Teman Kome Weh....

Jumaat, April 10, 2009

Nga Kor Ming hina al-Quran? - Ulasan YB Zulkifli Nordin dan TG Dato' Haji Nik Aziz Nik Mat




08 April 2009 Oleh FND pada 8:22 PM

Salam 2 all. Nampak riuh dalam media isu YB Nga Kor Meng ADUN Pantai Remis & MP Taiping membaca ayat Al Quran dalam ceramah beliau di dalam kempen pilihanraya kecil Bkt Gantang/ Bkt Selambau.

Beliau dikatakan membaca petikan ayat daripada Surah Al A'raf memperkatakan tentang keadilan.

Maka riuhlah juak-juak ameno menghunus keris karat menghentam YB Nga Kor Meng, kononnya menghina Islam.

Saya mahu bertanya kepada puak-puak ni, adakah ayat Al Quran yang dibaca oleh YB nga itu salah atau diputar belit.

Saya dapati apa yang beliau baca itu betul belaka (dalam bahasa arabnya dan terjemahannya betul, walaupun bahasa arabnya ada kelemahan sedikit).

Malahan juak-juak keris karat ni pun tidak menyatakan bacaan itu tidak betul.

Kalaulah YB Nga menukar ayat Al Quran atau memutarbelitkan ayat itu, saya akan jadi orang pertama menegur beliau.

Tetapi apa yang beliau baca itu betul! Dimana salahnya.

Apakah juak-juak keris karat nak bagitahu kita orang bukan Islam tidak boleh baca ayat Al Quran?

Ini berbeza dengan isu bukan Islam mahu memakai perkataan ALLAH-ini kerana dalam nak menggunakan perkataan ALLAH mereka mencemarnya dengan mempersekutukan atau mensyirikkan ALLAH dengan dakwaan ALLAH ada anak Jesus dan lain-lain!

Kalu YB Nga menukar ayat tersebut, atau memalsukan maknanya, atau menghinanya barulah boleh kita menyatakan ianya salah.

Yang peliknya ada salah seorang keris karat ni kata YB Nga baca Al Quran tanpa wuduk, dan mungkin berhadas besar. Apalah punya jahil mamat ni. Hukum mesti berwuduk ataupun sudah di angkat hadas besar hanya terpakai untuk Muslim yang mukallaf. YB Nga bukan Islam, hukum tu tak terpakai kepada dia. Lagipun YB Nga tak pegang nashkah Al Quran pun..dia cuma baca ayat yang betul.

Cuma kesilapan YB Nga bila dia menyebut surah Al Aurah, sepatutnya Surah Al A'raf. Itu saja.

Dimana hukum yang kata orang bukan Isam tidak boleh baca ayat Al Quran?

Saidina 'Umar ibnul Khattab membaca Surah Toha semasa masih kafir, yang akhirnya membawa beliau memeluk Islam.

Maharaja Najasyi pemerintah Kristian dari Habsyah membaca Surah Maryam yang akhirnya beliau beriman kepada Allah.

Dan banyak lagi peristiwa-peristiwa dalam sirah Nabawi yang menunjukkan ramai golongan bukan Islam yang beriman dan memeluk Islam hanya setelah membaca atau mendengar ayat Al Quran dalam keadaan mereka masih kafir!

Sepatutnya kita mengambil langkah memuji YB Nga yang berani membaca ayat Al Quran secara terbuka dalam cermah umum. Ramai dikalangan kita dalam ceramah atau ucapan tidak memetik pun sepatah ayat Al Quran. Ucapan sulung DS Najib semasa menerima perlantikan sebagai Perdana Menteri Ke 6 tidak ada langsung memetik ayat Al Quran! Titah YDP Agong semasa merasmi sidang Parlimen pun tidak ada membaca ayat Al Quran.

Mungkin juga ramai keris karat diluar sana sepatutnya berasa malu dan insaf akan ketidakmampuan mereka membaca dan menyampaikan ayat Al Quran. Atau mungkin mereka berasa malu dan terhina kerana diperingatkan oleh golongan bukan Islam kepada ayat Al Quran. Malahan apa yang dibuat oleh YB Nga sepatutnya menyedarkan golongan keris karat ini betapa jauhnya mereka dengan Al Quran.

Apakah kamu hanya pandai memusabaqahkan Al Quran, tetapi tidak melaksana dan mengamalkkannya, sehingga terpaksa ALLAH hina kamu dengan menghantar orang kafir memperingatkan kamu dengan ayat Al Quran? Mengapa kamu menjadi saperti masyarakat jahiliyah, yang melenting bila ayat Al Quran dibaca walaupun kamu tahu kebenaranya? Tolong buktikan dimana ayat yang dibaca oleh YB nga itu salah, atau diputarbelitkan?!

Kamu sepatutnya bukan sahaja memuji keberanian YB Nga memperingatkan kamu dengan memetik ayat Al Quran, malahan kamu sepatutnya menyiarkan secara langsung dan diberi liputan meluas di kaca televisyen dan media elektronik/ cetak yang lain supaya rakyat pelbagai agama & kaum dapat melihat betapa Islam boleh diterima hatta oleh bukan Islam.

Daripada kamu menyiarkan secara langsung selama 40minit ucapan seorang tua yang patut dah pencen tapi dok tak mau pencen, merepek tak tentu arah menghina, memfitnah dan mencerca orang lain.

Saya khuatir bila ada segelintir dikalangan kita yang mengambil tindakan melulu memaki YB Nga hanya kerana beliau membaca ayat Al Quran atas alasan dia kafir, kamu sebenarnya menjauhkan manusia daripada seruan kebenaran.

Apalah salahnya kamu memberi ruang lagi kepada beliau. Malahan saya bercadang nak menghadiahkan rakan saya YB Nga senaskhah Al Quran dengan terjemahan bahasa Tionghua, dengan doa moga-moga apabila beliau sering membaca dan memetik ayat Al Quran, maka ALLAH akan berikan hidayah Nya kepada beliau insyalllah.

Kepada YB Nga, YB Gobala, YB Tian Chua dan ramai lagi rakan-rakan bukan Islam yang lain, teruskanlah membaca dan memetik serta merujuk kepada ayat-ayat Al Quran. Kiranya kalian perlu bantuan, saya dan sahabat-sahabat bersedia membantu saudara untuk mendapatkan bacaan yang betul dari segi tajwid dan makhraj hurufnya insyallah.

Syukran.

Zulkifli bin Noordin
Ahli Parlimen
Kulim Bandar Bharu


BERITA HARIAN 7 April 2009

Adun perlu mohon maaf kepada umat Islam segera

KUALA LUMPUR: Mufti, pakar perundangan dan pertubuhan Islam menyifatkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Remis, Nga Kor Ming, yang membaca ayat suci al-Quran dalam siri ceramahnya semata-mata untuk memancing undi pada pilihan raya kecil sebagai usaha menghina agama dan umat Islam.

Mufti Perlis dan Selangor berpendapat perkara itu jika terus dibiarkan tanpa tindakan tegas pihak berkuasa boleh menggugat kestabilan dan keselamatan negara kerana ia jelas tidak menghormati agama rasmi negara ini.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga membuat laporan polis secara berasingan di sini, semalam, sebagai membantah dan mengutuk tindakan Nga dan memintanya memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam.

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya, berkata Islam tidak melarang bukan Islam membaca al-Quran kerana kitab itu untuk semua manusia tetapi hendaklah digunakan dalam suasana, niat baik dan bacaan yang betul.

Beliau yang mendengar bacaan Nga yang disiarkan di televisyen kelmarin berkata, bacaan dilafazkan itu jelas tidak betul dan menyeleweng.

“Kalau orang Islam sendiri yang menyalah guna ayat suci itu juga dilarang, apatah lagi orang bukan Islam. Ia boleh menggugat kestabilan, jangan heret kitab suci dalam kemelut politik sebab kita tidak mahu berlaku salah guna dan tidak ada rasa hormat pada sensitiviti penganut agama lain,” katanya ketika mengulas desakan pelbagai pihak supaya Nga memohon maaf dan menghentikan perbuatannya kerana mempersendakan agama Islam semata-mata untuk memancing undi orang Melayu.

Kelmarin, Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping susulan rakaman video youtube.com yang memaparkan Nga membaca ayat al-Quran selama satu minit 16 saat.

Dalam rakaman itu, Nga memberi salam secara tidak tepat dan membaca petikan yang didakwa dari surah ‘Aura’ yang tidak ada dalam al-Quran.

Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahab, berkata ayat al-Quran adalah kalam Allah yang suci dan membaca al-Quran adalah ibadah.

Namun katanya, umat Islam yang menyebut ayat al-Quran tidak betul, bukan mendapat rahmat sebaliknya laknat.

“Kalau bukan Islam yang tidak tahu sebut, dan salah bacaan, sudah tentu mirip kepada senda gurau yang tidak sepatutnya berlaku.

“Lebih baik mereka baca tafsiran saja, lebih selamat,” katanya.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Zainal Rijal Abu Bakar, berkata hukuman penjara dan denda boleh dikenakan terhadap mereka yang jelas menghina agama Islam mengikut kanun keseksaan mengikut Seksyen 298.






SURAT TGNA KEPADA YB NGA KOR MING

09 Apr 2009
Surat Kepada YB Nga Kor Ming ADUN Pantai Remis Perak
Kategori: Isu Semasa
13 Rabiul Akhir 1430
9 April 2009

YB Encik Nga Kor Ming
EXCO Kerajaan Negeri Perak
Pejabat EXCO Negeri Perak
30000 Ipoh
PERAK DARUL RIDZUAN.


Menemui YB Encik Nga dengan ucapan salam sejahtera


Yang Berhormat,

Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya telah mengikuti isu di sekitar percubaan YB untuk mengenali Islam melalui pembacaan Ayat-Ayat Al-Quran dengan tekun. Saya juga terharu mendengar keluhan YB yang berbunyi “saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan Al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang.”

Saya boleh memahami dan menyelami perasaan kecewa yang sedang melanda hati YB. Mudah-mudahan dengan sikap “tidak mesra Umno” dan pemimpin-pemimpin Umno tentang kecenderungan masyarakat Tionghua dan India yang sihat ini, ia akan meningkatkan lagi kesedaran Non-Islam untuk lebih mengkaji, mendalami dan mengadakan forum serta wacana mengenai Islam dengan cara yang lebih meluas.

Saya mempunyai sebuah impian. Dalam tempoh tidak berapa lama lagi mudah-mudahan akan muncul lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau dan Kadazan yang tampil menjadi Qari, Ustaz, Khatib dan Imam di seluruh negara. Kalau Jenghiz Khan yang mengetuai tentera Moghul menyerang dan memusnahkan hampir seluruh Kerajaan dan tamadun Islam di Kota Baghdad, tetapi sempat ditebus semula keagungan Islam melalui cucunya yang bernama Aurangzeb yang menegakkan empayar Islam di India kemudiannya. Maka saya mempunyai keyakinan yang kuat bahawa Islam akan kembali gemilang di negara kita melalui kaedah dan insiden yang hampir sama. Mudah-mudahan YB lah orangnya yang akan meletakkan batu asas pertama ke arah menyusun batu bata yang kukuh ini untuk terus bertumpang tindih.

Mari kita bina asas ini dengan mengatur langkah-langkah permulaan melalui seminar, muzakarah, muqabalah, dialog dan wacana. Tajuk-tajuk seperti “dimana tak kenanya Islam” atau “apa mesej al-Quran kepada orang bukan Islam” bolehlah difikirkan. Anggota panel boleh terdiri daripada tokoh-tokoh PAS, Umno, DAP, PKR dan pemimpin-pemimpin NGO, pensyarah serta pendakwah bebas. Ia boleh dijadikan sesi kuliah bersiri yang boleh dianjurkan di PWTC, di masjid-masjid, surau-surau, kuil-kuil dewan-dewan perhimpunan, di universiti-universiti, baik di IPTS atau IPTA.

Sekali lagi saya mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T di atas kekuatan dan keberanian yang ada pada YB. Terus tekun dan beristiqamahlah dalam mengharungi ujian-ujian ini. Insya Allah saya seakan-akan sedang melihat sekerdip lilin yang bercahaya di hujung sana. Marilah kita sama-sama ke sana.


* MEMBANGUN BERSAMA ISLAM *


(TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT)
Menteri Besar Kelantan
Merangkap
Mursyidul Am PAS

Sabtu, 2009 April 11

Nga Kor Meng baca al-Quran, BN tak perlu iri hati dan gundah gulana

An Wan Seng

BN sebenarnya tidak perlu gusar dan iri hati apabila rakan PAS dari DAP mampu berceramah dengan mengemukakan beberapa potong ayat suci al-Quran ketika berhujah dan menjawab beberapa isu yang berkaitan.

"Ramai orang bukan Islam dalam DAP dan KeADILan yang boleh membaca ayat al-Quran dan menerangkannya kepada hadirin. Dan ia tidak bercanggah atau memberikan pengertian yang berbeza dengan apa yang sebenarnya," tegas bekas Pensyarah Jabatan Sosiologi dan Antropogi Universiti Malaya, Ann Wan Seng

Katanya, Ahli Parlimen Taiping yang juga Exco Kerajaan Perak, Nga Kor Meng adalah sebahagian dari pemimpin DAP yang mampu berbuat demikian dan ia cukup menarik sekali untuk perkembangan Islam di negara ini.

"Ini juga memberikan petunjuk bahawa masyarakat Cina boleh menerima Islam. Cuma yang menjadi masalah ialah kita tidak pernah mendekatkan diri kita kepada mereka. Melalui kerjasama dalam Pakatan Rakyat ini, DAP sudah dapat memahami dasar perjuangan PAS dan mereka juga telah mengkaji Islam dengan cara lebih ilmiah.

Kata Ann lagi, apabila menyebut tentang dakwah, tidak bermakna menyuruh mereka memeluki Islam. Tetapi, menyeru mereka ke arah kebaikan serta ingin memaparkan kecantikan Islam itu kepada orang lain.

Dengan caranya ini, ujarnya, salah faham mereka terhadap Islam serta prejudis masyarakat bukan beragama Islam terhadap Islam dapat ditangani secara bijak.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Mat dalam resposnya mengenai isu tersebut berpandangan sepatutnya sudah lama al-Quran ini dibaca dan digunakan dengan meluas oleh semua termasuk orang Cina.

Malah dalam blognya, Mursyidul Am PAS ini turut menegaskan sepatutnya, al-Quran itu boleh digunakan dengan jujur dan ikhlas oleh penggunanya tanpa mengira sesiapapun.

"Pada saya, kesediaan YB (Nga Kor Meng) berkenaan yang cenderung menggunakan ayat al-Quran adalah satu permulaan kepada satu perkembangan yang cukup menggalakkan. Tidak ada sebab ia tidak dialu-alukan. Jika dalam zaman awal Islam pun, Abu Lahab yang bukan Islam itupun diizin membaca dan memahami surah Al-Lahab yang mencela beliau, maka apa pilihan kita untuk menutup hak bukan Islam untuk mendekati, membaca dan cuba memahami al-Quran ?" soalnya dalam blog tersebut.

1 ulasan:

  1. umnomyg x reti bahasa dasar bahalol dan tongong.

    BalasPadam

Related Posts with Thumbnails