Gempa paling kuat yang melanda Haidi, semalam menyebabkan misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di negara kepulauan itu terjejas berikutan ramai kakitangannya maut.
Setiausaha Agungnya, Ban Ki-moon, berkata gempa berukuran 7.0 magnitud itu dijangka mengakibatkan ribuan nyawa melayang dengan angka yang dijangkakan melebihi 100,000 orang.
“Ia satu tragedi kepada Haiti dan juga PBB,” katanya.
Perdana Menteri Haiti, Jean-Max Bellerive memberitahu stesen tv CNN bahawa angka kematian di Haiti akibat gempa kuat dan terburuk sejak 160 tahun itu boleh mencecah 100,000 orang.
“Namun saya berdoa dan amat berharap bahawa angka korban itu adalah tidak benar,” katanya.
Misi pengaman PBB di Haiti – MINUSTAH – terjejas teruk dengan ibu pejabatnya di ibu negara Port-au-Prince runtuh dan berpuluh kakitangannya turut hilang dan dikhuatiri maut, termasuk ketua stafnya, Hedi Annabi dari Tunisia dan timbalannya.
Presiden Haiti, Rene Preval berkata, Annabi yang berada di dalam bangunan bersama antara 100 dan 150 kakitangan lain ketika gempa dikhuatiri maut. – AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan