Teman Kome Weh....

Sabtu, Mac 21, 2009

Suasana terkini di Bukit Gantang

Menjelang Hari Penamaan Calon PRK P.059 pada Ahad 29 Mac ini, Bukit Gantang terlalu sibuk menerima kedatangan petugas-petugas parti sama ada BN mahupun PAS. Harga bilik penginapan, rumah dan apa sahaja yang boleh dijadikan tempat tinggal sementara telah naik mendadak kira-kira 3-5 kali ganda berbanding harga asal. Pemilik benar-benar menangguk di air keruh!

Bukit Gantang bermandikan warna-warni bendera BN, UMNO, PAS dan KeADILan meskipun UMNO dan PAS yang bertanding nanti. Petugas-petugas parti sudah mula berkampung di sini. Tidak kurang juga pegawai / kakitangan kerajaan seperti Polis telah mula melaksanakan tugas masing-masing. PRK P059 sebenarnya menjadi fokus ramai baik Kerajaan Pusat, Kerajaan Pembangkang, parti dan pemerhati politik luar negara. Sebarang keputusan di Bukit Gantang akan dijadikan indikator sokongan atau sebaliknya kepada tindakan BN yang mengambil alih Kerajaan Negeri Perak daripada Pakatan Rakyat.

Manakala di pihak rakyat pula keputusan di Bukit Gantang akan mencerminkan isi hati warga Perak terhadap isu "lompat parti" DUN Changkat Jering (Osman Jailu) yang termasuk dalam parlimen Bukit Gantang, DUN Behrang (Jamaludin Radzi) dan DUN Jelapang (Hee) ke parti Bebas dan sekaligus memberikan sokongan mulut kepada BN. Pemerhati politik beranggapan keputusan Bukit Gantang sebagai referandum rakyat terhadap isu lompat parti, Istana Perak serta tindakan drastik BN terhadap Kerajaan Negeri yang terdahulu.

Justeru itu isu calon dan lain-lain isu (pembangunan, lokal dll) kurang diberikan perhatian oleh pengundi sebaliknya mereka lebih mementingkan keabsahan atau legitimacy BN menumbangkan Pakatan Rakyat di Perak sama ada mengikut lunas Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri atau tidak. Walau bagaimanapun, beberapa isu besar ekoran tindakan pengambil-alihan kerajaan negeri telahpun disebut di mahkamah. Kemelut politik di Perak akan berpanjangan. Kelihatan warga Perak sendiri masih lagi "menyimpan" keputusan mereka dan sebarang luahan perasaan dianggap oleh sesetengah pihak sebagai sensitif.

Apapun bagi pengundi di Bukit Gantang mereka lebih bernasib baik kerana boleh meluahkan perasaan pada 7 April depan di peti-peti undi. Inilah demokrasi, rakyat yang memilih pemimpin di kalangan yang terpilih itu.

1 ulasan:

  1. insyaallah calon PAKATAN RAKYAT akan menang dengan undi yang lebih tinggi berdasarkan
    kemarahan rakyat terhadap BN..

    BalasPadam

Related Posts with Thumbnails