December 13, 2010 16:54 PM
KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Peruntukan besar RM500 juta untuk penggiat seni awam dan swasta tanah air adalah bagi memastikan karya seni kreatif mereka berkualiti tinggi dan berdaya saing, kata Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Kamaruddin Siaraf.
Beliau berkata peruntukan itu yang disediakan kementerian dan berkuat kuasa pada 1 Jan depan akan disalurkan melalui pelbagai cara, iaitu melalui skim geran, subsidi serta bantuan pinjaman secara mudah.
"Penambahan sebanyak RM200 juta dalam Belanjawan 2011 beserta kira-kira RM300 juta daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan baki Belanjawan 2010, menjadikan keseluruhan lebih kurang RM500 juta," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Seni Penilaian Tahun Akhir di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di sini Isnin.
"Penghasilan hasil kreatif di negara ini wajar diberi bantuan dan perhatian dalam usaha untuk memastikan hasil karya seni tempatan adalah berkualiti tinggi dan boleh diterima di peringkat antarabangsa," katanya.
Melalui SKMM, beliau berkata, bantuan itu tidak hanya dikhususkan kepada industri perfileman tetapi juga produksi lain yang berbentuk kreatif dan berkaitan dengan media, animasi, teknologi serta komunikasi.
Menurutnya bagi urusan pinjaman, kadar faedah yang dikenakan adalah antara dua hingga empat peratus bagi setiap pinjaman dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) bertindak sebagai institusi pemberi pinjaman.
Sementara itu Rektor Aswara Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa berkata festival selama sembilan hari bermula hari ini bertemakan "Generasi Baru ke Arah Transformasi Industri Kreatif" bertujuan menilai kemampuan dan keistimewaan pelajar Aswara dalam menghasilkan karya-karya seni.
Menurutnya sebanyak 14 pengkhususan daripada lima fakulti terlibat dengan disertai kira-kira 47 orang pelajar dan dinilai oleh 55 orang panel penilai.
Katanya semua pelajar yang terlibat merupakan pelajar ijazah Sarjana Muda tahun akhir yang akan mempersembahkan hasil kerja mereka yang merupakan salah satu kursus wajib, sebelum tamat pembelajaran.
-- BERNAMA
We provide (subscription-based)
news coverage in our Newswire service.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan