Teman Kome Weh....

Ahad, Mei 31, 2009

Dr Mansor angkat sumpah TKM 1 Pulau Pinang Rabu


Sebagaimana dijangkakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Penanti dalam saingan empat penjuru tanpa kehadiran Barisan Nasional (BN).

BUKIT MERTAJAM: Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Mansor Othman yang memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Penanti hari ini akan mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri I negeri itu Rabu ini.

Ia diumumkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di sini malam ini. Malah ia turut dinyatakan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam laman blognya.


KEPUTUSAN RASMI Calon PKR, Dr Mansor Othman,59 memenangi pilihanraya kecil DUN Penanti dengan memperolehi 6,052 undi. Beliau menang dengan majoriti 5,558 undi.

Manakala tiga calon bebas - Aminah Abdullah mendapat 392 undi, Khan Ari (494) dan Kamarul Ramizu Idris (56). Ke semua mereka hilang wang deposit RM5,000.

Proses pengiraan undi selesai pada kira-kira jam 7.20 malam. Undi untuk Aminah kebanyakannya datang dari kawasan majoriti Melayu, termasuk Mengkuang, Kuala Mengkuang dan Guar Perahu.

Aminah juga mendapat undi pos terbanyak, iaitu 12 undi berbanding dengan Kamaraul (7), Mansor (2) dan Nai (0).

Nai pula banyak mendapat undi dari dua kawasan, iaitu Teluk Wang - yang merupakan kawasan masyarakat Thai - dan dari Sungai Lembu, iaitu kubu kuat Gerakan.

Jumaat, Mei 22, 2009

Hakim: Zambry MB sah Perak




May 22, 09 3:16pm
kemaskini 3.57pm Mahkamah Rayuan hari ini mengumumkan Datuk Seri Zambry Abd Kadir sebagai menteri besar Perak yang sah.

Keputusan itu membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang mengesahkan kedudukan asal Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Panel tiga hakim itu - yang telah mendengar hujah kedua-dua pihak di Putrajaya seharian semalam - sebulat suara menerima rayuan Zambry.

Dalam penghakimannya, ketiga-tiga mereka berhujah bahawa hakim mahkamah tinggi Datuk Abdul Aziz Abd Rahim membuat kesilapan dalam keputusannya dan Sultan Perak layak melantik Zambry apabila Mohamad Nizar hilang majoriti dalam DUN.

Pada 11 Mei lalu, mahkamah tinggi mengumumkan Mohamad Nizar sebagai menteri besar sah setelah digugurkan jawatan tersebut, awal Februari lalu.

Abdul Aziz memutuskan bahawa wakil rakyat PAS itu tidak pernah mengosongkan jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN Perak.

Dalam kes ini, Abdul Aziz berkata tiada undi tidak percaya telah diusulkan terhadap Mohamad Nizar.

Tetapi kegembiraan menteri besar Pakatan Rakyat itu tidak kekal apabila Mahkamah Rayuan keesokannya membenarkan permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan mahkamah tersebut.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan berhubung perkara tersebut hari ini.

Sementara itu, peguam Nizar, Sulaiman Abdullah memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

Khamis, Mei 21, 2009

Status MB: Keputusan rayuan Zambry diketahui esok

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan akan memutuskan esok berhubung rayuan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Selasa, Mei 19, 2009

DUN Penanti: BN tidak bertanding


Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) hari ini.

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti yang dijadual 31 Mei ini.

Keputusan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Najib berkata, BN mengambil keputusan itu kerana kekosongan di DUN itu bukan disebabkan oleh peruntukan dalam perlembagaan, sebaliknya hanya mainan politik pembangkang.

"Kekosongan itu disebabkan PKR (Parti KeADILan Rakyat) nak selesaikan masalah dalaman, oleh kerana ia merupakan satu mainan politik pembangkang dan tidak ada kena mengena dengan peruntukan Perlembagaan.

"BN lebih mengutamakan khidmat kepada rakyat dan usaha memulihkan ekonomi, maka kita memutuskan supaya tidak meletakkan calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil di Penanti" katanya selepas mempengerusikan mesyuarat kira-kira dua jam itu.

Ditanya sama ada keputusan itu disebabkan BN bimbang ditewaskan, Najib berkata hal itu tidak timbul kerana parti itu tetap akan menghadapi rakyat semasa pilihan raya umum akan datang.

"Kita tidak mahu terjerumus dalam politik pembangkang sebab lepas dua tiga bulan, dia akan minta (kerusi) kawasan lain pula dikosongkan," katanya.

Berhubung sama ada keputusan itu akan mengecewakan penyokong-penyokong BN di Penanti, Najib berkata: "Saya percaya mereka akan faham. Kepentingan parti keseluruhannya lebih besar.

"Pilihan raya kecil bukan satu keperluan dan ia tidak diperuntukkan dalam perlembagaan.

"Kita masih akan berkhidmat di kawasan Penanti dan Permatang Pauh ikut saluran kita," katanya.

Najib berkata, ini bukan kali pertama BN tidak meletakkan calon untuk bertanding dalam pilihan raya kerana beliau difahamkan, ia pernah sekali berlaku pada satu ketika dahulu. Pilihan raya kecil DUN Penanti diadakan berikutan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin dari PKR meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti 16 April lalu.

Malah PKR juga telah mengumumkan calon mereka untuk bertanding di Penanti iaitu Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 56 (foto)

Selain PKR, calon bebas, Aminah Abdullah, 56, (foto) bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, turut menyatakan hasrat untuk bertanding.

Ahad, Mei 17, 2009

Bantahan senyap



Seorang penyokong kuat Pakatan Rakyat (foto) dari Pulau Pinang telah berada selama 8 jam di atas sebatang pokok berhampiran Esplanade, Padang Kota, Pulau Pinang kerana membantah terhadap kemelut politik di Perak yang belum terungkai lagi.




Seorang pemuda India pula (foto) semalam telah berdiri
seorang diri di pintu belakang Bangunan Perak Darul Ridzuan bagi menunjukkan bantahan senyap terhadap krisis politik yang melanda di negeri itu semenjak 3 bulan lalu.

Apakah pihak yang bertelagah itu tidak mengerti suara daripada rakyat marhaen? Jangan fikirkan kuasa sahaja, cuba fikirkan nasib rakyat bawahan.


Khamis, Mei 14, 2009

ADUN BN, Bebas buat laporan polis terhadap Sivakumar


May 14, 09 5:54pm





Seramai 27 ADUN BN dan tiga ADUN bebas di Perak membuat laporan polis hari ini terhadap Speaker Pakatan Rakyat, V Sivakumar yang didakwa menyalahgunakan kuasa berhubung kekecohan semasa persidangan DUN 7 Mei lalu.

Kesemua mereka yang menaiki sebuah bas kerajaan negeri, tiba di balai polis Sungai Senam di Ipoh pada jam 2.15 petang untuk membuat laporan mereka.

Exco Kanan Kerajaan Perak Datuk Hamidah Osman berkata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dijangka membuat laporan serupa esok, lapor Bernama

Ketua Polis Daerah Ipoh Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu tetapi enggan mengulas lanjut-Malaysiakini

Selasa, Mei 12, 2009

Zambry kekal MB, Nizar cabar lagi



May 12, 09 10:00am
Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut.

Beliau memfailkan rayuan tersebut pagi tadi dan akan didengar secepat mungkin.

Selepas keputusan dibuat pada kira-kira jam 1 tengahari, peguam Umno, Hafarizam Harun menggesa Nizar supaya mengosongkan pejabat menteri besar untuk memboleh Zambry kembali bertugas.

Manakala peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Nizar berkata menunggu arahan daripada anak guamnya mengenai langkah seterusnya.

Keputusan mahkamah pagi ini sekali lagi meletakkan situasi politik di Perak dalam keadaan tidak menentu dengan BN dan Pakatan Rakyat masing-masing berentap untuk menjadi menteri besar.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ramly Mohd Ali mendengar permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam.

Peguam Zambry berhujah bahawa penangguhan keputusan mahkamah semalam adalah penting untuk menghalang Nizar daripada mendapatkan perkenan Sultan Perak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Peguam utamanya, Cecil Abrahim berkata, jika pembubaran tersebut diperkenankan, maka rayuan Zambry akan merupakan satu akademik sahaja.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail turut menyokongnya. Beliau juga berhujah bahawa penggantungan setiausaha kerajaan negeri dan penasihat undang-undang negeri Perak oleh Nizar malam tadi adalah tidak sah kerana ia merupakan pelantikan kerajaan pusat.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Hakim Ramly juga berkata mahkamah akan menetapkan tarikh awal untuk mendengar rayuan Zambry.

Katanya beliau berpuas hati bahawa terdapat keadaan khas untuk membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan itu kerana rayuan Zambry akan dianggap sebagai tidak berguna jika penangguhan itu tidak dibenarkan.

"Ini adalah kes yang amat unik kerana ia bukan sahaja melibatkan Dr Zambry dan Mohammad Nizar tetapi juga seluruh negeri Perak," katanya-Malaysiakini

Hujah Hakim mengenai keabsahan DS Nizar sebagai MB Perak


Hakim Dato' Abdul Aziz Abdul Rahim masuk ke kamar mahkamah tepat jam 2.30 petang 11.5.09 dan terus membaca alasan penghakiman selama 1 jam 27 minit sebelum mengumumkan keputusan kes.

Antara perkara penting yang dinyatakan oleh Hakim Dato' Abdul Aziz Abdul Rahim ialah:

1. Semua kenyataan dan perakuan Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Dato' Ahmad Kamal Md Shahid dalam affidavitnya tidak diterima oleh mahkamah kerana pasukan peguam DS Nizar berjaya membuktikan Dato' LA itu tiada wibawa dan nyata berpihak (tiada credibility dan impartiality).

2. Semua pandangan Peguam Negara, Tan Sri Ghani Patail dalam celahannya sepanjang perbicaraan kes ini diputuskan sebagai tidak menepati tafsiran sebenar bagi peruntukan-peruntukan Perlembagaan Malaysia dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak pada mana-mana artikel yang dirujuk.

3. DYMM Sultan Perak tidak mempunyai kuasa memecat Menteri Besar atau menitahkan Menteri Besar meletak jawatan.

4. Tindakan DS Nizar memohon perkenan pembubaran DUN pada 4 Februari 2009 tidak bererti Menteri Besar itu mengakui atau mengesahkan bahawa dia telah kehilangan sokongan majoriti ahli-ahli DUN Perak.

5. Ketika permohonan perkenan bagi pembubaran DUN dikemukakan oleh DS Nizar, kedudukan belahan sokongan dalam DUN Perak ialah 28 PR dan 28 BN, manakala kerusi ADUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang telah diisytiharkan kosong oleh Speaker pada 30 Januari dan 3 Februari.

6. DYMM Sultan tidak mempunyai kuasa untuk menentukan status 'hilang sokongan majoriti' kepada Menteri Besar. Kuasa memutuskannya adalah hanya pada DUN, di dalam persidangan DUN, melalui usul undi tidak percaya (vote of no confidence).

7. Berdasarkan prinsip demokrasi dan sistem raja berperlembagaan, DYMM Sultan sepatutnya hendaklah memperkenankan permohonan pembubaran DUN yang dikemukakan oleh DS Nizar.

8. Oleh kerana DS Nizar tidak meletak jawatan, DYMM Sultan tidak berkuasa memecat atau menitahkan perletakan jawatan MB dan DYMM Sultan tidak berkuasa menyiasat untuk menentukan status kehilangan sokongan majoriti bagi seorang Menteri Besar, maka perlantikan DS Zambry sebagai Menteri Besar adalah tidak sah dan batal.

Hakim: Nizar MB Perak yang sah


disalin semula drp Malaysiakini
Hafiz Yatim | May 11, 09 3:45pm
kemaskini 8.34pm Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar sah Perak setelah digugurkan jawatan tersebut, awal Februari lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Abdul Aziz Abd Rahim memutuskan bahawa Nizar tidak mengosongkan jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN.

Dalam kes ini, Abdul Aziz berkata tiada undi tidak percaya telah diusulkan terhadap Nizar, lapor Bernama.

"Bagaimana seseorang boleh mengatakan yang pemohon (Nizar) telah hilang kepercayaan majoriti mengikut Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak?"

"Berdasarkan amalan demokrasi, isu kehilangan kepercayaan majoriti hanya boleh diambil kira melalui undi tidak percaya terhadap pemohon (Nizar), hanya melalui cara ini menteri besar boleh disingkirkan," Abdul Aziz dipetik berkata dalam penghakiman bertulis yang disampaikannya pada 2.30 petang.

Pada 13 Februari lalu, Nizar memfailkan permohonan kepada mahkamah bagi diisytiharkan bahawa beliau pada sepanjang masa adalah menteri besar Perak yang sah, bukannya Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Nizar, yang dilantik sebagai menteri besar pada 17 Mac tahun lepas, juga memohon pengisytiharan bahawa Zambry tidak berhak untuk memegang jawatan tersebut.

Abdul Aziz, dalam penghakimannya berkata seorang menteri besar tidak boleh dipecat oleh Sultan Perak atas alasan beliau tidak boleh memegang jawatan itu tanpa perkenan sultan.

Pemecatan menteri besar oleh Sultan Perak tidak disokong oleh Perkara 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, katanya.

Hakim berkata walaupun Sultan Perak mempunyai kuasa mutlak melantik menteri besar, bagaimanapun seseorang menteri besar, sebaik dilantik, hanya bertanggungjawab kepada ADUN dan tidak kepada pihak-pihak lain, lapor agensi berita itu lagi.

Dalam penghakimannya juga, Abdul Aziz - hakim ketiga di Mahkamah Tinggi yang mendengar kes itu - tidak bersetuju dengan hujahan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, selaku pencelah, bahawa hanya dalam dua keadaan yang membolehkan menteri besar boleh memohon bagi pembubaran DUN.

"Peguam negara berhujah bahawa menteri besar hanya boleh memohon bagi pembubaran apabila tempoh penggal dewan telah hampir tamat, iaitu di bawah Perkara 36(2) dan satu lagi apabila beliau berhenti mendapat kuasa daripada majoriti.

"Saya tidak bersetuju dengan perkara ini. Mengikut Perkara 36 Undang-undang Tubuh Negeri Perak, tiada keadaan yang terhad bagi menteri besar untuk memohon pembubaran daripada sultan, dan terserah kepada menteri besar untuk memilih masanya (untuk memohon bagi pembubaran)," kata Abdul Aziz seperti dilaporkan.

Hakim juga tidak bersetuju dengan hujahan peguam negara dan Zambry sebelum ini bahawa Nizar dianggap telah meletakkan jawatan sebagai menteri besar walaupun beliau (Nizar) enggan berbuat demikian.

"Peguam negara dan responden berhujah bahawa perkataan 'akan meletak jawatan' dalam Perkara 16(6) berupa mandatori bahawa menteri besar mesti meletak jawatan.

"Bagaimana jika menteri besar enggan meletakkan jawatan? Walaupun ia mandatori, peruntukan itu tidak boleh ditafsirkan sebagai bermaksud bahawa menteri besar dianggap telah meletakkan jawatan," Abdul Aziz dilaporkan berkata lagi

Beliau juga mencadangkan perkara itu dipinda bagi mengatasi kelemahan dalam Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Mengenai isu afidavit penasihat undang-undang Perak Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, Abdul Aziz memutuskan beliau bukan saksi yang berkecuali dan adil.

"Ia merupakan pengakuannya sendiri bahawa beliau telah diarahkan oleh peguam responden untuk mengikrarkan afidavit itu. Perkataan yang digunakan amat keras.

"Bagi saya beliau bukan saksi yang berkecuali dan adil, keterangannya diwarnai dengan arahan yang diterimanya," kata Abdul Aziz yang memilih versi Nizar mengenai apa yang berlaku semasa menghadap Sultan Perak di Istana Kinta pada 4 Feb.

Hakim berkata beliau percaya dengan keterangan Nizar yang beliau tidak memohon perkenan Tuanku Sultan untuk membubarkan DUN kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti.

"Keadaan pada 4 Feb ialah Pakatan Rakyat dan BN masing-masing mempunyai 28 kerusi dalam Dewan.

"Keterangan pemohon bahawa semasa menghadap Sultan Azlan Shah, beliau telah memohon perkenan bagi membubarkan dewan mengikut Perkara 36(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak adalah disebabkan wujud kebuntuan dalam dewan (apabila Pakatan Rakyat dan BN masing-masing mempunyai 28 kerusi), tetapi menafikan beliau telah kehilangan kepercayaan majoriti anggota dewan," katanya.

Krisis politik Perak bermula apabila dua ADUN PKR Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) meletakan jawatan masing-masing pada 30 Jan diikuti Hee Yit Foong (Jelapang) dari DAP, empat hari kemudian.

Berikutan itu, Nizar telah menghadap Sultan Azlan Shah pada 4 Feb untuk memohon bagi pembubaran DUN tetapi permohonan itu ditolak.

Menurut agensi berita itu lagi, Abdul Aziz mengulangi yang mahkamah tidak mempersoalkan keputusan Sultan Perak yang menolak permohonan itu kerana ia tidak berjustifikasi.

"Tidak diragui bahawa Duli Yang Maha Mulia mempunyai bidang kuasa mutlak untuk tidak memperkenankan permohonan bagi pembubaran," tegasnya.

Hakim itu turut mempersoalkan kenapa BN, selepas
mengisytiharkan yang ia mendapat kepercayaan majoriti, tidak memanggil Nizar ke persidangan khas dewan untuk membentangkan usul tidak percaya terhadap beliau, kerana adalah lebih demokrasi untuk berbuat demikian.

Selepas penyampaian penghakiman selama sejam itu, Datuk Cecil Abraham yang mewakili Dr Zambry, memohon penangguhan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan, tetapi ditolak oleh Abdul Aziz.

"Saya menolak permohonan lisan Datuk. Datuk boleh memfailkan permohonan rasmi bagi penangguhan, bersama-sama dengan kes dan autoriti, jika Datuk mahu meneruskannya," katanya.

Mahkamah sesak dengan lebih 50 wakil media dan anggota keluarga serta penyokong Nizar yang datang seawal 1.30 tengah hari.

Nizar diwakili peguam Sulaiman Abdullah dan 10 peguam lain manakala Dr Zambry, yang tidak hadir di mahkamah hari ini, diwakili Cecil dan Sunil Abraham.

Isnin, Mei 11, 2009

Bangunan Perak Darul Ridzuan diletakkan di bawah jagaan polis


Beberapa jam sebaik sahaja Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan bahawa DS Nizar Jamaludin sebagai Menteri Besar Perak yang sah, pihak polis telah menempatkan beberapa buah lori dan truk FRU (foto hiasan) bagi mengawal Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Pejabat Menteri Besar, DUN serta pejabat SUK.
Jam 5.00 petang ini pintu masuk belakang ke bangunan tersebut dihadang dengan sebuah lori FRU. Beberapa buah lagi truk kelihatan diletakkan di bahu Jalan Istana. Polis dalam keadaan berjaga-jaga mencegah sebarang kemungkinan akan berlaku ekoran pengumuman tersebut.

Ahad, Mei 10, 2009

Manoharan kekal ADUN Kota Alam Shah

May 10, 09 11:34am
ADUN Kota Alam Shah M Manoharan dari DAP yang dibebaskan dari tahanan di bawah ISA memutuskan untuk tidak mengosongkan kerusi DUN yang diwakilinya itu.

Katanya, keputusan untuk kekal sebagai ADUN itu dibuat kerana mahu memberi perkhidmatan yang terbaik kepada penduduk di kawasannya yang terus menyokongnya.

m manoharan"Saya akan memberi khidmat terbaik di kawasan saya dan memastikan mereka mendapat yang terbaik kerana selama ini mereka telah hilang 14 bulan perkhidmatan dan kehadiran saya di DUN Selangor," kata Manoharan ketika ditemui pemberita di rumahnya di Bandar Kinrara, Puchong, dekat sini semalam.

Manoharan berkata sebelum ini beliau berhasrat meletakkan jawatan ADUN kerana rasa bersalah tidak dapat berkhidmat kepada penduduk yang diwakilinya, lapor Bernama.

Beliau berkata beliau ada menulis surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 April lepas menyatakan hasrat itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak pasti bagaimana perkara itu boleh bocor kepada umum.

Katanya sebelum ini beliau bercadang untuk mengumumkan hasratnya itu pada 19 Mei ini melalui Pengerusi DAP Karpal Singh.

Kepada soalan mengenai pembebasannya, beliau berkata, "Saya berterima kasih kepada kuasa rakyat".

Beliau juga berterima kasih kepada pengundi Kota Alam Shah yang bersabar menunggu 'kemunculannya'.

Manoharan adalah salah seorang daripada baki tiga pemimpin Hindraf yang dibebaskan semalam.

Beliau memenangi DUN Kota Alam Shah, pada pilihan raya umum lepas dengan majoriti 7,184 undi mengalahkan Ching Su Chen calon BN-Gerakan yang mendapat 5,515 undi.

Manoharan ditahan di bawah ISA pada Disember 2007-Malaysiakini

SIVAKUMAR MASIH SPEAKER YANG SAH – PANDANGAN PEGUAM PROFESIONAL?


Mei 9, 2009 oleh husainibrahim

SEMAKIN banyak pihak menimbangkan kesahihan perlucutan V Sivakumar daripada jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak dan pengundian pengganti beliau, R Ganesan, bekas Adun Sungkai, dan juga dua lagi usul

Peguam dan juga Presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) Malik Imtaz Sarwar tidak bersetuju dengan pandangan Dato’ Hafarizam Harun dan Dato’ Muhammad Shafee Abdullah, yang dilaporkan berkata bahawa usul yang diluluskan 7 Mei adalah sah.

“Saya tidak bersetuju dengan pandangan Hafarizam dan Shafee. Saya tak nampai bagaimana ia boleh menjadi sah,” jelas Malik Imtaz kepada Malaysian Insider.

Prosedur diragui

Dia mendapati terlalu banyak persoalan berhubung prosedur di dalam ruang dewan, mengakibatkan kesahihannya diragui.

“Pertama, bagaimanakah persidangan itu boleh sampai ke peringkat di mana Hee mengambil alih persidangan?” beliau mempersoalkan, merujuk kepada Hee Yit Foong, Adun Jelapang merangkap Timbalan Speaker.

Sekiranya Sivakumar berada di situ secara sah, bagaimana dia (Hee) boleh mengambil alih (tugas Speaker)?” tambah beliau, merujuk kepada penjelasan Hafarizam yang membuat rujukan kepada Perkara 36A(1)(b) Peraturan Persidangan yang membenarkan Timbalan Speaker mengambil tempat menggantikan Speaker.

Versi bercanggah

Kata Imtaz, dia mendengar versi yang bercanggah-canggah mengenai peristiwa 7 Mei, termasuk dakwaan kononnya pada satu ketika Sivakumar tidak berada di dalam kamar dewan sewaktu persidangan berlangsung.

Beliau juga mempersoalkan kehadiran pegawai polis berpakaian biasa di dalam kamar dewan.

Polis tidak sama sekali mempunyai kuasa dalam kamar dewan,” kata Imtaz, dan merujuk kepada kenyataan terdahulu oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu Syed Hamid Albar dan Ketua Polis Negara pada Mac lalu selepas Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Karpal Singh dikasari di Parlimen.

Syed Hamid dan Musa Hassan menegaskan bahawa pihak polis tidak boleh campur tangan dalam kamar dewan walaupun sekiranya terdapat pergaduhan dan hanya petugas dewan (sergeant-at-arms) mempunyai kuasa menangkap.

Polis bukan agen parti politik

“Polis telah bertindak tanpa kuasa. Mereka sebenarnya menjadikan diri mereka sebagai agen kepada sebuah parti politik dan bukan sebagai pelaksana bebas undang-undang,” kata Imtaz, sambil menekankan bahawa Sivakumar adalah masih Speaker yang sah ketika itu.

Sementara menekankan pandangannya bahawa tidak bermakna Adun Pakatan Rakyat bebas daripada apa-apa perlakuan salah, Imtaz menolak penjelasan Dr Zambry Abdul Kadir yang mengatakan BN tidak mempunyai pilihan kecuali memanggil polis apabila keadaan menjadi semakin tegang.

“Mereka mengatakan mereka tidak ada pilihan tapi itu tidak benar. Mereka boleh sahaja memfail untuk mendapatkan perintah mahkamah dan menyebut Sivakumar sebagai menghina mahkamah. Mereka tidak melakukan demikian tetapi memilih untuk membantu diri-sendiri tetapi membantu diri-sendiri tidak dibenarkan di bawah sistem perundangan kita,” jelas Imtaz lagi dengan nada marah.

“Bahkan, cara paksaan terpaksa digunakan – dengan menggunakan polis untuk memaksa Sivakumar keluar dari kamar dewan tanpa sebarang alasan-� ini adalah merupakan penunjuk yang mencukupi bahawa BN tidak mempunyai penyelesaian politik mahupun perundangan terhadap kesulitan yang mereka sendiri mulakan.”

Beliau juga mempersoalkan: “Pada saat manakah persidangan sebenarnya bermula?”

Bila sidang bermula?

“Sekiranya perasmian persidangan bermula selepas titah Raja Nazrin, bagaimanapula mereka menjalankan sebarang urusan sebelum itu?” tanya Imtaz.

Beliau menekankan, Raja Muda Perak yang sepatutnya membuka persidangan, memasuki kamar dewan hanya pada kira-kira jam 3.00 petang, setelah berlaku perebutan kerusi Speaker dan setelah tiga lagi usul – pemilihan Ganesan sebagai Speaker, anggota baru untuk jawatankuasa sampingan dan kelulusan pengisytiharan pembatalan sidang Pakatan Rakyat terdahulu yang diadakan di bawah sebatang pohon.

Imtaz juga menegaskan persidangan tersebut juga melanggar beberapa lagi konvensyen, termasuk tidak mengadakan upacara mengangkat sumpah untuk Ganesan selaku Speaker. Ini, tegasnya, biasanya diadakan dalam satu upacara di masa lain di hadapan raja.

Terus buntu

“Inilah antara perkara yang menyebabkan saya merasa ragu tentang kesahan usul yang diluluskan,” kata peguam yang baru-baru ini menjadi penerima anugerah hak asasi manusia antarabangsa.

“Akhirnya, terdapat kebuntuan di sini,” katanya, dan menambah sekiranya Perdana Menteri Najib Razak “ikhlas tentang Satu Malaysia, dia tidak boleh membenarkan BN melakukan tindakan tersebut.”

Bagi pensyarah undang-undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Abdul Aziz Bari, “semuanya begitu jelas dan terpampang.”

Katanya, dia bersetuju dengan Ir Mohammad Nizar Jamaluddin bahawa persidangan 7 Mei adalah “haram dan tidak berperlembagaan”.

Cara salah pilih Speaker

“Bagi saya, cara mereka memilih Speaker adalah salah. Speaker masih Sivakumar,” jelas ahli akademik itu.

Beliau memerhatikan bahawa urutan peristiwa dari 5 Februari sehingga semalam – dari perbuatan melompat parti yang dilakukan wakil rakyat yang dipilih sehinggalah kepada keputusan mahkamah membatalkan keputusan Sivakumar untuk menggantung kehadiran Adun BN – membuatkan kesahihan usul cukup meragukan menurut pandangannya.

Seperti juga Malik Imtiaz, Presiden Majlis Peguam Malaysia Ragunath Kesavan bersetuju situasi di Perak sudah tiba pada titik di mana tidak ada jalan lain kecuali Sultan Perakmembubarkan dewan undangan dan membuka jalan untuk pilihan raya umum baru bagi membersihkan kemelut yang berlaku.

Undang-undang tak boleh selesai masalah

“Bagi kita, cara perundangan tidak akan dapat menyelesaikannya kerana setiap peguam mempunyai pendapat berbeza,” katanya.

“Secara peribadi, saya rasa terdapat hujah yang memihak kepada kedua-dua pihak. Satu daripadanya bilakah persidangan itu sebenarnya bermula? Satu lagi apakah Speaker mempunyai kuasa untuk menolak usul yang hendak dibentangkan?”

“Tapi kini Pakatan Rakyat adalah pihak minoriti dan BN mempunyai majoriti stabil dengan 28 campur tiga bebas,” jelasnya.

Ragunath menekankan cara terbaik untuk keluar dari permasalahan tersebut ialah membenarkan pengundi membuat keputusan.

“Saya tak fikir dalam demokrasi, untuk kembali semula kepada rakyat setelah baru sahaja mengadakan pilihan raya umum merupakan satu masalah,” katanya.

—-

Tulisan dari The Malaysian Insider ini diterjemah oleh Shirzad Lifeboat _

**disalin semula daripada blog Misbahulmunir

ADUN Kota Alam Shah dikenakan 6 syarat


Ahad Mei 10, 2009


oleh ZANARIAH ABD MUTALIB

PUCHONG: Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dibebaskan semalam, M. Manoharan berkata, beliau "amat gembira dengan enam syarat" yang dikenakan kerajaan di sebalik pembebasannya selepas ditahan 514 hari.

Kata Manoharan, beliau akan mematuhi syarat-syarat tersebut yang disifatkannya begitu memenuhi hasrat dan kedudukannya sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk sentiasa berada di samping rakyat .

"Syarat pertama adalah saya perlu tinggal di Kota Alam Shah, Klang. Saya mahu bersama rakyat dan syarat itu begitu sesuai sekali dengan saya," katanya ketika ditemui di rumahnya lewat petang semalam.

Manoharan yang juga seorang peguam berkata, lima syarat lagi yang perlu dipatuhinya adalah beliau tidak boleh menukar tempat kediamannya ke mana-mana kawasan lain tanpa kebenaran Ketua Polis Negeri, tidak boleh meninggalkan kawasan di mana ia disekat tanpa kebenaran bertulis Ketua Polis Negeri.

Selain itu, beliau hendaklah memberitahu Ketua Polis Daerah di mana beliau disekat mengenai alamat tempat tinggalnya, perlu melaporkan diri dan menandatangani buku daftar di balai polis yang berhampiran setiap Isnin antara pukul 8 pagi dan 5 petang sehingga 13 Disember tahun ini serta menjaga keamanan dan berkelakuan baik.

Manoharan berkata, beliau diberi tempoh dua minggu untuk mencari kediaman di Klang.

Katanya, memandangkan firma guamannya terletak di Kuala Lumpur dan seringkali mengendalikan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, beliau akan meminta kebenaran untuk keluar dari kawasan kediamannya setiap minggu.

"Kemungkinan saya juga akan membuka sebuah cawangan firma guaman saya di Klang," katanya.

Manoharan berkata, beliau mempunyai amalan guaman yang baik namun terpaksa memulakan kembali kerja-kerja guaman itu daripada awal memandangkan sudah 17 bulan meninggalkan bidang itu.

Beliau berkata, pengalamannya ketika ditahan di Kamunting begitu menyedihkan kerana beliau begitu merindui seluruh kaum keluarganya.

"Berat badan saya turun 15 kilogram... saya cukup menderita dan saya akan pastikan, tidak ada ayah lain yang mengalami apa yang saya alami ini di masa depan," katanya-mStar Online

Jumaat, Mei 08, 2009

3 pemimpin Hindraf antara 13 dibebas drp ISA

Jumaat Mei 8, 2009

TIGA pemimpin Hindraf (dari kiri) P Uthayakumar, M Manoharan, dan K Vasantha Kumar akan dibebaskan dalam masa terdekat

PUTRAJAYA: Baki tiga pemimpin Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) adalah antara 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang akan dibebaskan dalam masa terdekat.

Mereka adalah M Manoharan, P Uthayakumar dan K Vasantha Kumar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mengumumkan perkara itu berkata, beliau akan menandatangani dokumen pembebasan itu hari ini.

"Mereka akan dibebaskan dalam masa dua atau tiga hari," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet di kementeriannya di sini, hari ini.

Katanya, pembebasan tahanan tersebut bukan bermotifkan politik.

Selain ketiga-tiga mereka, sepuluh lagi yang dibebaskan termasuk tiga warga Malaysia, dua warga Indonesia dan lima warga Filipina.

Tiga warganegara itu adalah Zulkepli Marzuki, Jeknal Adil and Adzmi Pindatun, manakala dua warga Indonesia adalah Zainun Rasyhid dan Aboud Ghafar Shahril.

Lima warga Filipina adalah Sufian Salih, Hasim Talib, Abdul Jamal Azahari, Yusof Mohd Salam dan Husin Alih.

Bulan lalu, dua pemimpin Hindraf iaitu V. Ganabatirau dan R.Kenghadharan adalah antara 13 tahanan ISA yang dibebaskan.

Tahanan lain yang turut dibebaskan bulan lalu adalah tujuh anggota Darul Islam, tiga rakyat asing kerana memalsukan dokumen dan seorang anggota Jemaah Islamiah.

Awal bulan ini, Manoharan dikatakan mempertimbangkan untuk meletak jawatan beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah kerana dikatakan tidak mampu melaksanakan tugas itu.

Sementara itu, semalam, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menolak rayuan Uthayakumar agar pertuduhan mengikut Akta Hasutan ke atasnya digugurkan- mStar online

Khamis, Mei 07, 2009

Speaker DUN Perak diseret keluar dewan


Keadaan panas, tegang dan gamat sekitar persidangan DUN Perak. Speaker DUN Perak, V. Sivakumar yang tidak berganjak dari kerusi speaker terpaksa diseret keluar dari dewan oleh sekumpulan mereka yang tidak dikenali.

Bisikan DiRaja kepada Pakatan Rakyat

RAJA Muda Perak, Raja Nazrin Shah menitahkan sesuatu kepada Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (PAS-Pasir Panjang) dan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Setiawan) setelah kedua-duanya dititahkan menghampiri baginda selepas Nizar dilihat menyatakan sesuatu dari bahagian tengah Dewan sejurus baginda berangkat masuk. Insiden itu berlaku sebelum Raja Nazrin Shah merasmikan pembukaan mesyuarat pertama persidangan penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini. --fotoBERNAMA

Rabu, Mei 06, 2009

TUN ABDULLAH DILANTIK PENASIHAT MAS

mas

Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah dilantik sebagai Penasihat Malaysia Airlines (MAS) berkuat kuasa 1 Mei.

Dalam satu kenyataan, Pengerusi MAS, Tan Sri Dr Munir Majid berkata, pihak lembaga mengalu-alukan Abdullah yang begitu berpengalaman luas dan mempunyai rakan hubungan menyeluruh ke pelantikan bukan eksekutif itu.

Ahad, Mei 03, 2009

Penanti : UMNO Lakukan Perang Psikologi


Malaysiakini melaporkan, calon PKR di Penanti yakin Umno akan meletakkan calonnya di kerusi DUN tersebut dalam pilihanraya kecil yang akan berlangsung hujung bulan ini. Dalam satu wawancara eksklusif dengan Malaysiakini, Mansor Othman (foto) berkata Umno malah akan memilih seorang calon yang berwibawa untuk menyukarkan laluannya. “Bukan gaya Umno tidak bertanding, bukan budaya parti tersebut. Parti itu akan meletakkan calon walaupun ia mendakwa underdog (tidak mudah menang),” katanya. “Umno sedang menggunakan (taktik) permainan psikologi dengan meletakkan kita (PKR) calon pilihan. “Kita tidak boleh sambil lewa, terbawa-bawa atau tertipu dengan perang psikologi (Umno) ini. Kita mesti bersatu, berkempen bersungguh-sungguh dan menemui semua pengundi bagi memastikan kemenangan.”Ditanya peluang beliau memenangi pilihanraya kecil ini yang bermula 23 Mei ini, Mansor meletakkan “harapannya 60 peratus”.”Bukan kerana (saya) sombong atau terlalu yakin. Ia kerana Penanti berada dalam kawasan Permatang Pauh - kubu (penasihat PKR Datuk Seri) Anwar (Ibrahim). “Beliau mempunyai sokongan kuat di kalangan pengundi Penanti,” katanya lagi.
sumber: http://greenboc.blogspot.com

Related Posts with Thumbnails