JAKARTA: Seramai 32 orang disahkan terbunuh manakala seorang lagi masih hilang dalam kejadian letupan lombong arang batu lama di Sawahlunto, Sumatera Barat, setakat petang ini.
Ketua Pusat Penanganan Krisis di Kementerian Kesihatan Indonesia, Dr Rustam S.Pakaya dalam SMS ringkas kepada media massa berkata sehingga pukul 6 petang ini mayat 32 mangsa telah ditemui.
Enam daripada sembilan orang yang cedera dalam kejadian itu masih dirawat di Hospital Jamil, Padang manakala tiga yang lain telah dibenarkan pulang.
Sementara itu media massa tempatan melaporkan letupan di dalam lombong di Bukit Bual itu dipercayai akibat litar pintas peralatan elektrik yang dibawa masuk pelombong tradisional terbabit ke dalam lubang lombong yang padat dengan gas itu.
"Itu hasil analisis sementara yang kita dapati setelah meninjau tempat kejadian. Sedikit saja percikan api dalam ruangan dengan konsentrasi gas metan (methane) tinggi, sudah cukup untuk membuat ledakan besar," kata Pengurus Paukan Penanganan Bencana Sumatera Barat, Ade Edward, seperti dipetik laman web detikcom.
Beliau berkata seharusnya gas dikeluarkan dahulu menggunakan 'blower' dari lubang lombong itu dan penggunaannya juga wajib untuk membuat udara beredar.
"Kita menduga, genset (set generator) yang digunakan para pekerja itu bermasalah sehingga menyebabkan blower tidak jalan, mengakibatkan gas metan terkumpul dan dengan percikan api yang kecil saja akan terjadi letupan besar," katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan