Teman Kome Weh....

Isnin, April 27, 2009

Karyawan Pk sokong GAPENA



Presiden Persatuan Karyawan Perak [Karyawan Pk], Hj Zabidin Ismail (foto) menyokong penuh saranan Ketua Satu GAPENA, Tan Sri Prof Emiretus Dr Ismail Hussin agar Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan diperkasakan dalam konsep Satu Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.
Menurut beliau, Karyawan Pk sudah lama memperjuangkan perkembangan Bahasa Melayu dan hari ini sudah sampai masanya setiap warganegara Malaysia fasih bertutur dalam bahasa Kebangsaan tanpa mengira keturunan. Tambahnya, setelah negara merdeka melebihi 50 tahun, sewajarnya setiap rakyat di negara ini mampu bertutur dan menulis dengan baik tanpa memperlekehkan bahasa rasmi itu.
Kelmarin 26 April 2009, Ismail Hussin dalam akhbar telah menyarankan bahawa Bahasa Melayu perlu diperkukuhkan dalam konsep Satu Malaysia kerana ia adalah aset berharga yang perlu dipelihara sebagai pusaka bangsa yang tiada tolok bandingnya.
Tambah Zabidin lagi, negara akan maju jaya dengan menggunakan satu bahasa dalam semua aspek kehidupan dan Malaysia berupaya mengembalikan peranan bahasa Melayu sebagai lingua frangka bagi Nusantara di zaman silam.
Sambil memberikan slogan "cinta Malaysia, cintailah bahasanya" Zabidin berharap Perdana Menteri akan berjaya dalam misinya untuk mengotakan konsep Satu Malaysia di negara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails