kena tengok masa Tuanku," katanya.

Selasa, Ogos 25, 2009

PAS menang lagi


25 Aug 2009 10:21PM

CALON Pas, Mohd. Salleh Man, 52, hari ini memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir dengan majoriti 4,551 undi.

Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang itu memperolehi 9,618 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman, 38, yang mendapat 5,067 undi dan majoriti 4,551 undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahaya pada pukul 7.25 malam di Dewan Perdana, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Jalan Berapit, di sini.

Sebaik Mohd. Salleh diumumkan sebagai pemenang, kedengaran penyokong yang berada dalam dewan itu bersorak kegembiraan.

Antara pemimpin yang dilihat berada di Dewan Perdana itu ialah Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mahfuz Omar dan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mansor Othman.


Ahad, Ogos 23, 2009

MB menghadap Sultan mohon Adun Lunas dipecat dari jawatan exco


23 Aug 2009 10:00PM

MENTERI BESAR Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan menghadap Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah esok untuk memaklumkan permintaan PKR supaya ADUN Lunas, Mohd Radzhi Salleh, yang mengisytiharkan dirinya wakil bebas, digugurkan daripada jawatan exco.

"Atas kuasa Tuanku untuk melantik dan juga menggugurkan mana-mana exco. Saya akan sembahkan permintaan daripada PKR supaya dia digugurkan.

"Kerusi itu kekal kuota PKR kecuali PKR kata berilah pada sesiapa sahaja," kata Azizan.

Bercakap pada sidang akhbar bersama Pengerusi PKR Kedah, Ahmad Kassim di Wisma Darul Aman di Alor Star, Azizan berkata Pakatan Rakyat bersedia menghadapi sebarang kemungkinan akibat tindakan Mohd Radzhi termasuk pilihan raya kecil.

Mohd Radzhi, yang dilantik memegang portfolio exco pelancongan, pembangunan masyarakat dan sumber manusia selepas memenangi pilihan raya umum tahun lepas, mengisytiharkan keluar PKR dan menjadi wakil bebas hari ini atas alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti.

Dalam sidang medianya di Kuala Lumpur hari ini, Mohd Radzhi berkata beliau tidak akan melepaskan jawatan exco.

Sementara itu, Ahmad berkata PKR kesal sikap tidak bertangungjawab Mohd Radzhi yang keluar parti.

"Khabar angin dia hendak melompat telah lama kedengaran tetapi mengapa dia pilih hari ini untuk keluar parti. Ia tidak lain untuk melemahkan PKR dan merendahkan pimpinan PAS Kedah," kata Ahmad.

Ahmad berkata PKR akan meminta Mohd Radzhi meletak jawatan sebagai ADUN Lunas kerana beliau menang bertanding atas tiket parti itu.

Kedah mempunyai lima ADUN dari PKR dan tiga daripadanya termasuk Mohd Radzhi dilantik sebagai anggota exco kerajaan negeri.

PAS mempunyai 16 ADUN dan tujuh daripadanya dilantik sebagai anggota exco kerajaan negeri. BN pula mempunyai 14 ADUN, manakala DAP hanya mempunyai seorang ADUN.

Mohd Radzhi menang di Dun Lunas tersebut pada pilihanraya umum 8 Mac lalu mengalahkan calon Barisan Nasional dengan majoriti besar melebihi 10 ribu undi. / KLpos, Bernama, Malaysiakini


MB: PKR tentukan nasib ADUN Lunas




Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata status ADUN kawasan Lunas, Mohd Radzhi Salleh sebagai anggota exco kerajaan negeri akan ditentukan oleh pucuk pimpinan PKR setelah beliau mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat bebas.

Katanya, sebagai menteri besar, beliau berhak menggantikan mana-mana anggota exco kerajaan negeri yang tidak lagi mewakili parti-parti pakatan pembangkang setelah memaklum dan diperkenankan oleh Sultan Kedah kelak.

"Saya masih menunggu surat rasmi dari PKR mengenai kedudukan Radzhi dan jika pucuk pimpinan parti itu minta saya gantikan orang lain (ADUN dari PKR) maka saya akan ganti dengan orang lain."

"Setakat ini saya cuma mendengar berita mengenai tindakan Radzhi yang keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas tetapi saya belum dimaklumkan oleh beliau sendiri," katanya kepada Bernama di Bukit Mertajam hari ini.

Azizan berkata, beliau tidak mahu mengulas mengenai tindakan Mohd Radzhi kerana ia adalah urusan dalaman PKR.

Mohd Radzhi hari ini mengumumkan keputusan keluar parti hari ini untuk menjadi wakil rakyat bebas.

Bagaimanapun, beliau tidak melepaskan jawatan sebagai pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia negeri.

Beliau mendakwa sebanyak 200 anggota PKR Padang Serai turut keluar parti kerana hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinannya setelah perjuangan parti itu kini tidak seiring dengan matlamat asal penubuhannya.

Kedah mempunyai mempunyai lima ADUN dari PKR dan tiga daripadanya termasuk Mohd Radzhi dilantik sebagai anggota exco kerajaan negeri.

PAS mempunyai 16 ADUN dan tujuh daripadanya dilantik sebagai anggota exco kerajaan negeri. BN pula mempunyai 14 ADUN, manakala DAP hanya mempunyai seorang ADUN. BERNAMA

Khamis, Ogos 20, 2009

Wang palsu RM100 untuk undi BN



Seorang penduduk di kawasan Permatang Pasir hari ini menemui tiga keping kertas cetakan menyerupai wang RM100 bersama nota memintanya mengundi calon BN pada pilihan raya keci, 25 Ogos ini.


Salim Abdul Hamid, 60-an, dari Kampung Petani, berkata beliau menemui sampul surat yang diselitkan di bawah pintu rumahnya ketika terjaga dari tidur pada 2 pagi tadi.

"Pada mulanya saya ingat duit betul tetapi bila pegang kertas berkenaan ia rasa lain dan nombor siri pada semua wang palsu itu juga adalah sama," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata bersama "wang" berkenaan terdapat sekeping nota berbunyi "tolong undi calon BN".

"Saya tidak pasti siapa yang letak sampul itu, tetapi ada beberapa jiran turut dapat sampul berisi wang berkenaan," katanya.

Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mahfuz Omar berharap pihak terlibat menghentikan perbuatan berkenaan kerana ia akan mengelirukan pengundi di situ.

"Saya tidak tuduh sesiapa, tetapi pihak yang terlibat atau mempunyai kaitan dengan perkara berkenaan, tolong hentikan peekara ini," katanya.

Pilihan raya kecil bagi kerusi DUN Pulau Pinang kawasan Permatang Pasir melibatkan calon BN Rohaizat Othman dan calon PAS Mohd Salleh Man.

Kerusi itu kosong akibat kematian penyandangnya Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman pada 31 Julai lepas akibat serangan jantung.

BERNAMA

Kota Siputeh: Muhyiddin harap SPR pertimbang keadaan sebelum isytihar kosong


SEBERANG PRAI: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mempertimbangkan keadaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Abu Hassan Sarif - dari Umno-BN - yang kurang sihat dalam menentukan sama ada kerusi tersebut kosong atau sebaliknya.

Muhyiddin berkata, SPR yang mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan sesebuah bahagian pilihan raya, sebagaimana disaksikan di Perak Februari lalu, akan ambil kira pertimbangan itu.

"ADUN Abu Hassan tak hadir kerana sakit dan beliau ada dokumen berkaitan. Kali ini DUN cuma bersidang sehari. Dan, jika tidak hadir satu hari itu bermakna tidak hadir satu penggal.

"Bagaimanapun kita akan akur dengan keputusan SPR, kita selalu akur dengan keputusan SPR, mana ada yang kita tidak akur," kata beliau pada sidang media di sini petang semalam.

SPR kini meneliti implikasi perundangan sama ada perlu mengisytiharkan kerusi DUN Kota Seputeh, Kedah kosong, sekali gus memanggil pilihan raya kecil.

Oleh kerana kes itu, yang pertama dalam sejarah pilihan raya negara ini, melibatkan aspek perundangan negeri dan persekutuan, SPR memerlukan masa untuk mengkaji secara mendalam, kata Timbalan Pengerusi suruhanjaya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Muhyiddin mengulas laporan bahawa Abu Hassan kemungkinan digugurkan daripada jawatannya kerana gagal hadir dua kali sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)tanpa kebenaran Speaker.

Semalam, Speaker DUN, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail berkata, beliau sudah menghantar surat kepada SPR memaklumkan mengenai kegagalan Abu Hassan hadir sidang DUN pada 19 April dan Ahad lalu.

Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, mana-mana ahli dewan yang tidak hadir pada sidang DUN selama dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, tempatnya hendaklah dikosongkan.

Kerusi itu dimenangi Abu Hasan dengan majorti 495 undi.

Lawannnya, Ismail Wan Teh dari PAS menerima 7,665 undi. / Mstar

Rabu, Ogos 19, 2009

Kapal terbakar di Selat Melaka

Pasukan Bomba cuba memadamkan api dari kapal muatan pengankut MT Formosa Product Brick, yang masih terbakar sejak berlaku pelanggaran dengan sebuah lagi kapal tangki minyak dari Liberia di perairan Selat Melaka kira-kira 30 kilometer dari perairan Port Dickson malam tadi.Dalam kejadian tersebut,16 anak kapal berjaya diselamatkan manakala 9 lagi dipercayai hilang.

Sabtu, Ogos 15, 2009

Calon-calon PRK Permatang Pasir N11

TANDING... Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman (kanan) dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir. Manakala PAS meletakkan Pesuruhjaya Negeri, Salleh Man (kiri) sebagai saingan.

Selasa, Ogos 11, 2009

PRK DUN Permatang Pasir


Tarikh Penamaan Calon 17 Ogos 2009
Tarikh mengundi 25 Ogos 2009
Siapa yang bakal memenangi kerusi ini? sebagai panduan
bagi menyediakan jawapan, bolehlah merujuk rajah di atas.
Related Posts with Thumbnails