IPOH - Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) mencadangkan pihak Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) menukar nama Riverfront Kuala Kangsar kepada Tebing Lam Sayong.
Presidennya, Zabidin Ismail berkata, cadangan itu mengambil guna nama klasik Kampong Sayong iaitu Lam Sayong seperti yang dicadangkan seorang pengarang terkenal anak Perak, Datuk Mokhtar Petah.
Menurutnya, nama itu walaupun kelihatan tidak komersial tetapi mengandungi unsur sejarah dan jati diri Kuala Kangsar sebagai Bandar Diraja.
“Kami menyokong ketegasan Menteri Besar (MB), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kerana mengambil berat dalam mendaulatkan bahasa Melayu berhubung isu ini.
“Kerajaan Negeri juga dilihat serius apabila mengarahkan MPKK mengutamakan bahasa Melayu dalam pemberian nama projek-projek yang dibangunkan di bandar itu,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.
Zabidin berkata, Kuala Kangsar yang terkenal dengan Labu Sayong akan lengkap dengan penggunaan nama Lam Sayong kepada tebingan Sungai Perak serta menimbulkan daya tarikan tersendiri bagi pelancong untuk mengetahuinya lebih mendalam.
Isu itu timbul apabila orang ramai mempertikai tindakan MPKK menggunakan nama “Riverfront Kuala Kangsar” bagi mempromosi destinasi pelancongan baru berhampiran Sayong.
Bagaimanapun MPKK dilihat cuba mempertahankan tindakannya walaupun menerima bantahan ramai malah desakan badan bukan kerajaan (NGO) serta badan-badan penulis tidak diendahkan sebaliknya MPKK menyalahkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang lambat menterjemahkan Riverfront Kuala Kangsar ke bahasa Melayu.
Zabidin berkata, menyentuh tentang arahan MB yang meminta MPKK dan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengutamakan bahasa Melayu di setiap premis termasuk nama jalan adalah tindakan yang kena pada masanya.
Katanya, Karyawan Pk mengambil kesempatan merujuk cadangannya ke Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) agar nama Jalan Caldwell ditukar kepada Jalan Pawang Ana telah ditolak oleh pihak berkenaan tanpa sebarang alasan.
“Kami sedia berbincang kerana alasan dan rasionalnya telah dikemukakan kepada MBI, Ia sebahagian resolusi Seminar Pemikiran Pawang Ana yang telah diadakan pada 25 Oktober tahun lalu.
“Karyawan Pk berharap MBI menimbangkan semula cadangan itu selaras dengan arahan MB itu,” tambahnya - Sinar Harian, Edisi Perak 12 Julai 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan