Muhyiddin berkata, SPR yang mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan sesebuah bahagian pilihan raya, sebagaimana disaksikan di Perak Februari lalu, akan ambil kira pertimbangan itu.
"ADUN Abu Hassan tak hadir kerana sakit dan beliau ada dokumen berkaitan. Kali ini DUN cuma bersidang sehari. Dan, jika tidak hadir satu hari itu bermakna tidak hadir satu penggal.
"Bagaimanapun kita akan akur dengan keputusan SPR, kita selalu akur dengan keputusan SPR, mana ada yang kita tidak akur," kata beliau pada sidang media di sini petang semalam.
SPR kini meneliti implikasi perundangan sama ada perlu mengisytiharkan kerusi DUN Kota Seputeh, Kedah kosong, sekali gus memanggil pilihan raya kecil.
Oleh kerana kes itu, yang pertama dalam sejarah pilihan raya negara ini, melibatkan aspek perundangan negeri dan persekutuan, SPR memerlukan masa untuk mengkaji secara mendalam, kata Timbalan Pengerusi suruhanjaya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.
Muhyiddin mengulas laporan bahawa Abu Hassan kemungkinan digugurkan daripada jawatannya kerana gagal hadir dua kali sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)tanpa kebenaran Speaker.
Semalam, Speaker DUN, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail berkata, beliau sudah menghantar surat kepada SPR memaklumkan mengenai kegagalan Abu Hassan hadir sidang DUN pada 19 April dan Ahad lalu.
Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, mana-mana ahli dewan yang tidak hadir pada sidang DUN selama dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, tempatnya hendaklah dikosongkan.
Kerusi itu dimenangi Abu Hasan dengan majorti 495 undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan