Teman Kome Weh....

Rabu, September 16, 2009

Bagan Pinang: Mengundi 11 Oktober



PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menetapkan 11 Oktober depan sebagai tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, tarikh penamaan calon pula ditetapkan 3 Oktober.

Katanya, pilihan raya kecil tersebut akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2008 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2009 dan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Kedua 2009 yang telah dikemas kini sehingga 4 September lalu.

“Daftar pemilih ini mengandungi 13,664 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 9,060 pemilih biasa dan 4,604 pemilih pos.

“Pengundi juga boleh membuat semakan menerusi laman web SPR iaitu www.spr.gov.my atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPR SEMAK No MyKad ke 15888 pada tarikh yang sama,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat SPR di sini semalam.

Beliau berkata, 8,577 atau 62.77 peratus pengundi terdiri daripada kaum Melayu, 2,834 atau 20.74 peratus pengundi India, 1,498 atau 10.96 peratus pengundi Cina dan 755 atau 5.54 peratus terdiri daripada lain-lain bangsa.

”Daripada pecahan itu, 7,912 pengundi terdiri daripada golongan lelaki manakala bakinya, 5,752 pengundi ialah pengundi wanita,” katanya.

Menurutnya, dewan Majlis Perbandaran Port Dickson akan digunakan sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi manakala proses pengeluaran dan pengiraan undi pos akan dibuat di bilik mesyuarat Pejabat Daerah Port Dickson.

“Untuk pilihan raya kecil ini, SPR akan membuka lapan buah pusat mengundi yang melibatkan lapan buah sekolah dan 18 tempat saluran mengundi,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Aziz turut mengumumkan bahawa penubuhan tiga Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) di bawah Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk memantau dan mengawal aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen.

DUN Bagan Pinang mengalami kekosongan selepas penyandangnya, Azman Mohammad Noor yang mewakili Barisan Nasional (BN) meninggal dunia pada 4 September lalu. sumber:Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails