Teman Kome Weh....

Ahad, Mei 29, 2011

Sendayan, Pangkalan Baru TUDM Ganti Sg. Besi




GEMAS 28 MEI : Satu pangkalan udara baru akan dibina di Sendayan dekat Seremban untuk menggantikan lokasi TUDM yang beroperasi di Sungei Besi, Kuala Lumpur.

Mengumumkan perkara itu di sini hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata butiran lanjut akan menyusul.

Najib mengumumkan perkara itu ketika ditanya pemberita selepas selesai melawat Pusat Pemulihan Pemasyarakatan di Kem Syed Sirajuddin hari ini.

Sendayan terletak kira-kira 12 kilometer dari Seremban.

Laporan Bernama menyebut, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berada dalam sesi media yang sama berkata, pihaknya akan membuat satu pengumuman yang lebih lanjut mengenainya akan datang.

Akhbar hari ini memetik Panglima TUDM Tan Sri Rodzali Daud sebagai berkata lokasi pangkalan udara baru itu telah dikenal pasti tetapi enggan menyatakan lokasinya kerana kontrak mengenainya akan ditandatangani pertengahan bulan depan.

Katanya, TUDM akan menjadikan pangkalan itu sebagai pangkalan latihan dan menempatkan unit-unit latihan yang terdapat di setiap pangkalan udara di seluruh negara di satu lokasi sahaja.

Satu laporan media Ogos lalu menyebut TUDM sedang mengenal pasti beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang untuk dijadikan pangkalan baru bagi menggantikan pangkalan sedia ada di Sg Besi.

Ketika itu, Timbalan Panglima TUDM Lt Jen Datuk Shahron Ibrahim berkata TUDM dan Kementerian Pertahanan masih mengkaji lokasi strategik yang bersesuaian sebelum membuat keputusan untuk memindahkan pangkalan Sg Besi ke lokasi baru.

Shahron berkata pangkalan Sg Besi tidak akan ditutup tahun ini tetapi lokasi baru itu perlu ditetapkan tahun ini kerana proses membangunkan sebuah pangkalan mengambil masa kira-kira tiga tahun.

Selain itu, proses memindahkan Pusat Operasi Tentera Udara serta inventori dan sistem pertahanan tidak mudah dilaksanakan kerana memerlukan perancangan rapi dan perpindahan secara berperingkat-peringkat, katanya.

Lapangan terbang berusia 54 tahun itu bakal dimajukan dan dibangunkan semula secara bersama melibatkan kerajaan, swasta serta pelabur asing, malah satu perjanjian telah ditandatangani membabitkan kementerian, pemaju iaitu Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan pelabur dari Timur Tengah.

Lapangan Terbang Sg Besi merupakan lapangan terbang pertama di negara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails