Teman Kome Weh....

Jumaat, Disember 10, 2010

KPKK beli terus karya penulis

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan mengaktifkan semula dasar membeli terus hasil penulisan daripada penulis bagi melindungi kepentingan mereka.

Menterinya, Datuk Seri Rais Yatim, berkata dasar yang diperkenalkan dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) kira-kira lima tahun lalu bagi melindungi penulis daripada penerbit dan pengedar yang cuba mengaut keuntungan tinggi daripada karya mereka.

rais yatim pc 020709 01"Kami di kementerian akan cuba menyusun kembali supaya dasar membeli terus buku-buku dari penulis di Malaysia dihidupkan semula, atau disambung terus setelah ia terabai sebentar oleh kerana beberapa perkara berkaitan teknikal, dan juga pandangan yang tidak terselaras oleh beberapa pihak.

"Dasar ini sudah dibuat pada tahun 2006, jadi ia hanya untuk mengingatkan semula supaya di samping membeli buku dari penerbit, kita juga perlu terus membeli buku dari penulis sebab keadaan penulis di negara ini agak daif," katanya ketika melancarkan buku "The Times and Chimes of Joe Chelliah: Notes of A Malaysian Musician" dan Pendidikan Muzik Kontemporari Karya Johami Abdullah @ Joe Chelliah" di Galeri Kompleks Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur hari ini.

Rais berkata, PNM akan diminta membuat beberapa rumusan bagi memudahkan kementerian mengumpul maklumat sebelum cadangan mengaktifkan semula dasar itu dibawa ke perhatian jemaah menteri dalam tempoh terdekat.

Kadar maksimum bagi pembelian satu judul hasil penulisan mengikut dasar berkenaan ialah RM25,000.

Beliau juga berkata, hasrat mengaktifkan semula dasar itu adalah tepat bagi memenuhi permintaan kerana data PNM menunjukkan terdapat peningkatan minat membaca di kalangan kanak-kanak berusia 10 tahun ke atas, yang membaca lebih daripada dua naskhah buku setahun, selain kewujudan 1,008 perpustakaan di seluruh negara.

education school books 280804 market"Malah telah dicatatkan jumlah buku yang dibaca sebahagian besar masyarakat ialah di antara lapan ke sepuluh buah buku setahun. Jadi, dengan peralihan data seperti ini, saya yakin bahawa penerbitan buku dan majalah dapat kita galakkan," katanya.

Rais berkata, sebagai rangsangan, penulis kreatif boleh memohon peruntukan Dana Industri Kreatif berjumlah RM200 juta jika berhasrat menghasilkan karya berbentuk cereka, novel atau skrip televisyen dan filem berkualiti, yang boleh dianggap sebagai penulisan kreatif.

"Kita inginkan beberapa genre penulisan lagi supaya tahap penulisan kreatif ini dapat mencapai satu keseronokan dan tarikan kepada rakyat yang mencantumkan citarasa kita, dan sebab itulah dana yang saya sebutkan tadi relevan untuk kita pohon sekiranya ada pihak yang ingin menjadikannya sebagai skrip filem atau tv," katanya.

- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails