Teman Kome Weh....

Rabu, Disember 30, 2009

Gus Dur meninggal dunia

Al-Fatihah. Mantan Presiden Indonesia, Abdurrahman Wahid (Gus Dur) kembali ke rahmatullah sebentar Tadi. Didoakan semoga rohnya dilimpahi barakah oleh Allah s.w.t.

Sabtu, Disember 26, 2009

Kemalangan ngeri di Ipoh

Ngeri...Keadaan bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan di KM272.8, Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, kira-kira lapan kilometer selepas Plaza Tol Ipoh Selatan, awal pagi ini. Dalam kejadian itu, seramai 10 penumpang maut manakala dua lagi cedera selepas bas itu terbabas lalu merempuh pembahagi jalan. -foto The Star



Sepuluh penumpang maut manakala dua lagi cedera dengan seorang daripadanya parah apabila bas dua tingkat Sani Express terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, kira-kira lapan kilometer selepas Plaza Tol Ipoh Selatan, awal pagi ini.

Ketua Polis Trafik Negeri Supt Wan Abdullah Ishak berkata mereka yang terbunuh dalam kejadian pukul 1 pagi itu ialah:

1. Shaharin Mohd Nor, 61, dari Taman Setia, Klang, Selangor;
2. Supiah Adam, 46, dari Taman Setia, Klang, Selangor;
3. Musa @ Ismail Abdullah, 64, dari Gurun, Kedah;
4. Mohd Shukri Mohd Ali, 22, dari Sungai Besar, Selangor;
5. Noor Jasmi Noordin, 25, dari Kangar, Perlis.
6. Mohd Bilal Osman, 22, dari Sungai Besar, Selangor;
7. Ng Kah Kit, 14, Ng Poh Ngoh, 23, dari Alor Setar, Kedah;
8. Ng Poh Ngoh, 23, dari Alor Setar;
9. Sharifah Raheel Al-Junid Syed Harun, 21, dari Sungai Petani, Kedah;
10. Identiti mangsa belum dikenalpasti - wanita dipercaya Melayu.

Wan Abdullah berkata penungpang yang cedera parah dikenali Md Razip Fadzir, seorang anggota tentera manakala penumpang yang cedera ringan ialah Siti Munira Hashim, 30, dari Langgar, Kedah.

Katanya kedua-dua penumpang yang cedera kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh manakala kesemua mangsa yang maut juga dibawa ke hospital yang sama untuk bedah siasat.

Wan Abdullah berkata semua yang terbunuh dan cedera merupakan penumpang yang duduk di tingkat bawah bas dua tingkat berkenaan manakala semua penumpang di bahagian atas serta kedua-dua pemandu bas tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata bas ekspres itu berlepas dari Klang, Selangor pada 9 malam tadi menuju ke Kangar dan membawa 48 penumpang.

"Di tempat kejadian, bas itu tiba-tiba terbabas lalu merempuh pembahagi jalan di sebelah kiri lebuh raya. Ia kemudiannya melantun serta merempuh pula pembahagi jalan di sebelah kanan lebuh raya sebelum berhenti," katanya.

Beliau berkata besi daripada pembahagi jalan yang menusuk masuk ke dalam bas selepas rempuhan yang pertama (rempuhan di sebelah kiri) menyebabkan kematian dan kecederaan penumpang berkenaan.

Wan Abdullah berkata pemandu yang memandu bas ketika kemalangan itu telah ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan pemandu yang ditahan itu baru sahaja mengambil giliran memandu selepas bas itu berhenti di Hentian Sebelah, Simpang Pulai dekat sini sebelum kejadian.


Sementara itu, seorang daripada penumpang yang terselamat, Marziana Mahmud, 24, mendakwa pemandu bas tersebut kelihatan mengantuk sebelum kemalangan tersebut.

"Bas dipandu dalam keadaaan tidak stabil, terhoyong-hayang ke kiri...kanan sebelum kejadian," dakwa penjawat awam itu yang duduk di bahagian depan di tingkat atas bas berkenaan. - Bernama

Sabtu, Disember 19, 2009

Sejarah dunia: enjin pesawat TUDM dicuri





Enjin F-5E TUDM dijual kepada syarikat di Amerika Selatan

BAGAN DATOH 19 Dis. — Enjin pesawat pemintas F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) disedari hilang pada 2007 telah dijual kepada sebuah syarikat antarabangsa dari sebuah negara yang berpangkalan di Amerika Selatan, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, syarikat antarabangsa itu dipercayai telah mengupah ejen tertentu untuk melarikan enjin pesawat bernilai RM50 juta itu ke luar negara.

"Kementerian akan mengambil tindakan dari segi perundangan peringkat antarabangsa untuk mendakwa syarikat yang terbabit mengupah untuk melarikan enjin itu ke luar negara.

"Mereka yang terbabit dalam kumpulan bawahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan pengkhianat kepada negara dan wajar dikenakan undang-undang yang tegas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Rakan Alam Sekitar di sini hari ini. - Bernama

Selasa, Disember 15, 2009

BN menang tipis sangat!


Dewan Rakyat bergegar dan Kerajaan Najib nyaris sahaja tumbang malam tadi!…Usul untuk meluluskan Bajet 2010 di Dewan Rakyat (Isnin, 14 Disember 2009) menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti tipis iaitu dengan 3 undi berbanding Pakatan Rakyat.

Sebelum itu, usul bagi perbekalan untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), yang dikira lebih awal iaitu sekitar jam 10.30 malam menyaksikan ia diluluskan hanya dengan 1 undi majoriti, iaitu 60 di pihak Pakatan Rakyat dan 61 di pihak BN.

Proses pengundian yang dikenali sebagai “belah bahagi” itu berlangsung kira-kira jam 10.45 malam sehingga kira-kira jam 11.30 malam, dengan beberapa ahli parlimen BN bergegas tiba dan mulai masuk ke dalam dewan sekitar jam 10 malam.

Sebelum itu, sesi jawapan menteri bagi kementerian terakhir iaitu KDN juga seperti sengaja dilengah-lengahkan bagi menanti ketibaan ahli-ahli Parlimen BN bagi mempertahankan Kerajaan Najib. Menurut jadual, sepatutnya jawapan menteri tamat kira-kira jam 9.30 malam, tetapi berlarutan sehingga lebih jam 10 malam.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di perkarangan Parlimen kira-kira 10 minit lebih awal berbanding Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sampai sekitar jam 10.10 malam.

Speaker Dewan, Tan Sri Pendekar Amin Mulai yang membacakan keputusan itu menyebutkan dengan kiraan undi untuk meluluskan Bajet 2010 ialah keseluruhan BN-66 dan Pakatan Rakyat-63. Keputusan berkenaan bagaimanapun tidak boleh dibantah walaupun cuba dilakukan oleh beberapa ahli dewan Pakatan Rakyat.

Saat-saat dramatik itu bermula ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat sudah mulai riuh dan bersorak menandakan lakaran sejarah baru ini di dalam Dewan apabila di antara mereka turut mengira bahawa Pakatan Rakyat mendahului kiraan dengan majoriti tipis, iaitu 1-3 undi.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga berada di dalam dewan dilihat begitu tenang namun serius mengemudi ‘penentangan’ hebat tersebut. Turut bersama menggempur BN saat itu ialah Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Presiden Pas dan Lim Kit Siang, Pengerusi DAP.

Menurut seorang ahli parlimen yang berada di situ, beliau ragu dengan jumlah undi yang tertulis dan diserahkan kepada Speaker oleh Setiausaha Dewan, Datuk Rosmini Ahmad.

“Setiausaha Dewan tuliskan angka itu dikertas dan dia sendiri pun kelihatan sudah menggigil dan pucat muka,” katanya.

Menurut sumber yang tidak mahu namanya dipetik berkata, kiraan untuk Bajet 2010 itu bertambah bilangannya apabila dua lagi ahli dewan baru masuk ke dalam dewan iaitu Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan, disusuli ketibaan Datuk Seri Ong Tee Keat yang juga merupakan Presiden MCA.

Seorang ahli parlimen Pakatan Rakyat, R Sivarasah Rasiah bangun dan cuba membantah sewaktu usul bagi KDN yang diluluskan begitu cepat dan perlunya kiraan semula, tetapi telah ditolak oleh Speaker dewan.

Lebih mengharukan menurut ahli parlimen itu lagi, terdapat beberapa orang senator yang masih berada di dalam Dewan, yang memungkinkan turut dikira sedangkan senator adalah tidak layak untuk mengundi dan tidak boleh berada di dalam dewan sewaktu proses pengundian.

Selain itu, buat pertama kalinya, dua timbalan speaker terpaksa duduk di tempat ahli parlimen bagi dikira sekali undian mereka, iaitu Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Datuk Ronald Kiandee. Memang hal ini dibenarkan mengikut peraturan dewan, tetapi ia tidak pernah terjadi sebelum ini.

Para pegawai Perlimen yang bertugas juga menyaksikan episod tersebut. Andai tidak, kita akan menyaksikan bagaimana buat pertama kalinya, BN tumpas dalam kiraan undi di Dewan Rakyat yang memboleh implikasi kerajaan Najib menerima usul undi tidak percaya.

Pada sebelah siangnya, Speaker dewan turut menolak usul pindaan Akta Pembangunan Petrolium 1974 yang antara lain menyebabkan kerajaan negeri Kelantan dinafikan hak mendapat royalti minyak daripada kerajaan Pusat.

http://dppperak.blogspot.com/

Isnin, Disember 14, 2009

Malaysia menang!


VIENTIANE: Pasukan Bolasepak Malaysia malam ini sekali lagi membuat kejutan apabila menewaskan tuan rumah Laos 3-1 untuk mara ke perlawanan akhir menentang Vietnam.

Vietnam telah menewaskan Singapura 4-1 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir yang berlangsung pada jam 7 malam tadi.

Sabtu, Disember 12, 2009

Bolasepak Sukan SEA ke-25: Malaysia menang!

Pasukan bola sepak Malaysia meraikan kemenangan sejurus tiupan wisel pengadil dalam masa kecederaan pada perlawanan menentang Thailand sempena Sukan SEA Ke-25 di Stadium Utama, Vientiane, hari ini. Malaysia menewaskan Thailand dengan keputusan 2 -1 seterusnya melayakkan skuad negara ke pusingan separuh akhir. -Foto BERNAMA

Selasa, Disember 08, 2009

Behrang yang malang




Petang Ahad lepas hujan lebat melanda Lebuh Raya Utara Selatan menyebabkan banyak kemalangan berlaku. Behrang tidak terkecuali. Saya sempat menyaksikan peristiwa itu ketika memandu dari Kuala Lumpur ke Ipoh. Akibat kecuaian dan kegopohan mengendalikan kenderaan berlakulah kemalangan seperti gambar di atas. Hati-hatilah di jalan raya, memandu gunakan kepala.

Jumaat, Disember 04, 2009

Bah Besar di Jeddah

Gambar banjir di Jeddah (25 Nov 09)
Posted on Thursday, December 03 @ 13:10:00 PST

Oleh: blalang

"Fenomena banjir adalah perkara biasa jika berlaku di Malaysia tetapi jika berlaku di Jeddah memanglah suatu yang pelik . Banjir di Jeddah pada 25 Nov lalu sehingga meragut 106 nyawa. Subhanallah, Maha Suci Allah.



Rabu, November 25, 2009

Lembu juga yang menjadi korban!

Ismail Wan Chik, 46, membawa lembu miliknya ke tempat yang lebih selamat di Kampung Bukit Tadok di Hulu Terengganu, apabila kampungnya dinaiki air banjir. Lembu itu akan dikorbankan sempena Aidiladha Jumaat ini.-Foto BERNAMA

Isnin, November 23, 2009

Kemalangan Maut di Depan Bangunan Perak Darul Ridzuan

Zainal Ku/bumiperak@yahoo.com

IPOH 23 Nov 2009 Kemalangan maut berlaku di Jalan Panglima Bukit Gantang berhadapan Bangunan SUK kira-kira jam 7.40 pagi tadi. Seorang kerani wanita berumur 22 tahun bernama Norhayati binti Mohd Yusof dari Kampung Sungai Tapah, Manjoi maut ditempat kejadian. Mangsa yang dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya di Melati Wangsa, Ipoh dikatakan gagal mengawal motosikal yang ditunggangnya lalu dilanggar oleh sebuah lori yang sarat dengan muatan. Motosikalnya diseret sejauh 100 meter hingga terbakar. Sebelum ini sepasang suami-isteri telah terbunuh dalam kemalangan ditempat yang sama. Satu usaha pencegahan untuk mengelak kemalangan ini berulang harus dibuat oleh pihak berkuasa. -bp



Khamis, November 19, 2009

Gempar : PAS sudah ada kapal terbang sendiri?

Wah PAS makin kaya sekarang ni. Isu Hangat TGNA cancel pergi ke Mekah kerana tajaan kontraktor tak sejuk lagi ni dah isu hangat PAS beli kapal terbang pulak.Entah mana punya sponsor lak ni.

Opss jangan salah sangka dan jangan membuat spekulasi bukan-bukan. Sebenarnya kapal terbang yang ekornya yang seakan logo PAS ni adalah kapal terbang luar negara yang selalu turun di lapangan terbang kargo Senai.

Kepada penduduk Kulai/Senai yang selalu lalu di jalan alternatif Bandar Putra ke Senai mesti dah biasa melihat kapal terbang ni. Orang-orang PAS area sini banyak bergurau mengenai kapal terbang yang ekornya seakan logo PAS ni. Tak tau dari negara mana tapi katanya mempunyai tulisan Arab di tepinya

Isnin, November 16, 2009

PRK di DUN Kota Seputeh


Nov 16, 09 6:32pm (Malaysiakini)

Kerusi DUN Kota Siputeh diisytiharkan kosong dan membuka laluan kepada pilihan raya kecil jika penyandangnya dari Umno, Datuk Abu Hassan Sarif gagal dalam rayuannya.

Keputusan tersebut dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini setelah mendengar permohonan Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail untuk semakan kehakiman terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengekalkan Abu Hassan sebagai ADUN di situ.

Abdul Isa memfailkan saman pada 1 Oktober lalu, menamakan Abu Hassan daripada BN dan SPR sebagai responden.

Beliau memohon diisytiharkan Abu Hassan bukan lagi ADUN bagi kerusi tersebut berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan DUN secara berturut-turut dan injunksi menghalang beliau daripada menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Beliau juga memohon mahkamah mengisytiharkan kerusi itu kosong dan memerintahkan SPR mengadakan pilihan raya kecil di samping memohon ganti rugi, kos dan faedah lain.

Pada 1 September lalu, SPR memutuskan tidak berlaku kekosongan di kerusi Kota Siputeh dan Abu Hassan masih menjadi wakil rakyatnya.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan bertindak bagi pihak SPR.

DUN Kedah akan bersidang esok untuk meluluskan bajet kerajaan PAS negeri itu.

Abu Hassan boleh memfailkan rayuan. Permohonan lisannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman mahkamah itu tidak dibenarkan hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah akan mendengar permohonan formalnya Jumaat ini.

Dalam pilihan raya umum lalu, Abu Hassan menewaskan calon PAS Ismail Wan Teh dengan majoriti kecil 495 undi.

Abu Hassan mendapat 8,160 undi manakala Ismail mendapat 7,665 undi.

Jumaat, Oktober 30, 2009

Badan ikan toman bunga tertera kalimah "Allah"


KEAJAIBAN MAHA PENCIPTA ... Seorang peneroka di Rancangan Tanah Felda Aring Satu, Gua Musang, Mustapha Zakaria menunjukkan ikan toman bunga peliharaannya yang tertera kalimah Allah pada badan ikan itu. Mustapa memelihara ikan itu lebih setahun lalu apabila rakannya memberi ikan tersebut yang dipancing di Sungai Kampung Rasa, Pasir Puteh. Kalimah Allah itu kelihatan lebih jelas menjelang malam ekoran badan ikan yang lebih bercahaya. -Foto BERNAMA

SEORANG peneroka di Rancangan Tanah Felda Aring Satu, Gua Musang, Mustapha Zakaria, 53, tidak sangka ikan toman bunga yang dipelihara lebih setahun lalu ada tulisan kalimah Allah di kedua-dua belah badannya.

Semasa ditemui di rumahnya baru-baru ini, beliau menyedari mengenai perkara itu apabila diberitahu oleh imam rancangan tanah berkenaan, Nordin Ariffin, yang mengunjungi rumahnya ternampak tulisan itu.

"Saya pada mulanya tidak percaya ada tulisan kalimah Allah tetapi selepas saya amati ikan yang saya pelihara di dalam akuarium itu, ternyata ia adalah benar.

"Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian itu dan saya tidak bercadang untuk menjualnya walaupun ada peneroka menawarkan harga RM300," katanya.

Mustapha berkata dia memperolehi ikan toman itu daripada rakannya di Kampung Rasa, Pasir Puteh, selepas rakannya memancing di sungai kampung terbabit.

Beliau berkata semasa membawa balik ikan toman itu lebih setahun lalu saiznya lebih kecil dalam sekitar setengah kilogram sahaja tetapi sekarang bertambah besar hingga mencapai lebih satu kilogram.

"Memang pada mulanya saya tidak berniat untuk memelihara lebih lama kerana sebelum ini saya pernah memelihara ikan jenis serupa dan menjualnya kepada orang lain," katanya.

Namun, tambah beliau kali ini dia akan terus menjaga dengan baik ikan toman berkenaan yang semakin bercahaya dan semakin ramai peneroka rancangan tanah terbabit datang melihatnya setiap hari.

"Menjadi hobi saya memelihara ikan dalam akuarium sejak usia remaja lagi tetapi ini adalah pertama kali ikan yang saya pelihara ditemui ada tulisan kalimah Allah.

"Ikan toman ini lebih bercahaya pada waktu malam hingga tulisan kalimah jelas kelihatan," katanya. BERNAMA

Selasa, Oktober 27, 2009

Sungai Kampar yang menelan nyawa!

Guru, pengawal nekad selamat 19 murid
Okt 27, 09 3:34pm
Tindakan nekad seorang guru dan tiga pengawal keselamatan terjun mengharung air deras dalam kegelapan malam menyelamatkan 19 murid daripada hanyut dalam kejadian jambatan runtuh di kawasan perkhemahan Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta di Ipoh malam tadi.

Hanya cahaya samar lampu dari kawasan perkhemahan yang terletak di seberang tebing sungai berkenaan membantu usaha menyelamat itu.

Suasana ketika itu kelam-kabut dengan jeritan minta tolong dan tangisan murid yang berpaut pada tali jambatan, kata pengawal keselamatan SK Kuala Dipang, Zulkifli Mohamad, 38, kepada pemberita hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 10.30 malam itu, 22 murid terjatuh ke dalam Sungai Kampar semasa sedang menaiki jambatan gantung yang baru dibina dua minggu lepas itu untuk jamuan malam di SK Kuala Dipang.

Kumpulan itu adalah antara 298 murid dari 64 sekolah rendah dari Tronoh, Batu Gajah dan Kampar yang menyertai perkhemahan 1Malaysia di pusat berkenaan yang terletak di tebing berdepan sekolah berkenaan.

Menceritakan semula detik-detik cemas malam tadi, Zulkifli berkata kejadian itu berlaku secara tiba-tiba dan tanpa berfikir panjang beliau terus terjun ke sungai berkenaan untuk membantu mangsa.

Dua lagi rakannya Rosli Mohamad, 44, dan Ismail Ahmad 62, turut terjun ke sungai bagi menyelamatkan kanak-kanak terbabit.

Zulkifli berkata rakannya Rosli berjaya membawa naik enam murid manakala beliau dan Ismail sempat menarik naik antara empat dan enam murid.

"Air sungai sangat deras dan saya bersyukur kerana dapat membantu dengan cepat," katanya.

Sementara itu seorang guru Mohd Safri Abdul Rafar berkata beliau berada tidak jauh dari jambatan dan terkejut apabila terdengar bunyi benda jatuh diikuti oleh jerit pekik.

Menyedari jambatan itu runtuh ketika murid-murid berada di atasnya, beliau nekad terjun ke sungai dan mengharungi arus deras bagi menyelamatkan mereka.

Seorang pelajar yang terselamat dalam kejadian itu Mohd Haziq Teng Mohd Salleh, 12, dari Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bemban, Batu Gajah, berkata semasa kejadian, beliau berada di tengah-tengah jambatan.

"Tiba-tiba sahaja saya tercampak ke dalam sungai, air sangat deras... saya bersyukur kerana sempat berpaut pada tali yang terjuntai dari titi dan dapat menyelamatkan diri dengan menaiki tepi tebing," katanya.

Perkhemahan yang bermula semalam dijadual hingga Khamis dan pendaftaran peserta dibuat sejak 3 petang semalam.

Jambatan sepanjang kira-kira 50 meter itu baru siap dibina dua minggu lepas bagi menggantikan sebuah jambatan gantung lama yang runtuh sebelum ini dan ia menghubungkan tapak perkhemahan untuk ke SK Kuala Dipang.

Seramai 23 guru terlibat dengan perkhemahan itu dan kem yang diadakan di SK Kuala Dipang itu adalah yang kedua dianjurkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan selepas perkhemahan di SK Pos Raya minggu lepas. BERNAMA

Rabu, Oktober 21, 2009

Hebat Saman Anwar Di Tolak Sebab 'Teknikal' bukan Sebab ada kesalahan atau tidak...




Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung saman fitnah RM100 juta terhadap mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hakim Datuk Abdul Malik Ishak yang mengetuai panel tiga hakim yang mendengar kes tersebut membenarkan permohonan peguam Datuk VK Lingam yang mewakili Dr Mahathir, untuk menolak rayuan tersebut atas sebab teknikal.

Abdul Malik juga berkata, ia keputusan sebulat suara serta mengarahkan Anwar membayar kos.

Dua lagi hakim ialah Datuk Azhar Ma'ah dan Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad.

Sebab teknikal tersebut ialah peguam Anwar tidak menyediakan memorandum rayuan dalam bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Malaysia.

Lingam juga berhujah bahawa peguam Anwar juga tidak menandatangani memorandum tersebut dan oleh itu, ianya menjadi cacat.

Dengan keputusan hari ini, maka rayuan Anwar tidak akan didengar pada 2 November seperti yang dijadualkan sebelum ini.

Anwar telah menyaman fitnah matan perdana menteri itu berhubung kenyataan yang dibuatnya di satu sidang akhbar Suhakam.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membatalkan saman Anwar itu pada Julai 2007 tanpa mendengar merit kes tersebut dan begitu dengan rayuan hari ini- Kedahonline

Ahad, Oktober 11, 2009

ISA menang!

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama-sama Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri) mengangkat tangan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad setelah diumumkan menang pada pilihan raya itu di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson di sini, malam ini. Mohd Isa mengalahkan calon PAS Zulkefly Mohamad Omar dengan majoriti 5,435 undi dalam pilihan raya itu - foto BERNAMA

Jumaat, Oktober 09, 2009

Tahniah UM! Kini dalam ranking 200 terbaik dunia


PETALING JAYA: Universiti Malaya (UM) meletakkan Malaysia semula dalam senarai 200 universiti terbaik oleh Times Higher Education (THE)-QS World University Rankings 2009 selepas melonjak sebanyak 50 tangga tahun lalu ke tangga 180 tahun ini.

Pengarah Urusan QS, Nunzio Quacquarelli berkata, ranking itu bukan sahaja mengenalpastikan ranking tertinggi universiti di dunia, bahkan universiti yang cemerlang dalam subjek-subjek utama tertentu, menjadi sasaran para majikan, menghasilkan penyelidikan terbaik, melabur dalam pengajaran serta mempunyai profil antarabangsa.

Universiti tempatan lain yang turut meningkat rankingnya ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menduduki tangga 320 berbanding 356 tahun lalu.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) jatuh antara satu hingga 41 tangga kepada kedudukan ke-291, 314 dan 345 masing-masing.

Ketua QS Quacquarelli Symonds Ltd Intelligence Unit Ben Sowter berkata, kebangkitan semula UM dalam ranking 200 terbaik dunia adalah amat mengagumkan.

"Usaha kolektif universiti untuk menarik sejumlah besar para pelajar antarabangsa menunjukkan satu harapan yang progresif," katanya dalam satu temuramah emel.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberitahu The Star bahawa kementerian menyedari universiti-universiti tersebut lemah dalam citation per faculty dan peer review.

Universiti Harvard sekali lagi mengungguli ranking THE-QS diikuti Cambridge, Yale, University College London, Imperial College, Universiti Oxford, Universiti Chicago, Universiti Princeton, Massachusetts Institute of Technology dan California Institute of Technology.

Institusi pengajian tinggi Asia yang mempunyai ranking tertinggi dalam senarai THE-QS adalah Universiti Tokyo (22), Universiti Hong Kong (24), Universiti Kyoto (25) dan National University of Singapore (30).

Naib Canselor UM Prof Datuk Dr Ghauth Jasmon berkata kejayaan tersebut meningkatkan semangat dan motivasi semua staf dan pelajar agar lebih berusaha mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.

"Pendefinisian semula Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk para akademik, inisiatif-inisiatif baru dilaksanakan dalam rangkaian antarabangsa, pengambilan staf dan para pelajar telah menghasilkan impak yang cepat dan positif," katanya.

Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Zaini Ujang berkata peningkatan dalam ranking universiti adalah ekoran strategi dalam perangkaian, kualiti, penyelidikan strategik, sinergi dan budaya organisasi.

Mengenai kejatuhan ranking UKM dari tangga 250 ke 291, Timbalan Canselor (Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa) Prof Dr Hassan Basri berkata pihak universiti tidak terkejut dengan penurunan ranking itu.

Ini kerana katanya, THE-QS telah menunjukkan bahawa penyelarasan secara metodologi dan tinjauan dinamik akan mengurangkan markah secara signifikan untuk academic peer review and kriteria tinjauan majikan untuk tempoh tiga tahun bermula tahun 2008.

Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Nik Mustapha R. Abdullah berkata dia hairan mengenai penurunan ranking universiti walaupun pencapaian universiti tahun lalu adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Ahad, Oktober 04, 2009

Terengganu gempa?


Masjid Kampung Batu Putih Kerteh Kemaman yang runtuh semalam

1Dunia kelam kabut pasai bencana alam di Samoa, Indonesia dan Filipina, tetiba kita digemparkan masjid di Terengganu runtuh, satu parah.

Ribut tidak, gempa bumi tidak, tapi di Terangganu senang senang saja berlaku bangunan runtuh. Kalau sebelum ini bumbung sekolah dan stadium yang runtuh kali ini bumbung masjid pula yang runtuh.

Khamis, Oktober 01, 2009

Malapetaka Padang yang dahysat





Kami berdoa ke hadrat Allah s.w.t semoga saudara yang ditimpa musibah di Padang, Sumatera Barat beroleh tabah dan redha atas ketentuan Illahi. Malapetaka di Padang itu adalah ujian-Nya menguji sejauh mana ketabahan dan kesabaran kita dalam menghadapi ujian Allah. Kita perlu redha dan kami di Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa gempa bumi dan menyatakan simpati kami kepada mereka.

Selasa, September 29, 2009

ISA masih diperlukan UMNO!


PORT DICKSON: Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang. Perkara tersebut diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bilik operasi BN di sini, sebentar tadi.

Bercakap secara ringkas di hadapan tetamu yang hadir, Isa berkata, beliau berjanji akan bekerja keras untuk memastikan kerusi DUN Bagan Pinang akan terus kekal menjadi milik BN.

"Nampaknya ISA masih diperlukan, jangan hapuskan ISA.

"Saya percaya kita akan menghadapi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang dengan sokongan padu semua pihak.

"Kita akan terus pertahankan kerusi ini malah akan berusaha untuk tambah majoriti," katanya sambil disambut dengan tepukan gemuruh oleh penyokong-penyokong BN yang hadir. Pilihan raya kecil itu akan diadakan pada 11 Oktober manakala penamaan calon akan berlangsung Sabtu ini.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor daripada BN pada 4 September lalu.

PAS dijangka mengumumkan calonnya malam ini-mStar online

Jumaat, September 25, 2009

Bayi Gergasi


Ini baru betul dikatakan 'baby tembam'

Bayi lelaki berusia 3 hari mempunyai berat 8.7kg (19.2 lb) sedang tidur bersebelahan bayi normal di Hospital Besar Abdul Manan General di Kisaran, Asahan, Sumatera Utara.


Gambar ehsan drp Reuter

Khamis, September 24, 2009

Mekanisme saring PhD wajar diperluas ke IPTS


KUALA LUMPUR 23 Sept. - Beberapa tokoh akademik mahu mekanisme saringan bagi mendapatkan ijazah doktor falsafah (PhD) diperluaskan kepada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Sambil melahirkan kebimbangan mengenai ketiadaan saringan seperti yang dilaksanakan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), mereka berpendapat, langkah itu perlu bagi mengelak pemilikan PhD ekspres berlaku secara berleluasa di negara ini.

Tokoh akademik, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata, Kementerian Pengajian Tinggi harus mengesan dan mengawasi kegiatan pengeluar PhD palsu.

''Walaupun kebanyakan pemilik membeli dari luar negara, Kementerian Pengajian Tinggi harus ada peraturan yang ketat bagi mengawasi gejala ini.

''Masalah 'penjualan' PhD dari dalam negara ini belum dapat dipastikan lagi, cuma saya bimbang pengambilan tenaga pengajar dari golongan ini menular di IPTS disebabkan kita tidak pasti mereka membuat saringan seperti di IPTA.

''Kita tidak boleh suka hati bagi PhD kepada orang yang tidak layak atau memperolehinya dari universiti yang tidak diiktiraf,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kegiatan membeli gelaran sosial seperti Datuk atau PhD dari luar negara yang semakin serius serta dibimbangi akan melahirkan generasi 'ilmuwan palsu'.

Sementara itu, Canselor Universiti UCSI, Tan Sri Abdul Rahman Arshad berkata, mereka yang berkhidmat dengan pusat pengajian tinggi perlu menyerahkan salinan tesis PhD sebagai semakan dan rujukan kepada universiti.

''Tidak kira sama ada pensyarah atau memegang jawatan di bahagian pentadbiran, mereka perlu serah salinan tesis sebagai rujukan dan simpanan universiti bagi mengesahkan ketulenannya.

''Jika mereka didapati menipu, kita perlu tarik balik gelaran tersebut serta kenakan tindakan tatatertib,'' katanya.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah pula yakin IPTA bersih daripada golongan yang memiliki PhD 'ekspres' kerana mempunyai mekanisme saringan yang kukuh.

Katanya, di UiTM, latar belakang akademik setiap bakal tenaga pengajar di institusi itu disemak menerusi Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menurut Ibrahim, masalah akan timbul apabila golongan ini bekerja dengan swasta atau bekerja sendiri dengan tujuan penyelewengan dan penipuan.

''Sukar untuk memastikan status ketulenan gelaran mereka jika tidak terikat dengan sebarang saringan seperti yang dilakukan oleh perkhidmatan awam.

''Mereka yang sengaja berlagak dengan gelaran palsu perlu diambil tindakan undang-undang kerana sudah pasti membawa kesan yang buruk kepada masyarakat," katanya- utusan malaysia

Related Posts with Thumbnails